Masyarakat Melayu/Islam Singapura telah melangkah jauh dan boleh berbangga dengan kemajuannya, dengan pelbagai pencapaian luar biasa telah dikecapi dalam membina sebuah masyarakat yang gemilang, memelihara keharmonian kaum dan agama, serta membangunkan kepimpinan yang baik, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Encik Lee berkata bahawa sepanjang kepimpinan beliau selaku Perdana Menteri selama dua dekad, masyarakat Melayu/Islam telah bekerja rapat dengan pemerintah untuk menjadikan visi sebuah Singapura dengan ekonomi dan perpaduan sosial lebih kukuh, masyarakat lebih penyayang dan komitmen terhadap aspirasi golongan muda, menjadi satu kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam bahasa Melayu di majlis penghargaan jamuan makan malam pada 20 September.
Ia dianjurkan oleh masyarakat Melayu/Islam, dengan Mendaki sebagai sekretariat penganjur, sebagai ucapan terima kasih kepada Encik Lee atas perkhidmatan beliau selaku Perdana Menteri dari 2004 hingga 2024.
Lebih 600 anggota masyarakat Melayu/Islam, terdiri daripada pemegang jawatan politik, Anggota Parlimen (AP), pemimpin masyarakat, penderma, karyawan, badan pelajar dan benefisiari, hadir di majlis itu yang diadakan di Singapore Expo.
Berkongsi bahawa beliau baru-baru ini telah membaca semula buku kompilasi mesej penghargaan dan ucap tahniah daripada masyarakat Melayu/Islam yang dihadiahkan 20 tahun lalu ketika beliau baru menjadi Perdana Menteri, Encik Lee berkata:
“Salah satu mesej (dalam buku kompilasi) datang daripada seorang pegawai muda. Beliau menulis, ‘Majulah Singapura dengan daya ekonomi yang lebih bertenaga, perpaduan sosial yang kukuh, serta lebih prihatin terhadap golongan warga emas dan memberi komitmen kepada aspirasi generasi muda kita’.
“Dalam sekelip mata, dua dekad sudah pun berlalu. Sepanjang dua dekad ini, masyarakat Melayu/Islam terus bekerjasama dengan pemerintah untuk menjadikan harapan tersebut, satu kenyataan.”
Menurut Encik Lee, masyarakat Melayu/Islam telah mencatatkan kemajuan hebat dalam bidang pekerjaan dan pendidikan, dengan lebih ramai pekerja Melayu hari ini menceburi sektor yang sedang berkembang dan lebih ramai pelajar Melayu melanjutkan pengajian hingga ke universiti.
Misalnya, pekerja Melayu yang memegang jawatan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) telah meningkat daripada 23.4 peratus pada 2000 kepada 39 peratus pada 2020.
Sementara itu, nisbah belia Melayu yang lulus di peringkat posmenengah atau lebih tinggi, turut bertambah lebih seganda, daripada sekitar 30 peratus kepada 80 peratus, dalam tempoh yang sama.
Encik Lee berkata kejayaan itu semua adalah hasil usaha gigih badan Melayu/Islam yang saling melengkapi inisiatif agensi M Kuasa Tiga (M3).
Dalam pada itu, masyarakat Melayu/Islam juga telah lama memahami peri pentingnya keharmonian antara kaum dan agama, dan telah memainkan peranan untuk memelihara dan memperkukuhkan keharmonian, tambah beliau.
Ini dapat dilihat tatkala pandemik Covid-19 melanda, tatkala masjid-masjid terpaksa ditutup, dan dalam menangani isu-isu sensitif dan rumit seperti pemakaian tudung untuk jururawat, pemansuhan Seksyen 377A dan konflik Israel-Hamas.
“Namun, masyarakat Melayu/Islam berjaya menangani isu-isu ini dengan penuh kematangan. Anda mempertahankan nilai dan pandangan anda, dan pada masa yang sama, mengiktiraf dan menghormati pihak lain yang mempunyai pendapat lain,” kata Encik Lee.
Beliau turut memuji kepimpinan generasi asatizah perintis, seperti Ustaz Hasbi Hassan dan Allahyarham Ustaz Ali Haji Mohamed yang telah mengasaskan bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada 2003 untuk memerangi fahaman melampau menyusuli penangkapan anggota Jemaah Islamiyah (JI) pada 2000.
Encik Lee berkata kedua-dua pemimpin agama itu telah memberi sumbangan sangat besar kepada negara, sambil menambah Singapura sangat beruntung memiliki barisan asatizah yang berwibawa, dihormati dan progresif.
Dalam bidang lain juga, beliau menambah bahawa para pemimpin masyarakat Melayu/Islam memainkan peranan sebagai pemangkin, dan menjadi peran contoh semangat gotong-royong, termasuk pemimpin, karyawan dan belia yang tampil menyumbang masa, bakat, dan tenaga untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Memandang ke hadapan, saya harap masyarakat Melayu/Islam akan terus maju, mencapai puncak kecemerlangan yang baru, dalam pendidikan dan kerjaya anda.
“Lebih penting lagi, semoga anda terus memupuk semangat bersatu padu dan kewarganegaraan yang kukuh, membantu satu sama lain melalui masa-masa sukar dan sama-sama meraikan kejayaan kita,” kata beliau.
Di majlis itu juga, Encik Lee diberikan hadiah penghargaan istimewa berupakan arca yang dihasilkan oleh pakar tembikar dan penerima Pingat Kebudayaan, Dr Iskandar Jalil.
“
“Memandang ke hadapan, saya harap masyarakat Melayu/Islam akan terus maju, mencapai puncak kecemerlangan yang baru, dalam pendidikan dan kerjaya anda. Lebih penting lagi, semoga anda terus memupuk semangat bersatu padu dan kewarganegaraan yang kukuh, membantu satu sama lain melalui masa-masa sukar dan sama-sama meraikan kejayaan kita.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg