Apa jua keadaan sebenar mengenai insiden serangan di Ulu Tiram baru-baru ini, satu pengajarannya ialah (keputusan) tidak mengambil tindakan (lebih awal) dan membolehkan evolusi ruang agama bersifat puritan yang terpisah daripada arus masyarakat pelbagai budaya lebih luas, adalah sesuatu yang kurang bijak.
Ia boleh menggalak penyebaran budaya saingan yang boleh menimbulkan ideologi ekstremis yang menjejas semua.
Beberapa perkara menimbulkan ketidakpastian menyelubungi kes serangan pada 17 Mei di bandar Ulu Tiram di Johor, Malaysia, melibatkan seorang lelaki bersenjatakan parang yang menyerang balai polis dan membunuh dua pegawai polis, dan mencederakan seorang lagi pegawai.
Penyerang tersebut kemudian ditembak mati (oleh seorang anggota polis).
Pada mulanya, polis Malaysia menyatakan ia mengesyaki serangan itu mungkin dibuat dengan tujuan mencuri senjata, dan ada kaitan dengan rangkaian Jemaah Islamiyah (JI).
“Peralatan berkaitan JI” dilaporkan ditemui selepas serbuan dibuat di rumah suspek, Radin Romyullah Radin Imran.
Selain itu, lima anggota keluarga Radin ditangkap, termasuk bapanya yang menurut polis adalah “anggota JI yang dikenali”.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Malaysia kemudiannya tidak lagi menekankan kaitan (serangan itu) dengan JI.
Beliau menyifatkan Radin sebagai lone wolf atau bertindak sendirian yang “didorong oleh motif tertentu berdasarkan pemahaman sendiri kerana dia jarang bercampur dengan orang lain”.
JI kini bukanlah rangkaian pengganasan rentas negara di Asia Tenggara yang sama seperti pada zaman popularnya sepanjang 1990-an dan 2000-an dengan kehadiran di Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina dan Australia.
Satu operasi bersama antara kumpulan Al-Qaeda dengan JI yang berpotensi membawa kemusnahan hampir berlaku di Singapura sebelum percubaan itu berjaya dicegah oleh agensi keselamatan.
Bagaimanapun, JI berjaya melancarkan beberapa serangan berprofil tinggi lain di rantau ini, contohnya pengeboman di Bali pada Oktober 2002 yang mengorbankan 202 orang.
Usaha bersepadu pasukan keselamatan Indonesia dan pemerintah lain di rantau ini berjaya memusnahkan sebahagian besar rangkaian tersebut.
Hari ini, rangkaian tersebut telah beralih kepada “strategi permainan jangka panjang” di pangkalannya di Indonesia, di mana ia memberi tumpuan terhadap kerja membina sumber dan sokongan popular secara beransur-ansur melalui dakwah, dengan menyusup ke dalam masyarakat sivil dan agensi pemerintah, sambil mengekalkan matlamat yang dipegang buat sekian lama untuk membangun sebuah Negara Islam di Indonesia, dan malah (sistem) khalifah Islam di rantau lebih luas.
Berdasarkan latar belakang ini, terdapat tiga senario mengenai serangan di Ulu Tiram:
Ini memang munasabah. Umum mengetahui bahawa Ulu Tiram pernah mempunyai Madrasah Luqmanul Hakim yang kini tidak lagi beroperasi.
Madrasah di kawasan pedalaman ini pernah menjadi “tempat pertemuan sangat penting untuk anggota kumpulan pengganas” JI pada 1990-an.
Madrasah Luqmanul Hakim pernah menjadi tempat orang-orang kanan JI dari Indonesia berkumpul dan hidup dalam buangan setelah melarikan diri daripada pemerintahan anti-Islam (mantan) Presiden Suharto.
Pemimpin JI ini termasuk pengasas JI, Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Bashir, serta anggota JI yang dikaitkan dengan pengeboman Bali pada 2002 seperti Mukhlas, Amrozi dan lain-lain.
Yang nyata, Madrasah Luqmanul Hakim yang terbiar dan berfungsi sebagai “pusat saraf utama” rangkaian JI di Malaysia pada 1990-an terletak kurang 100 meter dari rumah suspek tersebut.
Pada masa hampir sama dengan serangan di Ulu Tiram, terdapat insiden lain yang membimbangkan berlaku di Istana Negara dan satu lagi di balai polis di Pulau Pinang.
Polis Malaysia sedang menyiasat sama ada ia adalah “insiden terpencil atau diatur”.
Ringkasannya? Jika serangan di Ulu Tiram adalah sebahagian tindakan lebih luas yang diselaraskan oleh sel JI yang muncul semula dan teratur, maka serangan itu harus dilihat sebagai dilakukan oleh ‘penyerang bertindak sendiri’ atas arahan satu rangkaian tersusun yang lebih luas.
Pegawai kanan polis yang menyiasat serangan di Ulu Tiram mengesahkan bahawa penyerangnya, Radin, tiada kaitan dengan JI.
Yang jelas, bekas militan JI Indonesia seperti Ali Imron dan Umar Patek bercanggah pendapat dalam soal sama ada serangan di Ulu Tiram adalah satu rancangan JI yang teratur, kerana ia tidak sehaluan dengan profil rendah JI di Malaysia.
Tidak kurang pentingnya, Abu Bakar, pengasas bersama JI, turut menolak tanggapan bahawa JI mengarahkan serangan di Ulu Tiram.
Menyusuli kejadian itu, lima anggota keluarga lelaki yang menyerang (balai polis) di Ulu Tiram dikenakan tahanan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), dan polis turut mengesahkan bahawa keluarganya “mempunyai kepercayaan yang membawa implikasi buruk kepada orang lain”.
Ini menimbulkan kemungkinan Radin diradikalkan keluarganya yang “tidak bercampur dengan masyarakat dan menganggap orang lain sebagai kafir”.
Jika penyerang tersebut dipengaruhi fahaman ekstrem anggota keluarganya, terutama bapanya yang merupakan “anggota JI yang dikenali”, maka secara teknikal, dia bertindak sebagai lone wolf, iaitu atas kehendak sendiri.
Kemungkinan ketiga, Radin bertindak atas kehendak sendiri disebabkan keterlibatannya dalam “subbudaya ekstremis” yang muncul di sekitar Madrasah Luqmanul Hakim.
Pada zaman popularnya, madrasah tersebut adalah “tempat pembiakan ideologi militan dan ekstremisme”. Selain keluarga terdekat Radin, polis juga sedang menyiasat sekumpulan 20 individu yang mempunyai kaitan dengan JI.
Walaupun madrasah tersebut tidak lagi beroperasi, masjidnya dilaporkan terus memberi khidmat kepada lebih 10 keluarga yang tinggal di kawasan itu, termasuk keluarga yang ada kaitan dengan pemimpin operasi JI yang terkorban.
“Masyarakat Luqmanul Hakim” telah lama dianggap sebagai suka menghakimi orang luar dan “fanatik”. Pendek kata, “budaya saingan” sebegini adalah faktor risiko bagi pembiakan ekstremisme.
Selain itu, konflik berterusan di Gaza telah digunakan oleh kumpulan seperti ISIS untuk menghasut (orang ramai) melakukan keganasan, dan mungkin berperanan mempengaruhi Radin.
Oleh itu, jika penyerang (di Ulu Tiram) menjadi radikal secara sendiri disebabkan pendedahan kepada pengaruh dalam talian dari Timur Tengah, dia harus dianggap sebagai penyendiri.
Siasatan masih dijalankan. Oleh itu, seseorang tidak seharusnya membuat kesimpulan tergesa-gesa mengenai insiden serangan di Ulu Tiram.
Penyumbang rencana ialah Profesor Pengajian Keselamatan Negara, Pengerusi Provos dalam Pengajian Keselamatan Negara dan Dekan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg