Pemerintah akan terus memastikan warga Singapura menerima sokongan yang diperlukan untuk mengatasi cabaran dalam fasa pembangunan negara seterusnya.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
“Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat bahawa kami akan berada di sisi (mereka) dan memastikan tiada sesiapa yang tertinggal.
“Nilai-nilai utama kita seperti gotong-royong adalah berkat sifat bersatu masyarakat Melayu/Islam dan bersama-sama kita boleh membina Singapura yang memperkasa setiap individu mencapai impian mereka,” ujar beliau dalam satu hantaran di Facebook pada 15 September.
Beliau mengulas sesi itu setelah menghadiri Dialog Pasca Rapat Hari Kebangsaan (NDR) M Kuasa Tiga (M3) anjuran Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) pada 12 September di Wisma Geylang Serai selaku anggota panel.
Lebih 200 peserta hadir, antara lain terdiri daripada wakil anggota Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan M3, wakil pertubuhan Melayu/Islam, serta pelajar institut pengajian tinggi (IHL).
Sesi dialog lebih satu setengah jam itu membincangkan pelbagai isu seperti kekeluargaan, perumahan dan pekerjaan.
Isu seperti bilangan pusat prasekolah kanak-kanak, cuti bersama ibu bapa, serta isu memperkasa warga tua turut dikemukakan semasa sesi dialog tersebut.
Keprihatinan itu disuarakan para peserta kepada Encik Masagos bersama dua panelis lain – Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.
Antara soalan yang dikemukakan peserta adalah sama ada jumlah prasekolah memadai untuk masa ini dan jika ia harus dipertingkatkan.
Encik Masagos berkata jumlah tersebut bergantung kepada kadar guru prasekolah yang ada dalam memenuhi permintaan mereka, dan lebih ramai guru diperlukan di beberapa pusat prasekolah.
Dalam satu laporan Berita Harian, Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) menyatakan bahawa sekurang-kurangnya lagi 1,500 guru prasekolah diperlukan menjelang 2025.
Ini ekoran keadaan di estet perumahan Bina Ikut Tempahan (BTO) yang baru dibangunkan, dan ramainya ibu muda yang melahirkan anak.
Turut ditimbulkan dalam dialog itu adalah tentang tambahan cuti bersama ibu bapa dan pemberian cuti menjaga anak.
Encik Masagos menjelaskan bahawa tujuan utama skim tambahan cuti itu bukan untuk menaikkan kadar kelahiran, tapi untuk menyokong dan menguatkan lagi unit keluarga.
Berdasarkan keperluan guru prasekolah, antaranya dalam aspek penjagaan bayi, beliau berharap tambahan cuti bersama ibu bapa itu memberi ibu bapa lebih ruang untuk menjaga anak mereka.
Namun, Encik Masagos turut mengingatkan bahawa pertimbangan dalam pengagihan hari cuti antara mereka yang sudah berumah tangga dengan yang masih bujang perlu diambil kira.
Menurut anggota Jawatankuasa Akar Umbi East Coast dan Bendahari MAEC Bedok, Encik Mohammad Shiddiq Johar, 25 tahun, dalam usaha memenuhi kadar tenaga pengajar, pemadanan guru prasekolah dalam mencari dan melatih mereka harus dipertimbangkan.
“Tugasan guru prasekolah adalah sesuatu yang saya rasa tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja sukar, malah memerlukan daya fizikal dan mental yang tinggi.
“Adakah latihan bagi guru prasekolah baru dan akan datang ini mampu membuat mereka bukan sahaja mencintai pekerjaan mereka, malah mampu membentuk minda generasi akan datang?” ujar beliau.
Beberapa peserta turut mengajukan soalan tentang bagaimana warga emas boleh diperkasa dan kekal relevan pada masa akan datang.
Menjawab soalan tersebut, Dr Faishal berkongsi bahawa lebih banyak anggota masyarakat perlu tampil memainkan peranan memandangkan golongan warga senja kian meningkat.
Antara lain, Dr Faishal menyebut beberapa daya usaha seperti, Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) dan Sihat Menua SG atau Age Well SG yang dilancarkan pada 2023, bagi bertujuan menyokong warga emas agar berdikari dan menua secara aktif dalam masyarakat.
Ini di samping Program Peningkatan Warga Emas (SUP) yang diumumkan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, pada 25 Ogos.
Sebanyak 26 kawasan dalam kejiranan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang menjadi tempat tinggal lebih ramai penduduk warga emas telah dipilih untuk menjalani program peningkatan baru.
Dalam sesi dialog itu, Encik Saktiandi turut menggalakkan golongan warga emas supaya memanfaatkan skim sokongan seperti kredit SkillsFuture.
Ia ditawarkan kepada pekerja pertengahan kerjaya berusia 40 tahun dan ke atas, sambil menjelaskan tentang manfaat yang boleh diraih daripada program tersebut.
Mengenai manfaat dialog itu pula, peserta Cik Nada Hanisa Abdul Samad, 58 tahun, berkata ia bukan sahaja wadah bagi para peserta meluahkan kebimbangan dan keprihatinan, malah mendapat pemahaman lebih mendalam dan dapat berkongsi kepada masyarakat.
“Saya mendapat maklumat secara langsung daripada pemimpin dan penjelasan mereka dengan lebih terperinci setelah berkongsi kebimbangan yang kami ada.
“Saya hadiri dialog sebegini supaya boleh mendengar dan berkongsi perkembangan kepada penduduk Kampong Chai Chee,” kongsi Cik Nada, yang juga anggota MAEC Kampong Chai Chee.
Semasa satu sesi wawancara media selepas sesi dialog itu, Dr Faishal berkata rakyat Singapura akan terus mendapat sokongan dalam memastikan mereka dapat menikmati persekitaran yang lebih mesra keluarga, terutama golongan warga emas.
“Aspek (penuaan) yang diutarakan bukan sahaja cabaran, bahkan cara mereka boleh menyumbang kepada pembangunan Singapura dan memperkasakan diri mereka.
“Ini satu aspek yang saya rasa amat baik dan menunjukkan minda masyarakat kita telah berubah – minda membangun dan positif,” kata beliau.
“
Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat bahawa kami akan berada di sisi (mereka) dan memastikan tiada sesiapa yang tertinggal. Nilai-nilai utama kita seperti gotong-royong adalah berkat sifat bersatu masyarakat Melayu/Islam dan bersama-sama kita boleh membina Singapura yang memperkasa setiap individu mencapai impian mereka.“
Aspek (penuaan) yang diutarakan bukan sahaja cabaran, bahkan cara mereka boleh menyumbang kepada pembangunan Singapura dan memperkasakan diri mereka. Ini satu aspek yang saya rasa amat baik dan menunjukkan minda masyarakat kita telah berubah – minda membangun dan positif.“
Saya mendapat maklumat secara langsung daripada pemimpin dan penjelasan mereka dengan lebih terperinci setelah berkongsi kebimbangan yang kami ada. Saya hadiri dialog sebegini supaya boleh mendengar dan berkongsi perkembangan kepada penduduk Kampong Chai Chee.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg