Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA – HARI PENAMAAN CALON

Pertembungan politik menarik di Selangor jadi tumpuan

Nov 06, 2022 | 05:30 AM



WALAUPUN cuaca di Selangor diramalkan hujan dengan ribut petir minggu ini, rasa bahang di negeri di tengah-tengah Semenanjung Malaysia ini semakin hangat dirasa.



Bukan kerana ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia itu salah, tetapi disebabkan terdapat beberapa pertembungan menarik melibatkan beberapa figura dan personaliti di negeri itu, yang menjadikan Selangor antara negeri yang mendapat tumpuan ramai dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.



PERTEMBUNGAN MENTERI BESAR



Di Gombak yang terletak kira-kira 25 minit perjalanan dengan menaiki kereta dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur misalnya, pertembungan antara Menteri Besar dengan mantan Menteri Besar Selangor pastinya akan mencuri tumpuan ramai.



Semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali, berjaya memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti selesa sebanyak 48,721 undi.



Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahim Kamarudin, serta calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Ir. Khairil Nizam.



Datuk Seri Azmin telah memegang kawasan Parlimen itu sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008.



Semasa PRU yang lalu, beliau memenangi kerusi Parlimen tersebut menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH), dengan bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR).



Namun, beliau dipecat daripada PKR pada Februari 2020 atas dakwaan pengkhianatan terbuka.



Kali ini, beliau akan bertanding dengan tiket Perikatan Nasional (PN), dengan bendera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).



Mantan Menteri Besar Selangor itu akan berentap dengan calon PH, Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga Menteri Besar Selangor sekarang, dalam antara pertembungan politik paling menarik dalam PRU15 ini.



Pemerhati politik dan pengarah di BowerGroupAsia, Encik Adib Zalkapli, berkata:



"(Datuk Seri) Azmin boleh dikatakan ayam tambatan Bersatu dan PN.



"Beliau berpengalaman di Selangor dan dilihat sebagai penyandang kerusi Parlimen yang sukar ditewaskan."



Tiga calon lain yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen di situ termasuk calon BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin; calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir; serta calon bebas, Haji Zulkifli Ahmad.



BERPROFIL TINGGI NAMUN 'UNDERDOG'



Sekitar 25 minit perjalanan dengan menaiki kereta dari Gombak pula, Sungai Buloh merupakan satu lagi kawasan Parlimen yang turut mendapat perhatian orang ramai dalam pilihan raya umum kali ini.



BN mempertaruh Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar, untuk merampas kerusi Parlimen Sungai Buloh.



Dianggap sebagai antara menteri berprofil tinggi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), Encik Khairy juga antara pemimpin generasi baru BN yang dilihat sebagai berupaya memberikan cabaran sengit kepada pencabarnya.



Meskipun Sungai Buloh adalah antara kubu kuat PH dan PKR, percaturan BN untuk meletakkan Encik Khairy bertanding di kawasan bandar tersebut telah mendorong Timbalan Presiden PKR, Encik Rafizi Ramli, untuk mempertimbang semula strategi asal mereka untuk meletakkan Datuk R Ramanan bertanding di kawasan Parlimen itu.



Semasa PRU14, kerusi Parlimen itu dimenangi oleh calon PKR, Encik R Sivarasa, dengan majoriti 26,634 undi.



Meskipun menyifatkan dirinya sebagai 'underdog' di kawasan Parlimen itu, Encik Khairy yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Rembau di Negeri Sembilan bagi tiga penggal sebelum ini, bagaimanapun tekad melaksanakan misi sukar menawan kerusi Parlimen Sungai Buloh dalam PRU15 ini.



"Saya datang ke sini sebagai 'underdog', tetapi saya yakin.



"Jika kita bersatu, bekerja keras dan meyakinkan pengundi, kita dapat tawan Sungai Buloh pada 19 November ini," katanya.



Dalam pertandingan tujuh penjuru di kawasan Parlimen itu, lima calon lain yang bertanding di kawasan itu ialah Encik Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia), Encik Mohd Akmal Mohd Yusoff (Pejuang ), Encik Mohd Ghazali Md Hamin (PN), serta dua calon bebas, Cik Nurhaslinda Basri dan Syed Razak Alsagoff.



PERTEMBUNGAN TEKNOKRAT



Satu lagi pertembungan menarik di Selangor boleh dijangkakan di kawasan Parlimen Kuala Selangor.



Pertandingan di kawasan Parlimen itu tidak kurang hebatnya dengan penampilan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mewakili BN berentap dengan penyandang kerusi Parlimen tersebut, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, daripada PH.



Datuk Seri Dr Dzulkefly, yang juga mantan Menteri Kesihatan, telah bertanding di Kuala Selangor sejak 2008 dan ketika itu menang dengan menggunakan bendera PAS.



Beliau kalah semasa PRU13 namun menang semasa PRU14 dengan bertanding menggunakan tiket PKR.



Dalam pilihan raya umum kali ini, Datuk Seri Dr Dzulkefly akan bertanding menggunakan tiket PH, dengan bendera Parti Amanah Negara (Amanah).



Menariknya, kedua-dua calon itu merupakan teknokrat, dengan Tengku Zafrul berpengalaman berkhidmat sebagai Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd, manakala Datuk Seri Dr Dzulkefly mepunyai pengalaman sebagai pensyarah di Fakulti Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, sebelum ini.



Calon PN, Ustaz Mohd Noor Mohd Shahar, serta calon Pejuang, Encik Mohd Shaid Rosli, akan turut bertanding di kawasan Parlimen itu.



PERSAINGAN SENGIT



BN telah mempertaruh beberapa nama besar di Selangor untuk merampas seberapa banyak kerusi Parlimen di negeri itu namun mereka pastinya akan berhadapan dengan saingan sengit selepas mencatat prestasi yang lemah dalam dua pilihan raya umum sebelum ini.



PN - yang merangkumi Bersatu, PAS dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Semenanjung - juga akan bertanding dalam pilihan raya umum pertama mereka sebagai sebuah gabungan parti politik dalam pilihan raya umum ini.



Namun, masih tidak jelas bagaimana respons pengundi kepadanya memandangkan Bersatu - yang dikira komponen utama dalam PN - juga dikenali sebagai parti yang memiliki ramai 'ahli politik katak' atau ahli Parlimen yang lompat parti.



Tiada kepastian siapakah di antara tiga gabungan parti politik utama itu akan berjaya meraih jumlah kerusi Parlimen paling banyak di Selangor dalam PRU15, dengan setiap daripada mereka juga mempunyai kekurangan masing-masing.



Bagaimanapun, PH mungkin boleh berasa yakin berdasarkan prestasinya sebelum ini serta kecenderungan pengundi di bandar untuk mengundi bagi gabungan tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >