Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

2021 dikhaskan Tahun Merai Wanita SG

Masagos: MSF akan tumpu pada usaha rai kemajuan, potensi wanita bagi sokong usaha bentang Kertas Putih di Parlimen
Jan 31, 2021 | 05:30 AM



TAHUN ini akan dikhaskan sebagai Tahun Merai Wanita Singapura.



Mengumumkan ini semalam, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata MSF akan menumpukan usaha tahun ini meraikan kemajuan dan potensi wanita Singapura bagi menyokong usaha menyeluruh negara membentang sebuah Kertas Putih di Parlimen.



"Kita akan meraikan peranan pelbagai wanita dalam masyarakat, selain meraikan kaum lelaki yang membantu menghapuskan stereotaip, mengubah pemikiran dan memainkan peranan aktif dalam menyokong dan mempertingkat wanita," ujarnya.



Beliau berkata demikian semasa Perbincangan dalam talian Majlis Rangkaian Integrasi Wanita Persatuan Rakyat (PA) mengenai Pembangunan Wanita Singapura semalam.



Kertas Putih itu akan disiapkan selepas satu semakan menyeluruh isu-isu menjejas wanita, dengan matlamat akhir membawa satu perubahan budaya dan minda mengenai nilai-nilai seperti persamaan jantina dan menghormati wanita.



Encik Masagos berkata usaha menyeluruh masyarakat diperlukan untuk mewujudkan Singapura yang lebih baik dan inklusif menerusi penglibatan dalam gerakan nasional ini.



Beliau berkata MSF akan meraikan pembangunan wanita dalam sejarah Singapura, selain peristiwa penting yang dicapai negara ini. Ia termasuk dalam memperkenal dan penggubalan Piagam Wanita bagi melindungi dan memajukan peranan wanita.



Beliau menyentuh betapa pentingnya sumbangan wanita dalam sejarah Singapura, sambil menukil sumbangan wirawati perang seperti mendiang Cik Elizabeth Choy, yang kemudian menjadi wanita pertama dan satu-satunya wanita dalam Majlis Perundangan pada 1951.



Di samping itu, Encik Masagos berkata perundangan dan dasar Singapura telah berubah untuk memastikan wanita mempunyai akses sama kepada pendidikan bermutu, lebih banyak penglibatan dalam tenaga kerja, dan perwakilan wanita yang lebih meluas dalam menerajui pucuk pimpinan di pelbagai sektor.



Ini dapat dilihat dengan pelantikan presiden wanita pertama Singapura, Puan Halimah Yacob, dan Cik Helen Wong, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan bank OCBC, sebagai wanita pertama menerajui sebuah bank Singapura.



Sejauh ini lebih 1,000 orang daripada pelbagai latar belakang, termasuk belia, wanita berkerjaya, suri rumah tangga dan pemimpin, telh mengikuti sesi perbincangan semakan itu.



Antara saranan mereka, ujar Encik Masagos, ialah mempertingkat sokongan bagi latihan dan pembangunan kerjaya wanita di tempat kerja; memastikan sokongan lebih baik bagi membantu pekerja mengimbangi kerja dan tanggungjawab penjagaan, dan menangani keganasan keluarga dan seksual.



Isu perubahan minda kerap ditimbulkan dalam hampir setiap perbincangan. Oleh itu, usaha kolektif dan kerjasama kukuh dengan masyarakat perlu bagi menghurai dan mengubah naratif ini.



"Hanya apabila terdapat perubahan set minda dalam pelbagai aspek kehidupan; di rumah, tempat kerja dan dalam kalangan masyarakat, barulah kita akan dapat mewujudkan perubahan berkekalan bersama-sama sebagai satu masyarakat," kata beliau.



Sementara itu, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga) Sun Xueling, yang hadir dalam perbincangan semalam, berkata beliau terharu melihat penglibatan kaum lelaki. Daripada 58 peserta, sekitar 30 peratus adalah lelaki.



"Hormat-menghormati adalah nilai yang kita aspirasikan secara menyeluruh sebagai asas hubungan antara kedua-dua jantina, baik antara suami isteri, teman di sekolah, masyarakat mahupun tempat kerja," katanya.




"MSF akan mengkhaskan 2021 sebagai Tahun Merai Wanita Singapura. Selain meraikan sumbangan wanita - dahulu dan sekarang - dalam membangunkan Singapura, gerakan ini juga mengiktraf pelbagai peranan wanita dalam masyarakat. Baik sebagai pemimpin terkemuka mahupun pekerja biasa dan segala peranan lain, wanita juga adalah ibu, isteri, kakak, saudara dan anak perempuan.

"Mewujudkan masyarakat saksama bagi wanita adalah satu proses berterusan. Kita telah membuat kemajuan selama beberapa tahun di rumah, tempat kerja dan masyarakat, tetapi kita perlu terus mengubah minda. Perbincangan berterusan mengenai Pembangunan Wanita Singapura bertujuan memahami bagaimana kita dapat terus menyokong wanita dan memperkasa mereka untuk terus mengejar aspirasi mereka.

- Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dalam posnya di Facebook semalam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >