Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat berdikari faktor kejayaan utama S’pura

Prinsip utama berbilang kaum, meritokrasi, berdikari dan integriti sokong model tadbir urus
Oct 12, 2024 | 5:30 AM
Our Tampines Hub merupakan salah satu contoh ruang bersepadu di Singapura yang diwujudkan agar orang ramai daripada pelbagai latarbelakang boleh berkumpul dan melakukan kegiatan dengan selesa secara bersama.
Our Tampines Hub merupakan salah satu contoh ruang bersepadu di Singapura yang diwujudkan agar orang ramai daripada pelbagai latarbelakang boleh berkumpul dan melakukan kegiatan dengan selesa secara bersama. - Foto ST

Ramai rakyat Malaysia mengenali Perdana Menteri Singapura yang bermain gitar, Encik Lawrence Wong Shyun Tsai, yang mendiang bapanya dibesarkan di Ipoh, Perak, semasa kecil.

Encik Wong, 51 tahun, dianggap oleh warga Singapura sebagai satu kelainan kerana telah menjawat jawatannya itu walaupun berasal daripada sekolah kejiranan dan bukannya alumni sekolah yang dihadiri ramai golongan elit di bandar itu.

Rakan sekerjanya yang lebih berusia, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, 61 tahun, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, mungkin merupakan contoh yang lebih baik bagi mobiliti sosial yang meningkat di negara bandar itu, setelah menjadi antara minoriti yang dibesarkan di rumah sewa awam.

“Tetapi (hidup miskin) tidak menghalang saya daripada pergi ke universiti, menjadi seorang jurutera, kerana sokongan tersedia… Saya tidak mempunyai banyak benda yang orang lain miliki, tetapi saya tidak pernah berasa miskin.

“Saya tidak pernah merasakan bahawa saya berbeza daripada rakan-rakan saya. Kami semua sentiasa berkumpul, bekerja bersama. Kadang-kadang, apabila ada pesta hari lahir, rakan-rakan saya tidak menjemput saya kerana mereka tahu saya tidak mampu (membeli hadiah), tetapi saya tidak pernah merasa diketepikan,” kata Encik Masagos.

Beliau menceritakan bagaimana terdapat usaha dengan kesedaran untuk mempromosikan kepelbagaian budaya dan membina ruang bersama awam tempat orang ramai boleh “berkumpul dan mempunyai rasa kebersamaan, tidak kira betapa besar atau sekecil mana masyarakat anda” sambil membolehkan mereka mempunyai identiti peribadi mereka dari segi budaya dan agama.

“Singapura juga mengenai membina sikap berdikari. Saya tidak sampai ke kedudukan saya sekarang kerana saya mendapat faedah istimewa. Saya sampai ke tempat saya berada kini kerana saya bekerja keras. Dan oleh itu, melihat bagaimana saya sampai ke tempat saya berada, saya dihormati.

“Sama juga bagi setiap orang. Anda tahu bahawa anda mendapat pekerjaan itu bukan kerana mengenali seseorang. Anda mendapat pekerjaan itu bukan kerana keturunan, bukan kerana anda mempunyai akses kepada universiti terbaik, kerana semua universiti (di sini) adalah universiti yang baik.

“Anda berjaya mencapai kedudukan anda dengan merit, berdikari, bekerja sendiri,” sambung Encik Masagos, yang merupakan antara warga Melayu/Islam Singapura pertama yang lulus dengan Kepujian Kelas Pertama dalam Kejuruteraan Elektrikal dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan seterusnya meraih ijazah sarjana dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Kedua-dua universiti itu berada dalam kedudukan 20 teratas di seluruh dunia, dengan NUS menjadi universiti pertama dari Asia yang berada dalam 10 kedudukan teratas.

Beliau seterusnya berkata bahawa pemegang jawatan awam Singapura tidak boleh melakukan apa-apa kesilapan.

“Kami tidak boleh membiarkan sesiapa, terutamanya mereka dalam kalangan pihak berkuasa di Singapura, untuk berlaku tidak jujur ​​kerana ia akan menitis ke bawah… Terdapat proses untuk menghalang anda daripada berhutang kepada orang, malah rakan anda atau kenalan anda yang mungkin memberi anda hadiah.

“Di Singapura, jika saya mendapat hadiah, katakan, jam tangan Rolex, (dan) saya mahu menyimpannya – bukan hanya saya, setiap pegawai pemerintah mesti mengisytiharkannya dan pemerintah akan menilai jam tersebut dan memberitahu anda bahawa jika anda ingin menyimpannya, anda mesti membelinya dengan harga $4,000, sebagai contoh.

“Jadi, saya membelinya (pada nilai pasaran di mana saya tidak untung atau rugi apa-apa) dan saya tidak rasa terhutang budi kepada anda. Itulah sistemnya – kita perlu memastikan semua orang berlaku jujur.

“Di Singapura, saya akan katakan kebanyakan orang dibayar mengikut kemahiran mereka. Mereka sepatutnya tidak mempunyai sebarang sebab untuk menyimpan jam tangan Rolex yang tidak mampu mereka beli.

“Ia adalah sistem yang telah lama kami jalankan dan itulah yang memastikan negara terus berjalan. Kepelbagaian budaya, meritokrasi, sifat berdikari dan kejujuran – hanya empat perkara tetapi sangat sukar untuk dilakukan,” tambah Encik Masagos, sambil menonjolkan empat “prinsip panduan” atau asas bagi pembinaan daya tahan negara.

Singapura pasti telah membuat perkara yang betul, berdasarkan pertumbuhan luar biasa dari sebuah negara pulau kecil dengan sumber semula jadi yang terhad kepada salah sebuah negara terkaya dan paling progresif di dunia dalam masa lima dekad sahaja selepas pemisahannya dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Encik Masagos, yang baru berusia lebih dua tahun apabila ‘titik merah kecil’ – istilah yang kadang-kadang disebut bagi merujuk kepada republik itu – dipisahkan dari Malaysia, adalah warga Singapura generasi kedua yang ibunya berasal dari Malaysia dan masih mempunyai saudara-mara di sana.

Bercakap kepada wartawan Malaysia yang melawat Our Tampines Hub, Encik Masagos menceritakan bagaimana ruang bersepadu bagi masyarakat dan gaya hidup seluas 300,000 kaki persegi – dengan kemudahan sukan, perpustakaan daerah, pusat penjaja, pasar raya, kedai dan pusat perkhidmatan pemerintah – itu telah diwujudkan untuk menjadi “tempat bagi orang ramai berkumpul untuk perkara berbeza, untuk mencerminkan negara Singapura, untuk kumpulan umur yang berbeza, untuk kumpulan masyarakat yang berbeza, untuk kumpulan etnik yang berbeza berasa selesa apabila mereka datang ke sini”.

Beliau menambah: “Saya mempunyai falsafah mudah untuk kakitangan di sini. Tiada sesiapa yang datang ke Tampines Hub dan berasa miskin. Terdapat banyak perkara percuma yang boleh anda lakukan di sini dan anda tidak perlu rasakan bahawa anda perlu membeli sesuatu untuk menikmati kemudahan di sini.”

Setiap orang berkorban sesuatu

Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Kedua Kesihatan, berkata prinsip panduan berdikari dan meritokrasi terpakai walaupun ia melibatkan pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk semua penduduk, termasuk kumpulan minoriti.

Menurut data daripada Jabatan Perangkaan Singapura, tidak seperti negara jirannya yang lebih besar seperti Malaysia dan Indonesia, masyarakat Melayu/Islam adalah minoriti di Singapura, membentuk hanya 15.1 peratus daripada 3.61 juta penduduk warga negara (rakyat Singapura sahaja, tidak termasuk 0.54 juta Penduduk Tetap dan 1.77 juta bukan pemastautin) pada Jun 2023, berbanding 75.6 peratus Cina dan 7.6 peratus India.

“Pada tengah malam (pada 9 Ogos 1965) Singapura merdeka dan tiba-tiba orang Melayu dan orang Islam menjadi minoriti. Jika anda melihat apa yang (perdana menteri pertama Singapura, mendiang) Lee Kuan Yew katakan pagi itu, beliau berkata (Singapura) bukan negara untuk Cina, Melayu atau India.

“Ia adalah negara untuk semua orang, yang merupakan kenyataan yang sangat besar. Ini bermakna golongan minoriti mesti berasa dilindungi dan majoriti tidak boleh mendapatkan semua yang mereka inginkan. Setiap orang mengorbankan sesuatu yang penting.

“Majoriti boleh saja berkata bahawa mulai 10 Ogos (pada 1965), semua orang mesti bercakap Mandarin (tetapi) itu tidak berlaku. Sebenarnya, ada orang pergi menemuinya dan bertanya, ‘Kenapa tidak jadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa kebangsaan kita?’ dan (Encik Lee) berkata, ‘Kamu pasti gila’. Dan sehingga hari ini, ia tidak begitu.

“Sebaliknya, semua orang mendapat pembiayaan untuk mempelajari bahasa mereka sendiri, bahasa ibunda mereka, selain bahasa Inggeris sebagai bahasa (kerja)… jadi anda mengekalkan budaya anda, identiti agama anda, amalan agama anda, tetapi anda sentiasa mempunyai ruang bersama.

“Apabila kemerdekaan berlaku, umat Islam sudah mengamalkan, contohnya, undang-undang keluarga di bawah peraturan Islam di Tanah Melayu… sesuatu yang amat berharga kepada umat Islam. Pemerintah membenarkannya diteruskan dan meluluskan Akta Pentadbiran Hukum Islam 1966 (Amla) bagi membolehkan orang Islam menjalankan undang-undang keluarga mereka mengikut amalan orang Islam.

“Undang-undang ini pada asalnya hanya untuk undang-undang keluarga – perkahwinan, perceraian, pewarisan – tetapi dari masa ke masa, ia telah berkembang menjadi bidang lain (termasuk) pentadbiran masjid, asatizah dan wakaf,” kata Encik Masagos, mengaitkan asal mula Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan keperluan untuk seorang menteri yang menjaga Amla.

Semuanya berdasar meritokrasi, bukan hak

“Tiada konsesi. Semuanya berdasarkan meritokrasi,” jawab Encik Masagos, apabila ditanya apakah yang dijanjikan kepada kaum minoriti untuk memastikan mereka tidak dipinggirkan.

“Perkara yang paling penting ialah sifat berdikari dan meritokrasi. Dan dalam kes kami, keberanian untuk memahami masalah dan menyelesaikannya. (Pada) 40 tahun yang lalu apabila masyarakat berkumpul untuk memahami isu-isu dari perspektif holistik, ia adalah pendidikan,” katanya, menceritakan bagaimana hanya kira-kira separuh daripada pelajar Melayu lulus peperiksaan GCE peringkat ‘O’ pada awal 1980-an.

Sebaliknya, kira-kira 99 peratus pelajar Melayu menamatkan sekurang-kurangnya 10 tahun pendidikan hari ini, dengan lebih daripada 90 peratus melanjutkan pelajaran untuk menamatkan pengajian posmenengah mereka.

“Pada asalnya, apabila kebanyakan orang Melayu tidak begitu kaya, kami bersekolah secara percuma. Saya pergi ke universiti secara percuma. Ayah saya meninggal dunia agak awal. Saya tidak mempunyai wang. Kakak saya juga akan belajar perubatan.

“Dua orang pergi ke universiti tanpa wang. Tetapi kerana kebanyakan daripada kami tidak berkemampuan, kami pergi secara percuma,” katanya, menceritakan bagaimana pelajar yang layak boleh memohon dan layak mendapat bantuan kewangan dan biasiswa.

“Hari ini, lebih ramai orang Melayu yang berkemampuan. Saya tidak sepatutnya mendapat pendidikan percuma untuk anak-anak saya, itu bukan meritokrasi. Wang yang kini tidak dibelanjakan oleh pemerintah untuk anak-anak saya pergi ke sebuah organisasi bernama Mendaki, yang membantu masyarakat mencapai pendidikan (yang lebih baik) dan membantu mereka yang ketinggalan. Wang itu masih digunakan untuk pendidikan tetapi bukan untuk orang yang mampu.

“Saya patut bayar untuk anak saya. Adalah tidak adil untuk saya mendapatkannya (hanya) kerana saya orang Melayu. Kami tidak mahu konsep rasa berhak ini dalam masyarakat kami. (Ini mengenai) meritokrasi dan saya sepatutnya gembira untuk memberikannya kepada orang lain (yang tidak mampu membayar),” kata Encik Masagos, sambil menambah bahawa pemerintah Singapura mendapat faedah daripada sikap berhemat sejak awal dari segi perbelanjaan.

Dengan menteri di Singapura antara yang menerima gaji tertinggi di dunia, Encik Masagos mampu membiayai pendidikan anak-anaknya dan banyak lagi.

Justeru, beliau lebih prihatin untuk menarik lebih ramai orang memulakan pembelajaran sepanjang hayat bagi mengekalkan kemajuan yang dicapai masyarakat itu setakat ini.

“Selepas kamu tamat sekolah, kamu mesti terus memiliki semangat pembelajaran sepanjang hayat ini kerana dalam generasi saya, saya akan mati tetapi syarikat itu akan tetap ada.

“Dalam generasi anda, apabila anda masih hidup, syarikat itu mungkin sudah mati, jadi anda perlu berpindah dari syarikat ke syarikat, dari kerjaya ke kerjaya (jadi) anda perlu sentiasa ingin belajar sepanjang hayat. Anda bukan sahaja mesti dapatkan pendidikan asas atau kemahiran asas (tetapi) anda juga mesti bersedia untuk meningkatkan kemahiran selama-lamanya... Anda fikir anda seorang peguam, anda mempunyai pekerjaan yang baik? AI (kecerdasan buatan) akan mengambil alih tugas anda.

“Anda lebih baik tahu AI. Malah penulis ucapan saya, saya tidak memerlukannya lagi. Anda hanya boleh berkata, ‘Saya memerlukan ucapan selama 20 minit, tulis sahaja ucapan ini untuk saya dan sila buat ia lucu’ – AI sudah boleh melakukannya,” katanya.

Pergerakan mobiliti sosial

Lebih banyak lagi sedang dilakukan hari ini untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Singapura sambil mereka berusaha memanjat tangga sosioekonomi dan untuk golongan karyawan kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.

Dengan kemunculan AI dan kemajuan teknologi yang boleh menyebabkan banyak pekerjaan tradisional yang stabil menjadi usang, program seperti SkillsFuture – apabila pemerintah membayar gaji kepada mereka yang diberhentikan kerja tanpa sukarela dan mereka yang mengambil cuti kerja untuk memperoleh kemahiran baru – ditawarkan.

Namun, prinsip yang sama terpakai: Rakyat Singapura sendiri perlu berusaha untuk memperoleh kemahiran baru tersebut.

Encik Masagos merujuk kepada program Community Link atau ComLink+ di mana keluarga yang memerlukan bantuan diberikan jurulatih keluarga yang berdedikasi, yang kemudiannya akan bekerjasama dengan mereka untuk membangunkan pelan tindakan bersama untuk memberi mereka galakan dan meningkatkan keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak ke arah peningkatan dalam bidang kritikal seperti pendidikan prasekolah, pekerjaan, kestabilan kewangan dan simpanan untuk pemilikan rumah.

Kadar pemilikan rumah Singapura telah meningkat daripada hanya di bawah 60 peratus pada 1980 kepada 90 peratus hari ini, hasil daripada ketersediaan perumahan awam di bawah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang boleh dibiayai menggunakan simpanan berkanun daripada Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Geran perumahan CPF yang dipertingkatkan sehingga $80,000 diberikan kepada kumpulan berpendapatan rendah yang membeli rumah pertama mereka.

Singapura telah lama mengiktiraf keperluan untuk memudahkan lebih ramai wanita mempunyai anak dan masih mengekalkan pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran dan kelayakan mereka.

Inilah sebabnya mengapa terdapat penekanan untuk menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak dan penjagaan warga tua yang berpatutan dan mudah didapati, yang akan menjadi lebih penting bagi apa yang dipanggil “generasi sandwic” apabila masyarakat menua, memandangkan keperluan untuk menjaga golongan muda dan tua.

Dari segi penjagaan kesihatan dan penuaan aktif, Encik Masagos berkata sebahagian daripada usaha mencapai hasil penjagaan kesihatan yang lebih baik ialah “membuat orang ramai memahami bahawa anda mesti berdikari”.

Beliau menambah: “Anda mesti menjaga kesihatan anda, berapa banyak anda makan, berapa banyak anda bersenam, pergi untuk pemeriksaan kesihatan sebelum terlambat... kerana barah pun, jika anda mengesannya lebih awal, anda boleh merawatnya... Jadi, sebahagian daripada SG Lebih Sihat ini adalah untuk memberi insentif kepada warga emas untuk berdikari, mengambil tindakan untuk menjalani saringan kesihatan dan menjalani hari tua yang sihat. Ia adalah pakej keseluruhan – bukan hanya tentang kesihatan, hidup lebih lama.

“Ia juga untuk memastikan anda mempunyai matlamat dan (mempunyai) kehidupan sosial yang baik, supaya anda tidak kesepian di rumah (apabila tua).”

Menjelang 2030, satu daripada empat rakyat Singapura akan berumur 65 tahun atau lebih, meningkat daripada satu daripada enam pada 2020.

Dengan Malaysia bersedia untuk menjadi masyarakat tua dan lebih daripada 14 peratus penduduknya berusia di atas 65 tahun menjelang 2030, ia mungkin boleh belajar daripada pengalaman dan kejayaan pembangunan yang dilihat pada ‘titik merah kecil’ di seberang Tambak dalam memastikan tiada sesiapa ketinggalan ketika Malaysia menuju ke arah status berpendapatan tinggi yang maju.

Nota: Baru-baru ini, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) menganjurkan sekumpulan wartawan Malaysia untuk Program Lawatan Wartawan Malaysia (MJVP). Pengarang Kanan, Cik Cindy Yeap, daripada The Edge Malaysia, pada 16 September menulis ulasan yang sangat baik tentang pengalamannya bertemu dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. Bersandarkan pada perkongsian pengalaman peribadi Encik Masagos, ulasan itu menumpukan pada bagaimana prinsip utama berbilang kaum, meritokrasi, berdikari dan integriti menyokong model tadbir urus Singapura dan kejayaannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg