Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

5 calon bakal ditimbangkan bagi jawatan Anggota Parlimen Dilantik

Apr 12, 2023 | 05:30 AM



SEKURANG-KURANGNYA lima orang telah meletakkan nama mereka untuk dipertimbangkan bagi jawatan Anggota Parlimen Dilantik (NMP).



Empat daripada mereka ingin mewakili sektor sekitaran dan kemampanan, sementara satu ingin mewakili sektor seni.



Mereka yang ingin mewakili sektor sekitaran dan kemampanan adalah Cik Madhumitha Ardhanari dari Forum for the Future, pertubuhan bukan mengaup untung yang memberi tumpuan terhadap isu kemampanan; Cik Jayden Ong, pengasas Soil Social yang mengubah sisa menjadi bahan hortikultur; Cik Nithiya Laila, ahli antropologi makanan; dan Encik Xavier Tan, penternak lebah.



Cik Noorlinah Mohamed, seorang pendidik seni dan pelakon teater pula mewakili bidang seni, lapor akhbar The Straits Times.



Skim NMP diperkenalkan pada 1990 untuk memastikan perwakilan pandangan yang luas dalam Parlimen.



Setiap penggal boleh mempunyai sehingga sembilan NMP, yang bertahan untuk tempoh dua setengah tahun.



Perlembagaan menyatakan bahawa mereka yang dicalonkan mestilah "orang yang telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang, atau telah membawa penghormatan kepada Republik, atau telah menonjolkan diri mereka dalam bidang seni, persuratan, budaya, sains, perniagaan, industri, profesion, perkhidmatan masyarakat atau sosial, atau gerakan buruh".



Kedua-dua masyarakat seni dan penggiat sektor hijau telah mengadakan mesyuarat untuk mendengar daripada mereka yang ingin memohon bagi jawatan tersebut.



Dalam mesyuarat dalam talian yang dianjurkan sekumpulan relawan yang dinamakan Sekretariat NMP Seni pada malam Isnin, Cik Noorlinah berkata kepada lebih 70 hadirin bahawa beliau berharap dapat menjadi jambatan bagi pelbagai kumpulan dalam masyarakat seni, serta antara masyarakat dengan penggubal dasar.



Beliau menambah bahawa beliau juga akan memperjuangkan isu mengenai pendapatan yang lebih baik buat golongan artis.



Bekas NMP, Encik Kok Heng Leun dan Cik Audrey Wong, juga berkongsi tentang pengalaman mereka di Parlimen.



Sekumpulan aktivis sekitaran yang menggelarkan diri mereka SG Green Groups mengadakan mesyuarat di Akademi Kemampanan Singapura Sabtu lalu.



Selain permohonan daripada orang awam, tujuh kumpulan berfungsi - industri dan perniagaan; profesion; gerakan buruh; pertubuhan perkhidmatan sosial; sektor sivik dan rakyat; institusi pendidikan tinggi; dan pertubuhan media, seni dan sukan - biasanya diundang untuk mengemukakan nama calon yang sesuai.



Setiap kumpulan melantik penyelaras untuk mendapatkan pandangan pertubuhan konstituennya.



Setelah menutup penyerahan, Jawatankuasa Pilihan Khas yang dipengerusikan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, akan menemu ramah dan mempertimbang calon yang layak dan mencalonkan sehingga sembilan orang untuk Presiden melantik sebagai NMP.



Anggota lain dalam jawatankuasa lapan orang itu ialah Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah; Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang; dan Anggota Parlimen Parti Pekerja, Encik Leon Perera (GRC Aljunied).



Tarikh akhir bagi mereka yang berminat untuk mendaftar nama ialah 4.30 petang pada 19 April.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >