Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MENJELANG HARI RAYA

456 benefisiari dapat habuan Raya Persatuan Ain

Bantuan makanan, wang bertambah daripada tahun lalu hasil sumbangan menggalakkan masyarakat, korporat
Apr 29, 2022 | 05:30 AM



TAHUN lalu, Mujahid Alhasbi Mohd Salleh, 11 tahun, hanya beraya di hospital dalam keadaan lemah ekoran rawatan kemoterapi.



Oleh itu, dia ghairah dapat menyambut Hari Raya tahun ini bersama keluarganya dan tidak sabar hendak berkunjung ke rumah saudara-mara.



"Setahun (keluar masuk) hospital. Jadi, saya sangat gembira kerana akhirnya saya dapat beraya tahun ini dan kembali ke sekolah.



"Banyak benda saya nak buat," ujar murid darjah empat Sekolah Rendah Mayflower itu, yang menghidap barah tisu lembut yang dikenali sebagai sarkoma sejak dua tahun lalu.



Mujahid antara 456 benefisiari Persatuan Ain yang menerima barang makanan, kuih Raya dan sumbangan wang sempena Aidilfitri tahun ini.



Dia hadir bersama ibu bapanya di Pusat Penjagaan Barah Serenity Persatuan Ain di Haig Road semalam untuk menerima habuan itu daripada Presiden Halimah Yacob.



Bapanya, Encik Mohd Salleh Ramadan, 61 tahun, seorang pekerja penghantaran, berkata mereka amat bersyukur mendapat habuan itu.



"Persatuan Ain terus menyokong kami, termasuk menghantar barang makanan ke rumah kami setiap bulan," ujarnya.



Puan Halimah menyampaikan habuan Hari Raya itu kepada 25 benefisiari Persatuan Ain semalam.



Antara mereka ialah Cik Eryannie Mohd Sah, 41 tahun, yang menghidap barah buah dada tahap kedua sejak tahun lalu.



Ketika itu, ibu tiga anak berusia antara 11 dengan 16 tahun itu bekerja sebagai penolong guru di sebuah sekolah pendidikan khas.



Cik Eryannie memutuskan berhenti kerja kerana rawatan kemoterapi serta pelbagai pembedahan yang dijalani beliau banyak menjejasnya hingga beliau mudah penat.



Selepas menjalani 16 pusingan rawatan kemoterapi, beliau kini perlu makan ubat setiap hari sepanjang lima tahun akan datang selain mendapatkan suntikan setiap bulan.



"Sekarang, keadaan saya lebih baik walaupun masih rasa penat dan sakit badan.



"Saya pun baru-baru ini mula meniaga dari rumah menjual snek jagung menerusi TikTok untuk bantu suami saya dan pendapatan keluarga kami," ujar Cik Eryannie, yang suaminya seorang pemandu merangkap penyelaras di sebuah syarikat binaan.



Selain bantuan dalam bentuk barang makanan dan wang tunai yang dihulurkan Persatuan Ain, beliau amat menghargai sokongan moral dan emosi yang diberi kepadanya sejak didiagnos menghidap barah.



"Dengan bantuan mereka, saya tidak rasa sendirian," katanya.



Tahun ini, habuan Hari Raya yang diagih Persatuan Ain berjumlah lebih $60,000, kira-kira 20 peratus lebih tinggi daripada tahun lalu.



Selain itu, mereka yang layak terus mendapat bantuan kewangan setiap bulan sepanjang tahun serta boleh memanfaatkan Dana Bantuan dan Krisis Covid-19 persatuan tersebut.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail, mengalu-alukan sumbangan berterusan daripada pelbagai pihak.



"Alhamdulillah sambutannya amat menggalakkan, sumbangan daripada masyarakat, badan korporat dan individu.



"Dengan ini juga kami dapat memberi lebih banyak (bantuan) kepada pesakit di tengah-tengah pandemik sekarang, malah lebih banyak berbanding sebelum Covid-19," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >