Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

INDAHNYA RAMADAN

Ramadan di Belanda tetap meriah walau cara sambutan agak berbeza

Ketibaan bulan Ramadan- terutama sekali sambutan Ramadan yang tidak 'tersekat' dek Covid-19- amat dialu-alukan masyarakat Islam seluruh dunia. Ia juga diraikan dengan pelbagai amalan dan tradisi oleh masyarakat Melayu Islam di sini. BERITA MINGGU meninjau kemeriahan sambutan Ramadan tahun ini.
Apr 02, 2023 | 05:30 AM



AZAN yang berkumandang di saluran radio tempatan Singapura pernah membuat Cik Fauziah Hanim Akdogan mengalir air mata semasa Ramadan kerana terkenangkan keluarga tersayang yang beribu batu jauh daripada beliau.



Beliau, yang tinggal di Belanda sejak lima tahun lalu, rindu akan kemeriahan menyambut Ramadan di negara sendiri dengan pelbagai amalan budaya dan tradisi, seperti bertukar-tukar makanan dengan jiran, mengunjungi bazar dan mendapatkan bubur dari masjid.



Namun, beliau berusaha menghidupkan keindahan meraikan Ramadan seperti tempat kelahirannya di Singapura dengan membawa sebahagian amalan itu ke tempat tinggalnya sekarang di Belanda.



"Saya bawa barangan tradisional dari Singapura, seperti mangkuk tingkat (tiffin) dan tudung periuk kerana saya mahu rasa, terutamanya ketika Ramadan, seolah-olah di negara kelahiran sendiri seperti mana saya bersahur dan berbuka puasa di Singapura.



"Saya juga masak makanan tradisional Melayu. Dulu ketika saya baru belajar masak, saya akan beli pes dari Singapura dan bawa balik ke sini. Tetapi sekarang saya dah tahu masak, saya bawa balik bahan-bahan yang sukar ditemui, seperti belacan, ikan asin, kerisik dan kicap cap kipas.



"Mana bahan-bahan yang tidak ada, saya gunakan apa yang boleh didapati di sini. Contohnya, bila saya masak lemak cili padi, kangkung tak ada di sini tetapi saya gantikan dengan bayam," kata beliau.



Cik Fauziah, 54 tahun, bermastautin di Belanda sejak lima tahun lalu setelah mendirikan rumah tangga dengan suami, Encik Turgay Akdogan. Mereka menetap di Druten, sebuah bandar kecil di bahagian timur negara itu.



Meskipun menikmati kehidupan di negara baru, Cik Fauziah tidak dapat menafikan rasa rindu yang mendalam terhadap amalan dan suasana Ramadan di Singapura.



Misalnya, di Singapura, amalan berbuka puasa bersama keluarga besar dan rakan-rakan di rumah satu sama lain adalah sesuatu yang lazim dilakukan setiap Ramadan.



Namun, disebabkan Belanda sebuah negara besar dan rakan-rakan warga Singapura yang lain hidup berjauhan di bandar lain, sukar bagi mereka mengundang satu sama lain untuk berbuka puasa bersama.



Selain itu, Cik Fauziah menambah beliau perlu menyesuaikan dirinya dengan tempoh berpuasa yang berbeza mengikut musim. Contohnya, jika ia musim panas, tempoh berpuasa adalah sepanjang 18 jam sehari.



"Kami iftar pada sekitar 10 malam dan kemudian tunggu solat isyak pada sekitar 11 malam sebelum terawih. Selepas itu, tidur sekejap dan bangun pada 2.30 pagi untuk sahur pula.



"Ini antara perkara yang saya perlu sesuaikan diri selain makanan. Di Singapura, senang bagi kita dapatkan makanan. Kita boleh pesan dalam talian atau pergi ke bazar. Tetapi apabila saya berpindah ke sini, saya perlu belajar masak.



"Satu lagi yang saya rindukan ialah bertukar-tukar makanan dengan jiran sesama Islam. Di sini, amalan ini tidak ada sebab rakan-rakan kita semua tinggal berjauhan. Jadi, ia agak emosi bagi saya," kata beliau.



Namun begitu, Cik Fauziah dan suami tetap berusaha untuk menyambut Ramadan bersama rakan-rakan mereka.



Tahun ini, beliau merancang pergi ke bandar Rotterdam untuk berbuka puasa dan melakukan qiyam bersama rakannya pada hujung minggu di 10 malam terakhir Ramadan.



Bagi Cik Fauziah, Ramadan adalah waktu bagi individu meluangkan masa bersama keluarga tercinta.



"Dahulu di Singapura, saya bersama ibu bapa dan adik-beradik. Kini, saya di sini bersama suami. Alhamdulillah, ini masa untuk kita eratkan lagi hubungan antara satu sama lain dan beribadah bersama.



"Selain itu, Ramadan waktu bagi kita mengingati mereka yang telah meninggalkan kita, dan juga masa bagi kita menjadi Muslim yang lebih baik dan mendekatkan diri kita kepada agama dan pencipta kita," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >