Melaporkan dapat menyelamatkan.
Demikian nasihat yang dikongsikan oleh Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagaman (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, kepada ibu bapa, dalam satu temu bual bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Beliau berkongsi perkara ini memandangkan ancaman radikalisme dalam kalangan belia di Singapura semakin membimbangkan, terutama dengan penyebaran ideologi ekstremis semakin berleluasa di Internet.
Pakar selainnya turut berkongsi kepada BH bahawa ibu bapa dan institusi keluarga memainkan peranan penting sebagai pelindung utama dalam menyelamatkan anak-anak mereka daripada fahaman radikal ini.
Menurut mereka, ibu bapa adalah yang paling rapat dengan anak-anak dan berada pada kedudukan terbaik untuk memantau aktiviti dalam talian mereka.
Pada Ogos lalu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas didapati merancang serangan pengganas di kawasan berdekatan Kelab Masyarakat Tampines West.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 18 Oktober, mereka mendapati ibu bapa remaja itu mengetahui kelakuan anak mereka yang menonton video pendakwah asing.
Ibu bapa remaja itu sudah menasihatinya supaya tidak menonton video tersebut, namun tidak diendahkannya.
Sesuai dengan hal itu, Ustaz Dr Mohamed berkongsi bahawa bantuan utama yang boleh diberikan ibu bapa adalah campur tangan dan melaporkan kepada pihak berkuasa apabila keadaan anak sudah semakin membimbangkan.
“Melaporkan anak-anak mereka kepada pihak yang bertanggungjawab itu sebenarnya satu amanah dan langkah yang baik dan perlu.
“Ini kerana melaporkan mereka sebenarnya adalah satu usaha untuk menyelamatkan mereka.
“Apabila mereka di bawah pemantauan pihak berkuasa, maka mereka akan diberi rehabilitasi,” ujar beliau sambil menekankan pentingnya ibu bapa “memantau dan menilai” kandungan media sosial anak-anak.
Hal ini turut dipersetujui Zamil Kanan yang juga Penyelaras Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.
Beliau berkata bahawa apabila seseorang itu terlibat dalam fahaman radikalisme, keluarga tidak perlu malu untuk ke hadapan, kerana punca seseorang itu mendapatkan pembelajaran agama bukan sahaja menerusi keluarga tetapi melalui media sosial juga.
Encik Norshahril menyatakan maklumat agama boleh didapatkan dari seluruh dunia dalam zaman media sosial sekarang.
“Untuk melaporkan fahaman pelampau dalam keluarga sendiri, itu satu perkara yang sukar dan akan menimbulkan dilema.
“Namun, tidak perlu malu dan segan untuk melaporkan, kerana itu bukan salah mereka (ibu bapa).
“Pendedahan kepada agama itu lebih luas daripada apa yang kita anggap sebagai pembelajaran tradisional,” katanya sambil menekankan bahawa masyarakat tidak boleh menyalahkan ahli keluarga tersebut jika berlaku isu seperti ini.
Beliau percaya bahawa jika masyarakat mempunyai pemahaman itu, lebih ramai yang bersedia untuk ke depan dan menilai kewujudan fahaman radikalisme.
Ustaz Dr Mohamed mengatakan bahawa ibu bapa harus “memantau dan menilai” kandungan media sosial anak-anak, antaranya memastikan sejauh mana mereka memahami pemahaman radikal yang mereka anuti.
“Ibu bapa harus mendekati mereka dan cuba memberikan nasihat terlebih dahulu.
“Tetapi sekiranya ibu bapa menghadapi kesukaran menasihati anak-anak mereka, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada asatizah setempat ataupun langsung hubungi kumpulan pemulihan keagamaan RRG,” kata Ustaz Dr Mohamed.
Menurutnya, kebanyakan remaja yang terjerumus dalam kancah radikalisme mempunyai pegangan agama yang cetek, lantas perlu bimbingan agama yang utuh dan kuat daripada asatizah bagi membantu dalam proses rehabilitasi.
Ustaz Dr Mohamed menambah: “Proses pemulihan mereka akan bermula dan dari situ mereka akan diberikan pemahaman agama yang benar dan juga berpeluang meleraikan segala salah faham agama yang mereka perolehi daripada kumpulan-kumpulan pengganas.”
Antara punca masalah radikalisme dalam kalangan belia hari ini adalah pengaruh media sosial.
Anggota RRG, Ustaz Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed, menukil sebuah kajian yang dilakukan pada 2023 yang mendapati para belia di Singapura menggunakan media sosial sekurang-kurangnya empat jam setengah sehari – jauh lebih tinggi daripada purata global, iaitu selama dua jam.
Beliau mengatakan bahawa gaming (permainan) dalam talian merupakan sebuah wadah yang digunakan ideologi radikal untuk mencari sasaran mereka.
“Ini kerana wadah gaming membolehkan mereka berbual tanpa menggunakan nama. Mereka tidak perlu memberi nama kepada orang yang mereka cakap dengan.
“Psikologi belia ialah mereka mempunyai emosi dan mereka suka mengambil risiko.
“Ideologi radikal lalu mengambil kesempatan pada perasaan begini,” kata Ustaz Dr Muhammad Mubarak.
Menurutnya, apabila emosi radikal sudah diterap dalam diri belia, ia menjadi cabaran besar untuk menukar kembali fahaman mereka.
Proses mendapatkan kepercayaan mereka memakan masa yang lama kerana fahaman radikal sering disembunyikan di sebalik isu-isu emosi yang mendalam.
Ustaz Dr Muhammad Mubarak berkata: “Fahaman radikal itu adalah sesuatu yang disembunyikan. Mereka juga mempunyai isu emosional di dalam diri mereka. Jadi untuk kita (kaunselor RRG) menembusi ke dalam emosi mereka, ia memakan masa yang sangat lama.
Dengan keadaan geopolitik yang sangat tegang, Ustaz Dr Muhammad Mubarak, menasihatkan para belia supaya berjumpa dengan orang dewasa di sekeliling mereka, jika mereka mempunyai pemikiran mengenai isu geopolitik ini.
Beliau turut menasihati mereka supaya mendapatkan pengajian agama yang benar dari masjid atau RRG supaya dapat mengatasi pemahaman tersebut.
Bagi Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura dan Ketua Pengasas Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) untuk belia dan penahanan untuk radikal diri, Encik Abdul Halim Kader, beliau berkongsi pengamatannya bahawa kesejahteraan dan keselamatan belia amat penting dan isu radikalisme boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Radikalisasi boleh berlaku tanpa mengira latar belakang atau status sosioekonomi. Ia penting bagi ibu bapa, guru, pemimpin agama, dan ahli masyarakat bersatu dalam melindungi belia kita yang terdedah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura pada 18 Oktober.
Beliau mengingatkan bahawa ibu bapa khususnya memainkan peranan penting dalam membentuk nilai anak-anak dan pandangan dunia mereka.
“Kita mesti memperkasakan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengenali tanda amaran awal radikalisasi, memupuk komunikasi terbuka dan pemikiran kritis dan menggalakkan nilai inklusif dan saling menghormati,” ujar beliau.
“
“Melaporkan anak-anak mereka kepada pihak yang bertanggungjawab itu sebenarnya satu amanah dan langkah yang baik dan perlu. Ini kerana melaporkan mereka itu sebenarnya adalah satu usaha untuk menyelamatkan mereka. Apabila mereka di bawah pemantauan pihak berkuasa, mereka akan diberi rehabilitasi.”“
“Untuk melaporkan fahaman pelampau dalam keluarga sendiri, itu satu perkara yang sukar dan akan menimbulkan dilema. Namun, tidak perlu malu dan segan untuk melaporkan, kerana itu bukan kesalahan mereka (ibu bapa). Pendedahan kepada agama itu lebih luas daripada apa yang kita anggap sebagai pembelajaran tradisional.”“
“Ini kerana wadah gaming (permainan) membolehkan mereka berbual tanpa menggunakan nama. Mereka tidak perlu memberi nama kepada orang yang mereka cakap dengan. Psikologi belia ialah mereka mempunyai emosi dengan mereka suka mengambil risiko. Ideologi radikal lalu mengambil kesempatan pada perasaan begini.”“
“Radikalisasi boleh berlaku tanpa mengira latar belakang atau status sosioekonomi. Ia penting bagi ibu bapa, guru, pemimpin agama, dan ahli masyarakat bersatu dalam melindungi belia kita yang terdedah.”Tanda-tanda kesan radikalisme menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD):


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg