Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura arah 5 laman media sosial sekat rangkaian 95 akaun

Jul 19, 2024 | 5:26 PM
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah mengeluarkan Arahan Sekatan Akaun (ARD) di bawah Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas) atau Fica kepada Facebook, Instagram, YouTube, TikTok dan X untuk menyekat rangkaian 95 akaun yang dikaitkan dengan Guo Wengui (kiri) dari pengguna yang berpangkalan di Singapura.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah mengeluarkan Arahan Sekatan Akaun (ARD) di bawah Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas) atau Fica kepada Facebook, Instagram, YouTube, TikTok dan X untuk menyekat rangkaian 95 akaun yang dikaitkan dengan Guo Wengui (kiri) dari pengguna yang berpangkalan di Singapura. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah mengeluarkan Arahan Sekatan Akaun (ARD) kepada lima penyedia khidmat media sosial untuk menyekat rangkaian 95 akaun dalam talian yang menerbitkan dan menyebarkan catatan berkenaan dakwaan bahawa Singapura dikawal oleh China.

Dalam satu kenyataan pada 19 Julai, MHA menyatakan ARD itu telah dikeluarkan terhadap Facebook, Instagram, YouTube, TikTok dan X untuk menyekat rangkaian akaun sedemikian daripada pengguna yang berpangkalan di Singapura di bawah Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas) atau Fica.

Menurut MHA, terdapat alasan yang boleh dipercayai bahawa akaun sedemikian boleh dan mungkin digunakan untuk melancarkan kempen maklumat bersikap bermusuhan yang disasarkan secara langsung kepada Singapura, sekali gus menjejas perpaduan sosial di sini, tambah MHA.

Catatan daripada rangkaian akaun sedemikian, yang dikaitkan dengan Guo Wengui – hartawan asal China dan penentang lantang Parti Komunis China (CPC) yang kini tinggal dalam buangan – juga mendakwa China terlibat dalam pemilihan pemimpin generasi keempat (4G) Singapura.

Antara 17 April dan Mei 2024, akaun tersebut menerbitkan lebih 20 catatan yang mengandungi video mengenai peralihan tampuk kepimpinan Singapura, kata MHA.

Antara catatan yang diterbitkan mendakwa seolah-olah Singapura “berada dalam saku CCP (turut dikenali sebagai CPC)”.

MHA menyatakan ia mengenal pasti rangkaian akaun terlibat melalui pemantauannya seperti biasa.

Daripada 95 akaun, 92 dikaitkan secara langsung dengan Guo dan organisasi bersekutu dengannya – iaitu Negara Persekutuan Baru China (NSFC) dan Pertubuhan Penyeliaan Himalaya (HSO).

Baki tiga lagi akaun dimiliki Pertubuhan Penyeliaan Himalaya bahagian Singapura, dikenali sebagai Himalaya Singapura, kata MHA.

MHA menambah setakat ini, tiada bukti mana-mana 95 akaun itu dikendalikan warga Singapura.

Di samping itu, MHA berkata Guo juga telah menyiarkan naratif lain berkaitan dengan Singapura.

“Tindakan rangkaian akaun yang diselaraskan dan pertimbangan utama menggunakan Singapura untuk mendorong agenda telah menunjukkan kesediaan dan keupayaannya menyebarkan naratif palsu yang memudaratkan kepentingan Singapura.

“Penerbitan catatan yang diselaraskan, yang bertepatan dengan tempoh peralihan kepimpinan politik Singapura, menunjukkan perancangan dan tindakan yang disengajakan,” tambah MHA.

Selain dakwaan mengenai kepimpinan politik Singapura, akaun sedemikian membuat dakwaan lain, termasuk bahawa pemerintah China menyembunyikan wang di Singapura.

Dalam pada itu, Guo telah disabitkan kesalahan di mahkamah Amerika Syarikat pada 16 Julai atas sembilan daripada 12 pertuduhan jenayah yang dihadapinya, termasuk konspirasi pemerasan dan penipuan.

Guo telah dipenjarakan sejak ditangkap pada Mac 2023.

Menurut laporan media Amerika, Guo meninggalkan China pada 2014 selepas salah satu kenalan politiknya diberkas.

Dia berpindah ke Amerika pada 2015, dan dua tahun kemudian melancarkan kempen dalam talian atau ‘online’ yang agresif untuk mendedahkan dakwaan rasuah dalam kalangan tokoh elit perniagaan dan politik China.

Dia turut mempunyai hubungan dengan personaliti sayap kanan terkemuka di Amerika, termasuk eksekutif media, Encik Steve Bannon, yang pernah menjadi ketua strategi Rumah Putih semasa pentadbiran Encik Donald Trump.

“Tindakan rangkaian akaun yang diselaraskan dan pertimbangan utama menggunakan Singapura untuk mendorong agenda telah menunjukkan kesediaan dan keupayaannya menyebarkan naratif palsu yang memudaratkan kepentingan Singapura. Penerbitan catatan yang diselaraskan, yang bertepatan dengan tempoh peralihan kepimpinan politik Singapura, menunjukkan perancangan dan tindakan yang disengajakan.”
Kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg