Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hadiah arca buat SM Lee lambang asal usul orang Melayu

Sep 20, 2024 | 9:30 PM
Dr Iskandar Jalil menerangkan bahawa pokok merupakan simbol orang Melayu yang berpegang teguh pada asal usul dan kepercayaan mereka.
Dr Iskandar Jalil menerangkan bahawa pokok merupakan simbol orang Melayu yang berpegang teguh pada asal usul dan kepercayaan mereka. - Foto BH oleh MOHD KHALID BABA

Dua cabang berdiri tegak dihubungkan dengan dahan kayu di permukaan atasnya.

Sekilas pandang, arca yang diperbuat daripada tanah liat itu jelas kelihatan seperti pokok.

Namun, karya seni hasil pertukangan pakar tembikar Singapura, Dr Iskandar Jalil, mengandungi makna lebih mendalam yang tersirat.

Menjelaskan inspirasi di sebalik karya tersebut dalam satu temu bual di rumahnya, Dr Iskandar, yang sudah mencecah usia 84 tahun, menerangkan bahawa pokok merupakan simbol orang Melayu yang berpegang teguh pada asal usul, bak akar pokok yang kukuh.

Pada malam 20 September, karya seni yang digelar, ‘In Conversation’ tersebut dipersembahkan sebagai hadiah kepada Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, sebagai tanda terima kasih dalam majlis penghargaan oleh masyarakat Melayu/Islam anjuran Yayasan Mendaki di Singapore Expo.

Berkongsi bagi pihak ayahnya tentang proses pemilihan karya seni itu, anak sulung Dr Iskandar, Encik Edzra Iskandar, 54 tahun, berkata terdapat pilihan arca lain yang boleh dijadikan hadiah – satu berbentuk pasu yang sangat indah dipandang mata, dan satu lagi mempunyai sentuhan moden dan mampu dijual pada harga tinggi.

Bagaimanapun, ayahnya menyarankan agar karya seni yang kelihatan seperti pokok itu dipilih memandangkan ia hadiah daripada Mendaki, pertubuhan yang mewakili bangsa Melayu.

Karya itu bersesuaian dengan orang Melayu yang tidak akan lupa akan asal usul mereka walau mereka sedang mencatat kemajuan, tambah Encik Edzra.

“Setiap kali kami mendengar Amanat Hari Kebangsaan, ayah saya akan memberi komen bahawa beliau (SM Lee) seperti bapanya (mendiang Encik Lee Kuan Yew).

“Ayah saya kagum SM Lee boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih,” katanya sambil tertawa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg