Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee susuri kerjasama akrab masyarakat Melayu/Islam sepanjang pimpinannya

Lebih 600 hadiri majlis junjung budi SM Lee di Singapore Expo
Sep 20, 2024 | 10:05 PM
Masyarakat Melayu/Islam menganjurkan satu majlis penghargaan jamuan malam untuk Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tengah, baju merah pulasan), di Singapore Expo pada 20 September untuk menghargai jasa dan sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat sepanjang kepimpinan beliau.
Masyarakat Melayu/Islam menganjurkan satu majlis penghargaan jamuan malam untuk Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tengah, baju merah pulasan), di Singapore Expo pada 20 September untuk menghargai jasa dan sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat sepanjang kepimpinan beliau. - Foto ZAOBAO

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Inilah peribahasa yang digunakan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang melahirkan harapannya agar perpaduan masyarakat Melayu/Islam yang dibina dan diperkukuh melalui muafakat dan kerjasama akan berterusan.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis penghargaan jamuan makan malam pada 20 September di Singapore Expo.

Lebih 600 anggota masyarakat Melayu/Islam berkumpul bersama dalam suasana meriah di satu majlis istimewa yang dianjurkan bagi melahirkan penghargaan kepada Encik Lee atas jasa dan sumbangan cemerlang beliau selaku Perdana Menteri dari 2004 hingga 2024.

Majlis itu dianjurkan masyarakat Melayu/Islam, dengan Mendaki sebagai sekretariat penganjur.

Kehadiran Encik Lee bersama isteri, Cik Ho Ching, disambut dengan tepukan gemuruh dan petikan lampu kamera, diiringi dengan para penari dari Era Dance Theatre.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Sempena majlis istimewa itu, Encik Lee menerima hadiah merupakan arca yang diberi nama In Conversation hasil karya pakar tembikar dan penerima Pingat Kebudayaan, Dr Iskandar Jalil.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, (dua dari kiri) dan pakar tembikar serta penerima Pingat Kebudayaan, Dr Iskandar Jalil, (kanan) memberikan hadiah penghargaan istimewa merupakan arca yang diberi nama, In Conversation, kepada Encik Lee Hsien Loong.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, (dua dari kiri) dan pakar tembikar serta penerima Pingat Kebudayaan, Dr Iskandar Jalil, (kanan) memberikan hadiah penghargaan istimewa merupakan arca yang diberi nama, In Conversation, kepada Encik Lee Hsien Loong. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Penerima Anugerah Gemilang Mendaki dan Anugerah Cemerlang Mendaki 2022, Cik Aisyah Lyana, pula menyampaikan deklamasi sajak bertajuk, ‘Tujuh ke Dua Puluh Tujuh’, yang diiringi muzik oleh Orkestra Melayu Singapura.

Sajak tersebut mengimbau kenangan Cik Aisyah membesar di Singapura di bawah pimpinan Encik Lee. Ia turut menyanjungi jasa dan sumbangan tidak terhingga beliau.

Penerima Anugerah Gemilang Mendaki dan Anugerah Cemerlang Mendaki 2022, Cik Aisyah Lyana, menyampaikan deklamasi sajak bertajuk, ‘Tujuh ke Dua Puluh Tujuh’, yang menyanjung jasa dan sumbangan tidak terhingga Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Penerima Anugerah Gemilang Mendaki dan Anugerah Cemerlang Mendaki 2022, Cik Aisyah Lyana, menyampaikan deklamasi sajak bertajuk, ‘Tujuh ke Dua Puluh Tujuh’, yang menyanjung jasa dan sumbangan tidak terhingga Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Semasa ucapannya, Encik Lee berkongsi beberapa kenangan bekerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam.

Antaranya, beliau sangat menghargai peluang istimewa bekerjasama dengan para pemimpin Melayu/Islam, khususnya bagi isu-isu sensitif dan penting seperti isu pemakaian tudung, sambil berkata beliau telah terlibat dalam banyak sesi perbincangan secara langsung, jujur, dari hati ke hati bersama para pemimpin.

Encik Lee juga masih ingat dengan jelas banyak acara dan kegiatan masyarakat yang dihadirinya tahun demi tahun.

“Contohnya, Anugerah Mendaki, persembahan kebudayaan seperti Genta Rasa, acara akar umbi Melayu di kawasan undi saya, majlis buka puasa di pelbagai masjid serata Singapura, serta jalan-jalan di Bazar Hari Raya Geylang Serai.

“Inilah cara kita di Singapura – berusaha untuk memperkasa setiap kumpulan masyarakat, dan pada masa yang sama, menyatupadukan semua untuk sama-sama meraikan identiti kita bersama sebagai rakyat Singapura,” kata beliau.

Para tetamu majlis menjunjung budi buat Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dihiburkan dengan persembahan oleh kumpulan penari dari Era Dance Theatre.
Para tetamu majlis menjunjung budi buat Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dihiburkan dengan persembahan oleh kumpulan penari dari Era Dance Theatre. - Foto ST

Para tetamu di majlis penghargaan jamuan malam itu yang ditemui Berita Harian melahirkan kata-kata pujian bagi Encik Lee, sambil menyanjungi jasa dan baktinya kepada negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, berkata Encik Lee telah memainkan peranan penting dalam memajukan masyarakat Melayu/Islam, termasuk dalam meningkatkan tahap pendidikan anak-anak.

“Beliau sentiasa menunjukkan minat yang mendalam dalam perkembangan masyarakat kita, dan berusaha untuk membina kepercayaan dengan masyarakat.

“Acara malam ini dianjurkan bersama masyarakat Melayu/Islam untuk menghargai kepercayaan, kepimpinan dan khidmat Encik Lee Hsien Loong dalam membangunkan masyarakat Melayu/Islam sepanjang dua dekad lalu,” kata beliau.

Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed, pula berkata Encik Lee telah mengisi peranan Perdana Menteri dengan baik, dari segi peribadi, kebolehan dan dalam mendampingi masyarakat.

“Saya ada satu ungkapan untuk beliau: ‘TTT’, iaitu singkatan bagi Terima Kasih Tidak Terhingga,” kata beliau.

Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, pula berkongsi bahawa beliau telah mengenali Encik Lee sejak sebelum memasuki politik lagi, ketika beliau aktivis dalam badan-badan Melayu/Islam seperti Casa Raudha dan AMP.

“Beliau amat prihatin dengan aspek-aspek sosioekonomi masyarakat Melayu/Islam kita. Beliau ambil masa untuk mendengar buah fikiran kita dan beliau juga amat menitikberatkan tentang pendidikan anak-anak kita,” kata beliau.

AP GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, pula berkata isu pemakaian tudung bagi jururawat semasa bekerja adalah satu perkara yang menunjukkan keprihatinan Encik Lee terhadap aspirasi masyarakat.

“Sejak dua dekad lalu, beliau bersama Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, sudah pun memulakan dialog tertutup bersama pemimpin dan anggota masyarakat Melayu/Islam untuk memahami dengan mendalam isu-isu masyarakat kita,” ujar beliau.

Presiden Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah, pula berkongsi bahawa kepimpinan Encik Lee, terutamanya semasa tahun-tahun sukar pandemik Covid-19, adalah sesuatu yang beliau amat hargai.

Satu lagi perkara yang tidak boleh dilupakan beliau adalah kefasihan Encik Lee berbahasa Melayu dengan baik dan sempurna.

“Oleh itu, saya fikir pertalian yang beliau ada, iaitu bahasa, dengan masyarakat adalah sesuatu yang kita semua kongsi dan gembira miliki dengan Encik Lee dan saya mengucapkan yang terbaik dalam persaraannya walaupun beliau kini Menteri Kanan dan masih menyumbang kepada negara,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg