Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Sajian bajet pastikan harga makanan kekal berpatutan

Dalam usaha memastikan makanan boleh terus mampu dibeli warga terutama di kawasan kejiranan, kesemua 374 kedai kopi yang disewakan daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan perlu menawarkan hidangan bajet menjelang 2026. Ini menambah kepada langkah-langkah sedia ada bagi memastikan makanan kekal dimampui. BERITA MINGGU meninjau pilihan makanan lebih dimampui di kedai kopi sekitar Singapura.
Mar 12, 2023 | 05:30 AM



HARGA semakin mahal, tetapi saiz makanan dihidangkan semakin kecil - ini antara aduan yang sering didengar atau dibaca dalam laporan berita atau media sosial sejak beberapa bulan lalu berhubung kos makanan yang semakin meningkat.



Sejak beberapa bulan lalu, soal harga makanan yang lebih tinggi hangat diperkatakan, yang menjadi satu keprihatinan ramai warga Singapura terutama di tengah-tengah inflasi dan kos sara hidup yang lebih tinggi kini.



LANGKAH PASTIKAN HARGA MAKANAN KEKAL DIMAMPUI



Namun, langkah-langkah telah diambil pemerintah untuk memastikan makanan kekal dimampui, terutama di kawasan kejiranan.



Berdasarkan pemeriksaan rambang Berita Minggu (BM) di beberapa kedai kopi dan pusat penjaja serata negara, orang ramai masih boleh menikmati hidangan lengkap dengan nasi atau mi bersama secawan teh atau kopi dengan hanya $5.



Misalnya, gerai Kedai Makan Muhajirin di kedai kopi di Toa Payoh menjual nasi lemak pada harga $1, manakala kedai kopi Restoran Keluarga Afghanistan di Tampines pula menjual sebungkus nasi sambal goreng pada harga $3.50.



Semangkuk mi rebus di Aminah Family Food Corner di Pusat Makanan Marsiling Lane pula berharga $2 sahaja, manakala mi sup bebola ikan di gerai Deanna's Kitchen di kedai kopi Padi Emas berharga $4.



"Kita mahu menjadikan ia mudah untuk warga Singapura mampu membeli makanan dan memastikan harga kekal rendah kerana kami faham kebanyakan barang mahal sekarang," kata Encik Muhamad Asri Ramli, pemilik perniagaan mi sup udang Deanna's Kitchen, yang mempunyai empat gerai di Toa Payoh, Woodlands, Chai Chee dan Jurong.



PENGUMUMAN PEMERINTAH MENGENAI SAJIAN BAJET



Khamis lalu, pemerintah mengumumkan bahawa kesemua 374 kedai kopi yang disewa daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) perlu menjual sajian bajet - iaitu makanan dan minuman yang dijual pada harga yang boleh dimampui dan berpatutan - menjelang 2026.



Buat masa sekarang, terdapat 72 kedai kopi sedemikian yang menawarkan sajian bajet tersebut, yang biasanya berharga sekitar $3 hingga $3.50, dengan kopi 'O' pada harga sekitar $1 hingga $1.15.



Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, di bahas Belanjawan bagi Kementerian Pembangunan Negara (MND), berkata pemerintah telah mendengar "keprihatinan mengenai kos sara hidup semakin meningkat dan mahu secara proaktif memastikan penduduk kita boleh terus mendapatkan pilihan makanan dimasak yang boleh dimampui dalam kawasan kejiranan".



Oleh yang demikian, skim makanan boleh dimampui itu - yang dilancarkan pada 2018 bagi tender kedai kopi baru HDB - sedang diperluas untuk merangkumkan kedai kopi lebih lama yang bakal memperbaharui penyewaan tiga tahun mereka mulai Mei 2023.



Sebagai syarat pembaharuan penyewaan itu, semua kedai kopi tersebut perlu menjual empat makanan bajet dan dua minuman bajet. Ia mesti pilihan hidangan penuh dan bukan makanan sampingan atau snek, dan mesti dijual di dua atau lebih gerai berlainan.



Di samping itu, dua daripada sajian bajet itu mesti merangkumi nasi, dan sekurang-kurangnya satu mesti halal. Terdapat juga keperluan bagi sekurang-kurangnya dua minuman bajet, iaitu kopi 'O' dan teh 'O'.



TAWARAN PILIHAN MAKANAN DENGAN HARGA BERPATUTAN



Secara umum, beberapa peniaga dan pengendali kedai kopi di kawasan kejiranan - mereka yang menyewa daripada HDB dan yang memiliki kedai kopi sendiri - memberitahu BM bahawa berita terkini itu amat dialu-alukan.



Ini, kata mereka, adalah penting terutama di tengah-tengah inflasi dan kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung warga Singapura.



Bahkan, mereka berkata kebanyakan gerai di kedai kopi sudah pun menawarkan pilihan makanan dengan harga yang berpatutan dan boleh dimampui orang ramai.



Namun begitu, ada antara mereka telah menyuarakan sedikit keprihatinan, memandangkan inflasi turut menjejas peniaga, termasuk kos barang mentah dan utiliti yang semakin meningkat.



Untuk menawarkan pilihan makanan dengan harga lebih rendah, mereka harus mempertimbangkan faktor inflasi dan kenaikan kos supaya tidak mengalami kerugian dan dapat meraih keuntungan dalam mata pencarian juga.



Pengurus Restoran Keluarga Afghanistan, Encik Mobin Mahmood, berkata peniaga harus menanggung, umpamanya, kos elektrik, bahan mentah dan air yang telah meningkat selain gaji kakitangan.



Pemilik dan pengarah syarikat Makanan dan Minuman (F&B) Mr Teh Tarik Pte Ltd, Encik Karry Mock, pula berkata ekonomi memainkan peranan penting, dan sekiranya pegerai menjual makanan pada harga terlalu murah, mereka mungkin tidak dapat menampung kos operasi perniagaan.



"Peniaga perlu merancang apakah jenis makanan yang akan ditawarkan sebagai sajian bajet dan juga mengira kos dan sebagainya. Ini sesuatu yang mereka perlu fikir dan pertimbangkan," kata beliau.



Bagaimanapun, pengendali kedai kopi dan peniaga berkata mereka terus berusaha memastikan makanan mereka dijual pada harga yang munasabah dan boleh dimampui segenap lapisan masyarakat.



Pengurus Besar Kumpulan, Tenderfresh, Encik Gabriel Chee, berkata: "Tenderfresh sudah lama dikenali sebagai perniagaan di kedai kopi di kawasan kejiranan, dan kami berusaha menawarkan harga yang terbaik."



Jurucakap syarikat pengendali pusat makanan dan kedai kopi Koufu pula berkata mereka telah menawarkan sajian bajet sejak dahulu lagi untuk pelanggan.



Mereka mempunyai sekitar 20 kedai kopi, dengan 10 daripadanya disewa daripada HDB.



"Sebagai pengendali pusat makanan dan kedai kopi, kami telah menawarkan set sajian seperti set roti kaya mentega kepada pelanggan.



"Kami juga menggalak penyewa kami untuk menawarkan sajian bajet demi menyediakan tawaran makanan lebih luas kepada pelanggan kami," kata jurucakap itu.




"Kita mahu menjadikan ia mudah untuk warga Singapura mampu membeli makanan dan memastikan harga kekal rendah kerana kami faham kebanyakan barang mahal sekarang."
- Pemilik Deanna's Kitchen, Encik Muhamad Asri Ramli.



"Sebagai pengendali pusat makanan dan kedai kopi, kami telah menawarkan set sajian seperti set roti kaya mentega kepada pelanggan.
Kami juga menggalak penyewa kami untuk menawarkan sajian bajet demi menyediakan tawaran makanan lebih luas kepada pelanggan kami."
- Jurucakap syarikat pengendali pusat makanan dan kedai kopi Koufu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >