Masyarakat mesti terus berwaspada dan memainkan peranan untuk membantu mencegah golongan belia daripada terlibat dalam gejala pengganasan yang boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain.
Ini memandangkan terdapat trend dalam kalangan belia menyahut seruan oleh kumpulan pengganas untuk melancarkan serangan di mana-mana sahaja mereka berada, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Beliau menambah trend sebegitu berlaku dalam talian dan boleh berlaku dengan cepat dan hanya memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan oleh seseorang terhadap sasaran mudah menggunakan senjata yang mudah untuk diperolehi.
Demikian dikongsi oleh Dr Faishal dalam catatan Facebooknya pada 20 Oktober bagi mengulas insiden terkini seorang remaja Singapura berusia 17 tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Ogos.
Remaja itu, menurut beliau, terdedah kepada ajaran pendakwah radikal asing dan telah menjadi penyokong tegar Isis dalam tempoh lima bulan selepas terdedah.
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Faishal berkata:
“Terdapat trend dalam kalangan belia yang menyahut seruan oleh kumpulan pengganas untuk melancarkan serangan di mana-mana sahaja mereka berada.
“Radikalisasi seperti ini lazimnya berlaku dalam talian dan boleh berlaku dalam masa beberapa bulan sahaja. Tidak banyak masa yang diperlukan untuk melaksanakan serangan satu pihak terhadap sasaran yang menggunakan senjata mudah dan senang diakses.
“Justeru kita harus membantu mencegah mereka daripada terlibat dalam keganasan dan memudaratkan diri sendiri dan orang lain.”
Dr Faishal berkata demikian dua hari selepas Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, mengumumkan pada 18 Oktober bahawa Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) telah menahan seorang penyokong ISIS warga Singapura berusia 17 tahun.
Penangkapan remaja itu berlaku hanya beberapa minggu sebelum dia melaksanakan rancangannya untuk membunuh orang bukan Islam di Tampines. Dia telah merancang untuk melakukan serangan semasa cuti sekolah September dan berlatih gerakan menikam dengan gunting.
Menurut ISD, dia ditahan pada Ogos di bawah ISA dan dikenakan Arahan Penahanan (OD) selama dua tahun pada September.
Remaja itu telah menjejaki langkahnya dari rumahnya ke kawasan lapang di Tampines Street 81, berhampiran pasar raya, kedai makanan dan kedai kopi, sekolah seni kanak-kanak dan pusat tuisyen, di mana dia merancang menikam lelaki bukan Islam, kata ISD.
Dia telah memilih kawasan berhampiran Kelab Masyarakat Tampines West kerana ia sesak dan berhampiran rumahnya.
Remaja itu turut merancang ke Syria untuk bertempur selepas berhubung dengan kenalan asing dalam talian untuk mendapatkan nasihat perjalanan dan meneliti laluan penerbangan, kata ISD.
ISD menambah pemuda itu melihat rancangannya untuk berperang di Syria sebagai bermakna kerana dia akan dapat berperang dan mati bersama anggota ISIS untuk menubuhkan negara Islam di Syria.
Memandangkan sukar untuk remaja tersebut pergi ke Syria tanpa menimbulkan syak wasangka keluarganya, ISD berkata dia telah memutuskan menyerang di Tampines, rancangan yang dia fikir lebih mudah dilaksanakan dan memenuhi aspirasinya untuk mati syahid.
Dr Faishal turut menggesa masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tanda seseorang di sekeliling mereka yang mungkin menjadi radikal dan untuk menghubungi talian ISD jika mereka mengesyaki seseorang itu telah diradikal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg