Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

3 guru terima Anugerah Guru Arif Budiman 2023

Nov 04, 2023 | 03:10 PM



Cik Nur Amalina Shalan, Cik Hairani Asri dan Cik Noraini Karsani diiktiraf pada Sabtu atas sumbangan dan bakti mereka terhadap pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

Ketiga-tiga guru itu diumumkan sebagai penerima Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2023 di sebuah majlis penyampaian Agab yang diadakan di The Chevrons di Boon Lay.

Memuji ketiga-tiga penerima tersebut, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong yang hadir sebagai tetamu kehormat, berkata mereka merupakan contoh baik yang menunjukkan bagaimana pengalaman pembelajaran pelajar dapat diubah melalui inovasi dan teknologi.

“Melibatkan pelajar yang celik digital bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kreativiti dan komitmen untuk mengintegrasikan teknologi ke dalam pedagogi sedia ada.

“Namun, para pendidik kita telah menjadikan cabaran ini sebagai satu peluang, dengan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran baru dan menggunakan alat baru untuk memastikan pelajar terlibat dan menyuntik kegembiraan ke dalam pelajaran bahasa Melayu,” kata Encik Tong.







Cik Nur Amalina yang mengajar di Sekolah Menengah Commonwealth, misalnya, menggunakan podcast untuk menarik para pelajarnya menggunakan bahasa ibunda mereka.

Beliau malah telah memulakan podcast Spotify, Sang Saka Biru, yang telah menarik perhatian ramai pelajarnya dan mencetuskan minat mereka dalam Bahasa Melayu.

Cik Hairani yang mengajar di Sekolah Rendah Punggol pula menggunakan alat digital seperti ‘Book Creator’ untuk menukar tugasan penulisan yang asas kepada sebuah projek kolaboratif yang menggalakkan pelajar melakukan penilaian rakan sebaya dan meningkatkan kemahiran menulis mereka.

Cik Nur Amalina dan Cik Hairani merupakan penerima Agab kategori Perangsang. Kategori tersebut adalah bagi guru yang berkhidmat kurang daripada 10 tahun.

Cik Noraini yang merupakan guru di Sekolah Rendah New Town pula merupakan penerima Agab kategori Teladan yang diberikan kepada guru yang telah berkhidmat lebih 10 tahun.

Berkongsi dengan Berita Minggu rancangannya setelah menerima Agab, Cik Noraini berkata beliau mahu menyumbang lebih kepada kerja kemasyarakatan terutamanya yang berkaitan seni.


“Kalau boleh, di sekolah, saya juga mahu menyumbang lebih kepada program pertukaran pelajar ke luar negara jadi mereka dapat mempelajari budaya-budaya lain di negara serumpun kita,” katanya.

Cik Nur Amalina pula berkata pengiktirafan yang diterimanya memberi keyakinan kepada dirinya untuk terus memupuk nilai Arif Budiman dalam diri pelajar beliau. Katanya:

“Berteraskan falsafah ‘tak kenal maka tak cinta’, saya akan terus menggalakkan para pelajar berfikir secara kritis dan mendedahkan mereka kepada pelbagai pembelajaran autentik dalam dan di luar kelas supaya mereka dapat meminati subjek bahasa Melayu dan menjadi bersemangat serta terbiasa menggunakannya.”

Para pemenang telah diberikan sebuah arca berbentuk daun sirih, sijil dan dana $3,000 bagi pembangunan profesional.

Cik Hairani mahu memanfaatkan dana yang diterimanya itu untuk mengikuti program pembangunan profesional yang tersedia dan kemudian berkongsi pengetahuan dengan para pendidik lain.

“Ilmu yang diraih itu boleh saya kongsikan dengan rakan-rakan sejawatan dan dari situ kami boleh fikirkan cara-cara yang lebih bermakna untuk membangunkan murid-murid di sekolah,” jelasnya.

Agab 2023 dianjurkan bersama oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura, Persatuan Guru Bahasa Melayu, Berita Harian dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Encik Mohd Saat Abdul Rahman, yang menyampaikan ucapan selaku pengerusi bersama Agab 2023, berkata:

“Dengan bertunggakkan visi arif budiman, guru-guru Agab diharapkan dapat terus menjadi peneraju bahasa yang berbakti kepada masyarakat yang melangkaui konteks sekolah.”

Dianjurkan buat kali ke-17 tahun ini, Agab telah mengiktiraf seramai 74 orang guru Bahasa Melayu daripada sekolah rendah, sekolah menengah dan prauniversiti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >