Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peranan RRG terus berkembang hadapi landskap baru ancaman pengganasan

Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, berkata Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), yang ditubuhkan pada 2003, terus berperanan penting perkukuh usaha Singapura tangani ancaman pelampau. Berikut adalah sedutan ucapan beliau semasa melancarkan buku panduan kaunseling dan pementoran belia RRG di Rahat Tahunan RRG ke-19 baru-baru ini.
Jun 1, 2024 | 5:30 AM
Tetamu terhormat Rahat Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) ke-19, Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean berucap di hadapan sekitar 40 hadirin. Rahat tahunan RRG telah berlangsung di Shangri-La Rasa Sentosa pada 29 Mei.
Tetamu terhormat Rahat Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) ke-19, Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean berucap di hadapan sekitar 40 hadirin. Rahat tahunan RRG telah berlangsung di Shangri-La Rasa Sentosa pada 29 Mei. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Saya berbesar hati dapat bersama anda semua pada Rahat Tahunan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) kali ini.

Acara ini memberi RRG peluang untuk mendapatkan informasi terkini, berkongsi pengalaman, dan membuat perancangan bagi tahun hadapan. Ia juga merupakan kesempatan bagi para anggota RRG dan ahli keluarga untuk meluangkan masa bersama.

Ancaman radikalisme dan ekstremisme di seluruh dunia kekal pada tahap yang agak tinggi. Ia didorong oleh landskap keselamatan global yang bermasalah, termasuk peperangan tragis di Gaza.

Pelampau daripada sayap kiri dan kanan spektrum politik, serta daripada latar belakang agama yang berbeza telah mula menggunakan kekerasan.

Misalnya, di Amerika Syarikat pada bulan Oktober tahun lalu, seorang lelaki yang terpengaruh dengan retorik Islamofobia telah membunuh seorang kanak-kanak lelaki Muslim yang berusia enam tahun sahaja.

Rantau ini sedang berdepan dengan ancaman berterusan daripada kelompok pengganas seperti Jemaah Islamiyah (JI).

Dua minggu lalu di Johor, seorang lelaki berusia 21 tahun telah membunuh dua pegawai polis.

Dia sepertinya bertindak sendiri, namun kita tahu bahawa bapanya adalah ahli JI.

Anggota RRG tentu ingat bahawa rangkaian JI di Singapura mempunyai pertalian rapat dengan kawasan Ulu Tiram.

Pada masa yang sama, kumpulan-kumpulan pengganas global, seperti ISIS, terus mengilhamkan serangan dan menyebarkan ideologi ganas mereka, dibantu oleh Internet dan media sosial.

Kumpulan-kumpulan ini telah menyumbang kepada peningkatan dalam jumlah kes radikalisasi secara sendiri di Singapura.

Sejak 2015, seramai 38 warga Singapura yang menjadi radikal secara sendiri telah ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Lebih membimbangkan lagi, 12 di antara mereka merupakan belia, berbanding hanya satu sebelum 2015.

Kesemua belia ini telah menjadi radikal secara dalam talian, termasuk seorang belia berusia 16 tahun yang telah merancang serangan terhadap masyarakat Islam di dua masjid di Singapura.

Mungkin kita boleh berdepan dengan belia yang lebih muda pada masa hadapan.

RRG memainkan peranan penting dalam gerak balas Singapura terhadap ancaman radikalisme dan ekstremisme.

RRG telah menyesuaikan langkah pemulihannya dengan perubahan dalam landskap ancaman.

RRG mula memberi kaunseling agama kepada para anggota JI lebih dua dekad lalu.

Setelah warga Singapura pertama yang menjadi radikal secara sendiri ditahan pada 2007, RRG mula memberi kaunseling agama kepada individu-individu sedemikian juga.

RRG telah menerbitkan dua manual kaunseling pada 2003 dan 2008, sebagai panduan dalam memberi kaunseling kepada para tahanan JI dan individu yang menjadi radikal secara sendiri.

Susulan itu, RRG menerbitkan manual kaunseling ketiganya, yang menangani ideologi ISIS.

RRG juga mendekati masyarakat melalui usaha ‘community outreach’, untuk melindungi warga Singapura daripada ideologi ekstremis.

Pada tahun lalu, RRG telah mengembangkan Pusat Sumber dan Kaunseling atau RCC, dengan merasmikan pembukaan Galeri Majulah.

Galeri ini telah dikunjungi lebih 2000 orang sejak ia dibuka.

RRG juga telah meningkatkan kehadirannya dalam talian dengan melancarkan akaun TikTok pada tahun lalu.

Usaha-usaha RRG bagi mendekati masyarakat lebih luas, terutama sekali para belia, patut dipuji.

Golongan belia giat mencari bimbingan dan erti kehidupan. Propaganda ekstremis dan pengganas pula mudah diperoleh dalam talian.

Para belia menjadi radikal kerana sebab-sebab yang rumit, termasuk kurangnya kemahiran berfikir secara kritis, dan tekanan yang berpunca daripada keluarga atau hubungan sosial yang lain.

Sejak 2016, RRG telah menawarkan pendekatan pemulihan khusus bagi golongan belia.

Ini termasuk memainkan peranan sebagai ‘mentor’ atau pembimbing, dan memberi tuisyen untuk mendorong, membimbing dan mempersiapkan belia yang telah menjalani pemulihan untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

Bagi kes tahanan yang berusia 16 tahun, yang telah merancang serangan di masjid-masjid di Singapura, RRG juga berkongsi pengalaman mereka memberi kaunseling agama bersama seorang paderi Kristian kepada belia tersebut.

Tiga sukarelawan RRG juga memberi tuisyen kepada belia itu, dan dia telah meraih markah cemerlang dalam peperiksaan nasional yang didudukinya.

Saya gembira RRG telah menghasilkan manual keempat, khusus untuk memberi kaunseling dan bimbingan kepada para belia.

Saya teruja dapat melancarkan manual kaunseling RRG tersebut pada hari ini.

RRG akan berkongsi manual baru itu bersama rakan kongsi masyarakat seperti masjid-masjid dan Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG).

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada RRG atas sumbangan pengalaman mereka yang unik, dan pengetahuan mereka yang luas dalam membantu kami agar kekal mendahului landskap pengganasan yang berubah-ubah di Singapura.

Pendekatan Singapura yang berkesan dalam memulihkan individu radikal adalah berkat kerja baik dan pengorbanan RRG. Para perintis RRG, termasuk Ustaz Mohamad Hasbi Hassan dan Almarhum Ustaz Ali Haji Mohamed, telah mengambil langkah berani untuk sama-sama menubuhkan RRG pada 2003, ketika Singapura sedang melalui masa yang amat kritikal.

Sejak itu, selama lebih dua dekad, RRG telah menyumbang kepada keselamatan, keamanan dan kestabilan negara, dengan menentang pengaruh ekstremis.

Ini adalah masa-masa mencabar, namun saya yakin bahawa para pemimpin dan anggota RRG akan meneruskan kerja-kerja baik yang sedang dilakukan.

Pihak pemerintah akan memberi anda sokongan yang penuh dalam usaha bersama untuk menjaga keselamatan dan keamanan Singapura.

Terima kasih kepada semua anggota RRG atas sumbangan anda yang berharga dalam menjamin keamanan dan keharmonian Singapura. Saya berharap sesi rahat ini dapat dijayakan dengan lancar.

Kaunseling agama

“RRG mula memberi kaunseling agama kepada para anggota JI lebih dua dekad lalu.  Setelah warga Singapura pertama yang menjadi radikal secara sendiri ditahan pada 2007, RRG mula memberi kaunseling agama kepada individu-individu sedemikian juga.” 
Dekati masyarakat

“RRG juga mendekati masyarakat melalui usaha ‘community outreach’, untuk melindungi warga Singapura daripada ideologi ekstremis. Pada tahun lalu, RRG telah mengembangkan Pusat Sumber dan Kaunseling atau RCC, dengan merasmikan pembukaan Galeri Majulah.”
Tawar pemulihan khusus untuk belia

“Sejak 2016, RRG telah menawarkan pendekatan pemulihan khusus bagi golongan belia. Ini termasuk memainkan peranan sebagai ‘mentor’ atau pembimbing, dan memberi tuisyen untuk mendorong, membimbing dan mempersiapkan belia yang telah menjalani pemulihan untuk kembali ke pangkuan masyarakat.”
Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg