Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

9 guru dipilih finalis Anugerah Guru Arif Budiman

Nov 01, 2023 | 04:33 PM



Sembilan guru bahasa Melayu telah dikenal pasti sebagai finalis untuk Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) bagi 2023. 

Daripada jumlah itu, seramai empat guru disenarai dalam kategori Agab Teladan bagi guru yang telah berkhidmat lebih 10 tahun.

Guru-guru dalam kategori ini ialah Dr Fawziyah Ali, 53 tahun, dari Sekolah Menengah Compassvale; Cik Nur Farahin Salleh, 33 tahun, dari Sekolah Menengah Perempuan Cedar; Cik Noraini Karsani, 44 tahun, dari Sekolah Rendah New Town; dan Cik Seri Rahayu Othman, 37 tahun, dari Sekolah Rendah Wellington.

Lima lagi guru telah disenarai bagi kategori Agab Perangsang yang diberikan kepada guru yang berkhidmat kurang 10 tahun.

Mereka ialah Cik Nur Syifaa’ Hussin, 35 tahun, dari Sekolah Menengah Ngee Ann; Cik Nailul Shakhira Mohd Rusli, 38 tahun, dari Sekolah Menengah Guangyang; Cik Nur Amalina Shalan, 31 tahun, dari Sekolah Menengah Commonwealth; Cik Hairani Asri, 34 tahun, dari Sekolah Rendah Punggol; dan Cik Nurul Amelia Akhtiar, 32 tahun, dari Sekolah St Stephen. 







Agab tahun ini dianjurkan bersama oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura, Persatuan Guru Bahasa Melayu, Berita Harian dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Anugerah tahunan itu bertujuan mengiktiraf guru Bahasa Melayu yang berbakti secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Calon-calon harus mencerminkan nilai-nilai Arif Budiman – insan yang berilmu pengetahuan yang berbakti kepada masyarakat – melalui khidmat cemerlang dan merupakan suri teladan sebagai seorang pendidik.

Mereka turut dinilai berdasarkan keupayaan mereka meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan minat terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa, sastera dan budaya Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar mereka.

Pencalonan telah dibuka dari 3 Februari hingga 31 Mac 2023.

Meskipun guru-guru terpilih ini mempunyai tahap pengalaman yang berbeza, mereka berkongsi satu ciri, iaitu dedikasi hebat mengajar bahasa Melayu. 

Mereka rata-rata teruja dicalonkan bagi anugerah yang mengiktiraf sumbangan guru-guru bahasa Melayu di sini.

Berkongsi tentang apakah pengertian Arif Budiman bagi dirinya, Cik Noraini berkata ialah seseorang yang pintar, arif lagi bijaksana.

Selain itu, mereka juga harus ada kesedaran dan keprihatinan terhadap isi-isu berkaitan masyarakat.

“Seseorang yang Arif Budiman bukan sahaja pintar dan bijak dalam bertutur kata dan perilaku tetapi arif dalam menyelesaikan masalah atau kerumitan yang dihadapinya. 

“Seseorang yang Arif Budiman juga dapat melestarikan bahasa dan budaya serta dapat menjadi contoh teladan kepada masyarakat dan mereka di sekelilingnya. Seseorang yang Arif Budiman juga dapat menepati norma-norma kehidupan dengan baik serta dapat mendidik dengan secara berkesan dan berhemah. 

“Selain mempunyai perwatakan yang arif dan bijaksana, seseorang yang Arif dan Budiman itu juga seharusnya dapat menyumbang secara aktif dalam masyarakat dan dapat juga menangani isu-isu dengan cermat dan bijaksana,” tambah beliau.

Guru-guru yang terpilih ini juga melahirkan harapan agar dapat terus memberikan pendidikan yang bermakna kepada pelajar-pelajar mereka selain membantu mereka menjadi individu yang lebih baik.

Dr Fawziyah berkata: “Saya berusaha untuk membentuk peribadi pelajar dengan menyemai nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, berdisiplin, berhemah dan sebagainya kerana nilai-nilai inilah yang akan membawa kejayaan yang berkekalan dalam mereka menapak alam dewasa kelak. 

“Saya ingin membangkitkan rasa minat dalam pelajaran dan semangat belajar sepanjang hayat di dalam diri pelajar-pelajar saya. 

“Saya pasti nilai-nilai murni ini akan membantu mereka menjadi individu yang berpengetahuan, berkemahiran dan berjaya dalam masyarakat serta memiliki pendidikan yang berkualiti.”

 Majlis penyampaian anugerah bakal diadakan pada 4 November.

Dianjurkan sejak tahun 2007, Agab telah mengiktiraf seramai 74 orang guru Bahasa Melayu daripada sekolah rendah, sekolah menengah dan prauniversiti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >