Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

berita

12,000 flat HDB siap dalam 6 bulan pertama 2023

197 isi rumah projek tertangguh Anchorvale Village akan terima bayaran balik antara $1,100 hingga $4,500
Jul 16, 2023 | 05:31 PM



Kira-kira 12,000 flat daripada 16 projek perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah siap dalam enam bulan pertama 2023.

Angka flat dan projek itu adalah yang tertinggi apabila dibandingkan dengan tempoh setengah tahun yang sama sejak 2018, menurut satu kenyataan HDB pada Ahad.

Daripada 16 projek perumahan yang siap pada separuh pertama (1H) 2023, 15 daripadanya telah tertangguh sebelum ini disebabkan Covid-19.

Kesemua projek itu tertunda akibat Covid-19, kecuali Keat Hong Verge, yang merupakan projek Bina Ikut Tempahan (BTO) pertama yang disiapkan tanpa sebarang kelewatan sejak Pemutus Litar pada 2020.

Dengan 15 projek yang tertangguh dek pandemik disiapkan pada 1H 2023, HDB telah menyelesaikan sejumlah 66, atau 72 peratus daripada projek tertunda dari Oktober 2020 hingga Jun 2023. Baki projek tertunda (28 peratus), masih dalam pembinaan.

HDB menyasarkan untuk menyelesaikan semua projek yang tertunda dek pandemik dalam masa kira-kira 18 bulan, menjelang awal 2025.

Secara keseluruhan, HDB telah menyerahkan 54,800 kunci kepada pembeli flat sejak awal 2020.

Antara 16 projek yang disiapkan pada 1H 2023 ialah Anchorvale Village. Ini adalah salah satu daripada dua projek BTO yang siap melepasi Tarikh Penyerahan Pemilikan (DPD), selain Waterway Sunrise II.

Memandangkan flat itu siap melepasi DPD, HDB akan membuat bayaran balik kepada pembeli flat.

Di bawah Bahagian 8C Akta Covid-19 (Langkah Sementara) atau Cotma, pembeli flat yang flat mereka tertangguh melebihi DPD boleh menerima pampasan bagi kos tertentu.

“Untuk mengurangkan gangguan kepada pembeli flat, HDB akan menawarkan untuk membayar pembeli flat Anchorvale Village jumlah pampasan maksimum yang mereka layak, tanpa perlu menghantar apa-apa tuntutan atau bukti perbelanjaan,” kata HDB.

Sejumlah 197 isi rumah Anchorvale Village yang menempah flat mereka sebelum 4 Mei 2022 layak untuk bayaran balik di bawah Cotma.

Mereka akan menerima bayaran balik dalam masa dua bulan selepas menyelesaikan pembelian flat dan menerima Perjanjian Penyelesaian.

Anggaran jumlah bayaran balik untuk pembeli flat yang terjejas adalah dari $1,100 hingga $4,500, dengan purata jumlah bayaran balik sekitar $3,000. Jumlah pembayaran balik untuk semua 197 isi rumah dianggarkan kira-kira $600,000.

Bersempadan dengan Anchorvale Street dan Anchorvale Road, Anchorvale Village ialah sebuah pembangunan bersepadu yang terdiri daripada Pusat Kejiranan Generasi Baru, serta sebanyak 207 unit flat 2 bilik Flexi dan 3 bilik merentasi dua blok kediaman.

Projek itu, pada asalnya dijangka siap pada suku pertama 2022, telah tertangguh kerana kekurangan buruh dan gangguan bekalan bahan disebabkan pandemik.

Selain itu, kawasan tapak yang agak sempit dan reka bentuk kompleks pembangunan juga menghalang usaha oleh kontraktor utama Ken-Pal mempercepatkan pembinaan.

Kerja-kerja yang sedang berlangsung di pusat kejiranan dijangka siap pada suku keempat 2023 dan kedai akan mula beroperasi pada suku pertama 2024.

Dalam satu kiriman di Facebook pada malam Ahad, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata: “Ramai pembeli rumah perlu menyesuaikan rancangan hidup mereka sedang mereka menunggu flat mereka, dan saya menghargai kesabaran dan pemahaman warga Singapura.

“Rakan HDB dan kontraktor bekerja keras untuk mengejar masa yang hilang, tanpa menjejas keselamatan dan mutu.”

Katanya lagi: “Pembinaan flat HDB ialah satu usaha yang kompleks, menjadi lebih rumit kerana kami semakin banyak membina di tapak brownfield (tapak terpakai atau kurang digunakan).

Namun begitu, pemerintah masih menyasarkan untuk menyerahkan kunci kepada 20,000 pemilik flat HDB di 22 projek perumahan pada 2023.

Menjelang 2025, HDB akan menyelia lebih 150 projek pembinaan BTO pada masa yang sama.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >