Singapura, hab kemajuan, ketersambungan dan pendidikan global, menghadapi cabaran: radikalisasi belia melalui platform dalam talian.
Laporan baru-baru ini oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura menyerlahkan peningkatan kerentanan golongan muda terhadap fahaman pelampau.
Seorang pelajar Singapura berusia 17 tahun yang menjadi radikal sendiri telah ditangkap hanya beberapa minggu sebelum dia melakukan serangan pengganas yang dirancang di kawasan perumahan awam.
Digambarkan dalam satu kenyataan akhbar oleh ISD pada 18 Oktober sebagai penyokong “tegar” ISIS, pelajar itu berniat menggunakan pisau dapur atau gunting dari rumahnya sebagai senjata.
Walaupun tidak mempunyai latar belakang agama yang mendalam, dia terpikat dengan propaganda ISIS.
Akhirnya, dia berikrar taat setia kepada kumpulan itu dan menyatakan kesanggupan untuk mati demi perjuangannya.
Walau bagaimanapun, jelasnya, menuding jari kepada agama, dalam hal ini Islam, sebagai punca radikalisasi adalah tanggapan yang salah.
Dengan lebih dua bilion penganut di seluruh dunia, Islam telah memberikan sumbangan besar kepada tamadun, termasuk kemajuan dalam sains, seni, dan falsafah.
Mereka yang menjadi radikal selalunya mempunyai pemahaman yang cetek tentang ajaran Islam dan disesatkan oleh sumber dalam talian yang diputarbelitkan dan berpecah belah.
Radikalisasi pada asasnya melibatkan mekanisme psikologi, bukan hanya yang bersifat keagamaan.
Dalam keadaan persekitaran yang tertentu, ia boleh menjejas sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang.
Sebagai contoh, konflik Israel-Palestin menunjukkan bagaimana rasa ketidakadilan dan kehilangan serta krisis identiti boleh mendorong radikalisasi di kedua-dua belah pihak, dengan anak muda Palestin dan Israel sama-sama mengamalkan pandangan ekstremis ekoran kekecewaan atau ketakutan.
Begitu juga, kumpulan seperti Hezbollah dan negara seperti Iran mengeksploitasi rungutan sejarah dan geopolitik untuk menarik orang ke dalam ideologi pelampau.
Isu sebenar ialah penyalahgunaan platform digital, yang menguatkan lagi naratif yang herot ini dan memperhebatkan pandangan radikal.
Untuk memahami dinamik radikalisasi dalam talian, kita perlu mempertimbangkan konsep seperti gelembung saringan (filter bubble), algoritma, ruang gema (echo chamber) dan pengesahan berat sebelah (confirmation bias).
Fenomena digital ini membantu menjelaskan bagaimana naratif pelampau boleh berakar umbi.
Seperti yang dinyatakan oleh penulis Eli Pariser, gelembung saringan menerangkan tentang persekitaran maklumat diperibadikan yang dicipta oleh algoritma yang menyempitkan pendedahan seseorang kepada pelbagai sudut pandangan, hingga mengakibatkan pengasingan intelektual.
Pengasingan ini memudahkan kandungan pelampau menjangkau pengguna yang mudah terpengaruh.
Ruang gema, di mana kepercayaan diperkukuh apabila seseorang kerap mendengar perspektif dan pendapat yang sama berulang kali dalam kumpulan yang berfikiran sama, seterusnya mengesahkan dan mengekalkan naratif radikal itu.
Pengesahan berat sebelah memburukkan lagi masalah kerana individu cenderung kepada maklumat yang sejajar dengan kepercayaan sedia ada mereka dan menolak bukti yang tidak sejajar.
Secara bersama, dinamik ini mewujudkan persekitaran yang membolehkan radikalisasi berkembang, terutamanya dalam kalangan belia yang mencari tujuan hidup atau rasa kekitaan.
Radikalisasi remaja berusia 17 tahun yang disebutkan di atas melibatkan penggunaan aliran kandungan jihad ganas yang mengagungkan keganasan dan syahid.
Ini mencipta gelembung saringan, mengasingkan dia daripada perspektif dan sudut pandangan yang berbeza.
Dalam gelembung ini, naratif pelampau tidak dicabar, menyebabkan dia melihat ideologi ganas ISIS sebagai wajar.
Cabaran radikalisasi di Singapura telah berkembang, terutamanya apabila sengketa sedunia semakin membentuk naratif yang mempengaruhi belia yang mudah terpengaruh.
Serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 dan perang Israel-Hamas yang berikutnya telah meningkatkan risiko ini, kerana media sosial dibanjiri dengan kandungan yang penuh emosi dan berpecah belah.
Bagi sesetengah orang, pertukaran pendapat jenis ini memberikan rasa kejelasan moral dan tujuan – walaupun berpunca daripada maklumat salah dan fahaman pelampau.
Keadaan ini menyerlahkan isu yang lebih luas: keperluan untuk mengemudi sengketa sejagat dengan pandangan yang bernuansa.
Isu Palestin dari zaman Nakba (pengusiran rakyat Palestin pada 1948), misalnya, melangkaui sempadan agama dan pada asasnya adalah kebimbangan kemanusiaan.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, telah menekankan pendirian seimbang dan berprinsip Singapura terhadap konflik sejagat, termasuk perang Israel-Hamas.
Bercakap di Parlimen, beliau menekankan seruan Singapura untuk satu penyelesaian dua negara – pendekatan yang mencari keamanan, keadilan dan kestabilan untuk kedua-dua Israel dan Palestin.
Pendirian ini berfungsi sebagai peringatan penting tentang nilai pemikiran bernuansa ketika menangani perkara geopolitik yang peka.
Pada 1979, Menteri Ehwal Luar ketika itu, Encik S. Rajaratnam, menggariskan visi untuk masa depan Singapura dalam ucapannya, Perkembangan Politik Menuju Tahun 2000 (Political Developments Towards The Year 2000).
Beliau menggunakan karya ahli falsafah abad ke-14, Ibn Khaldoun, menekankan kepentingan ‘asabiyyah’ atau perpaduan kumpulan sebagai unsur penting untuk kelangsungan dan kemakmuran tamadun.
Idea ini sejajar rapat dengan konsep moden gabungan identiti, yang menggambarkan perpaduan mendalam yang dirasai individu dengan kumpulan – apabila identiti peribadi dan kumpulan menjadi tidak dapat dipisahkan.
Kedua-dua ‘asabiyyah’ dan gabungan identiti menyerlahkan kuasa rasa kekitaan bersama dalam mengukuhkan perpaduan sosial dan daya tahan kolektif.
Kebangkitan AI (kecerdasan buatan) merumitkan lagi keadaan, mewujudkan ruang gema yang mengukuhkan kepercayaan radikal dan menguatkan kandungan yang menyebabkan pecah belah.
Ini boleh mengasingkan belia dalam pandangan dunia yang diputarbelitkan, menjadikannya lebih sukar bagi mereka untuk mendapatkan pandangan seimbang.
Beberapa strategi utama mesti dilaksanakan bagi memerangi secara berkesan ancaman radikalisasi belia di Singapura.
Pertama, penting untuk menyemai pemikiran kritis dan celik digital dalam kalangan belia.
Program sekolah dan masyarakat harus mendidik golongan muda tentang algoritma manipulatif media sosial, membantu mereka mengenali gelembung saringan dan pengesahan berat sebelah sambil menggalakkan mereka mencari pelbagai pandangan berbeza dan mengamalkan kerangka pemikiran yang kritis dan tidak mudah percaya.
Memupuk kemahiran ini menjadi semakin mendesak, memandangkan iklim semasa di mana radikalisasi adalah bahaya yang jelas dan wujud.
Kedua, penglibatan ibu bapa dalam mencegah radikalisasi belia adalah penting.
Ibu bapa boleh membuat perubahan ketara dengan mewujudkan persekitaran terbuka dan menyokong supaya isu sejagat dan kepercayaan agama boleh dibincang secara bebas.
Ini amat penting dalam zaman tatkala kandungan digital boleh mempengaruhi minda anak muda dan ibu bapa mesti memantau secara proaktif kegiatan dalam talian anak-anak mereka.
Kes-kes belia radikal menonjolkan cabaran yang dihadapi ibu bapa.
Walaupun menyedari pendedahan anak mereka kepada kandungan berbahaya, kebimbangan mereka tidak membawa kepada campur tangan yang berkesan.
Tindakan belia yang berahsia itu, seperti yang ditunjukkan oleh penggunaan kata kod dan khidmat rangkaian persendirian maya (VPN), menunjukkan penglibatannya yang mendalam dengan fahaman radikal.
Ini menekankan bahawa belia boleh menjadi terasing dalam kepercayaan mereka, walaupun disedari ibu bapa.
Ia menunjukkan bahawa pemantauan sahaja tidak mencukupi; ibu bapa mesti membina kepercayaan, melibatkan diri dalam dialog yang bermakna dan menggalakkan pemikiran kritis untuk membantu anak-anak mereka menentang radikalisasi.
Jika ragu-ragu atau memerlukan nasihat, ibu bapa hendaklah merujuk kepada sumber yang berpengetahuan dan bertauliah seperti asatizah, Muis (Majlis Ugama Islam Singapura), RRG (Kumpulan Pemulihan Keagamaan), Pergas (Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura) dan pegawai masjid.
Mereka dilengkapi dengan kelayakan yang baik untuk memberi panduan tentang isu berkaitan dengan radikalisasi diri.
Akhir sekali, peraturan pemerintah dan teknologi diperlukan bagi mengawal penyebaran kandungan pelampau dalam talian.
Syarikat media sosial mesti bertanggungjawab ke atas kandungan yang mereka promosikan, manakala pemerintah harus bekerjasama dengan platform teknologi untuk mengawal selia naratif pelampau dan mencegah radikalisasi yang didorong oleh algoritma.
Penulis ialah Zamil Pelawat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) dan Perunding Komunikasi Strategik untuk Asia Tenggara dengan Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC). Beliau juga mengendalikan laman web komuniti interaktif www.ruangobrol.id. Rencana ini kali pertama diterbitkan dalam laman web RSIS pada 21 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg