Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

7 soal jawab utama berhubung penyewaan banglo Ridout Road

Jun 28, 2023 | 08:24 PM



Tuduhan rasuah telah timbul berhubung penyewaan dua banglo oleh Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Pada Rabu, dua laporan – satu oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan satu lagi oleh Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, – telah diserahkan kepada Parlimen.

Berikut tujuh soalan utama yang siasatan itu berusaha untuk tangani.

1. Adakah terdapat sebarang rasuah di pihak menteri-menteri itu dan pegawai yang terlibat?


CPIB, yang diarahkan oleh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, untuk menyiasat perkara itu pada 17 Mei, tidak menemui bukti rasuah atau salah laku jenayah dalam dua urus niaga penyewaan itu.

Peraturan penyewaan digunakan secara adil tanpa niat rasuah dalam pemprosesan penyewaan, dan tiada layanan keutamaan diberikan atau maklumat istimewa didedahkan kepada menteri-menteri dan pasangan mereka, menurut CPIB.

Sebagai contoh, kedua-dua menteri tidak ditawarkan hartanah itu secara ‘bawah meja’ atau sembunyi-sembunyi.

Encik Shanmugam telah meminta Timbalan Setiausaha Kementerian Undang-Undang ketika itu untuk senarai hartanah yang ada untuk disewa oleh orang ramai dan telah mengunjunginya. Kesemuanya mempunyai tanda “Untuk Disewa” yang dipaparkan dengan jelas.

Dr Balakrishnan, sementara itu, telah mengetahui tentang 31 Ridout Road melalui isterinya, yang telah melalui hartanah itu dan terjumpa tanda “Untuk Disewa”.

CPIB, yang melapor terus kepada Encik Lee, telah menjalankan siasatan lebih sedikit daripada sebulan, bercakap dengan dua menteri itu, pasangan mereka, bekas pegawai dan pegawai semasa dari Kementerian Undang-undang (MinLaw) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Lembaga Taman Negara (NParks), dan lain-lain.

Semakan Encik Teo bergantung kepada siasatan CPIB, untuk menetapkan fakta kes.

Kertas siasatan CPIB itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, yang telah menyemak kertas siasatan tersebut dan mengarahkan supaya “tiada tindakan lanjut diambil kerana fakta itu tidak mendedahkan sebarang kesalahan”.

2. Adakah timbul sebarang konflik kepentingan?


Tatakelakuan untuk Menteri telah ditetapkan sejak 1954, dan kali terakhir dikemas kini pada 2005.

Ia menjangkakan menteri untuk bersikap jujur dan memastikan bahawa tidak ada konflik sebenar atau yang dirasakan antara tugas rasmi dan kepentingan peribadi mereka.

Dalam kes 26 Ridout Road, konflik kepentingan mungkin timbul, kerana Kementerian Undang-undang Encik Shanmugam menyelia SLA yang menguruskan hartanah itu.

Tetapi Encik Teo mendapati bahawa kedua-dua menteri, dan pegawai awam yang terlibat, telah mengisytiharkan dengan sewajarnya sebarang kemungkinan konflik dan mengikut proses yang sepatutnya untuk mengelakkan sebarang konflik daripada timbul.

Encik Shanmugam, sebagai contoh, telah mengakui kemungkinan berlakunya konflik kepentingan dan telah mengambil langkah untuk mengelakkan sebarang konflik sebenar daripada timbul dengan mengeluarkan dirinya daripada rantaian perintah dan proses membuat keputusan berhubung penyewaan itu.

Beliau telah memaklumkan kepada Timbalan Setiausaha kementerian tersebut pada ketika itu mengenai rancangannya untuk menyewa hartanah itu, dan juga memberitahu Timbalan Setiausaha itu untuk memaklumkan Menteri Negara Kanan bagi Undang-Undang ketika itu, Cik Indranee Rajah, sekiranya sebarang perkara perlu dirujuk kepada Menteri Undang-Undang.

Pada masa yang sama, Encik Shanmugam telah memaklumkan Encik Teo bahawa Cik Indranee akan menemui Encik Teo sekiranya perkara itu perlu menjangkauinya.

Akhirnya, SLA tidak membangkitkan sebarang perkara kepada Minlaw semasa keseluruhan proses, menurut laporan itu.

Sementara itu, dalam kes 31 Ridout Road, tiada konflik timbul kerana tanggungjawab rasmi Dr Balakrishnan tidak termasuk menyelia SLA.

Agensi pengurusan yang bertanggungjawab untuk 31 Ridout Road juga secara jelas diberitahu oleh SLA bahawa “tiada dasar untuk VVIP (orang yang sangat penting)“ dan semua penyewa harus dilayan sama rata.

3. Adakah menteri meraih manfaat daripada maklumat istimewa?


CPIB mendapati bahawa mereka tidak meraih sebarang manfaat daripada maklumat istimewa.

Soalan telah ditanya tentang tahap ketelusan dalam pemasaran hartanah itu, seperti sama ada orang ramai juga tahu ia boleh disewa, dan mengenai proses pembidaan.

Estet Ridout Road berada di bawah pengurusan ejen pengurusan pihak ketiga profesional - termasuk DTZ Facilities & Engineering dan Colliers International Consultancy & Valuation - yang menentukan cara memasarkan hartanah itu berdasarkan keadaan pasaran semasa, kata laporan itu.

Kedua-dua hartanah telah diiklankan dengan tanda “Untuk Disewa” pada masa itu, dan 31 Ridout Road juga telah disenaraikan di laman web Maklumat Hartanah Negara Dalam Talian yang digunakan untuk mengeluarkan tender bagi hartanah negara sedemikian.

Memandangkan permintaan yang rendah untuk kedua-dua hartanah, ia telah disewakan melalui proses penyewaan langsung, bukannya proses pembidaan terbuka. Ini adalah apabila bakal penyewa dipertimbangkan oleh SLA, selagi mereka memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan dan tawaran mereka tidak di bawah panduan sewa.

4. Adakah menteri mendapat manfaat yang tidak adil daripada kadar sewa yang menguntungkan?


Kedua-dua menteri membayar sewa pada nilai pasaran saksama, dan tidak di bawah penilaian pasaran, menurut laporan itu.

Dr Balakrishnan pada mulanya membayar $19,000 sebulan, lebih daripada panduan sewa untuk 31 Ridout Road.

Ini telah disemak kepada $20,000 sebulan selepas pembaharuan selama tiga tahun pada Oktober 2022.

Walaupun panduan sewa untuk 26 Ridout Road dinyatakan secara tidak tepat oleh SLA, Encik Shanmugam membayar sewa sebanyak $26,500 sebulan, sama dengan panduan sewa yang sepatutnya.

Semakan itu juga mengesahkan bahawa sewa yang dibayar adalah sejajar dengan hartanah lain di kawasan itu.

Pada 2018, harga sewa bagi setiap keluasan unit lantai untuk No. 26 ialah $30.94 setiap meter persegi sebulan.


Ini adalah setanding dengan hartanah estet Ridout yang lain, antara $26 dengan $33.33 setiap meter persegi sebulan.

Kadar untuk No. 31 ialah $23.05 setiap meter persegi sebulan, lebih rendah sedikit daripada $25 hingga $33.33 setiap meter persegi sebulan untuk hartanah estet Ridout yang lain pada 2019.

Tetapi ini disebabkan oleh keadaan hartanah itu, kata laporan itu, dan $23.05 masih setanding dengan hartanah lain dalam keadaan biasa pada masa itu.

Apabila penyewaan kedua-dua hartanah diperbaharui selepas tiga tahun pertama, penilaian semula telah dilakukan untuk menambat sewaan kepada kadar pasaran.

Oleh itu No. 26 telah diperbaharui pada Jun 2021 selama tiga tahun pada $26,500 sebulan, manakala No. 31 telah diperbaharui pada Oktober 2022 selama tiga tahun dengan kenaikan sewa kepada $20,000 sebulan.

Laporan itu berkata: “Penyewaan kedua-dua hartanah itu tidak menyimpang daripada garis panduan dan pendekatan SLA pada waktu itu dalam menyewa banglo hitam putih untuk tujuan kediaman.”

5. Adakah menteri-menteri itu mendapat tempoh penyewaan panjang yang luar biasa?


Tidak. CPIB mendapati syarat penyewaan yang diterima oleh kedua-dua menteri adalah selaras dengan dasar-dasar SLA untuk hartanah kediaman yang diuruskan oleh agensi itu.

Encik Shanmugam menerima tempoh penyewaan 3+3+3 tahun untuk 26 Ridout Road, manakala Dr Balakrishnan menerima tempoh penyewaan 3+2+2 tahun untuk 31 Ridout Road, dengan lanjutan seterusnya 3+2 tahun pada pembaharuan pertama.

Ini adalah dalam tempoh penyewaan maksimum yang dibenarkan iaitu 3+3+3 tahun yang boleh diberikan oleh SLA pada satu-satu masa.

Walaupun SLA memberikan penyewaan untuk tempoh 2 tahun atau 3 tahun, agensi itu mempertimbangkan faktor seperti jumlah yang mungkin akan dibelanjakan oleh penyewa untuk menambah baik hartanah itu dalam memutuskan sama ada untuk memberikan penyewaan yang lebih lama. Ini kerana semua penambahbaikan yang diluluskan yang dilakukan oleh penyewanya akan menjadi hak milik pemerintah apabila hartanah itu dipulangkan, dan tempoh yang lebih lama akan membolehkan pelunasan perbelanjaan sedemikian dalam tempoh yang lebih lama.

Untuk 26 Ridout Road, SLA telah mengambil kira bahawa isteri Encik Shanmugam telah komited untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan melebihi $400,000. Untuk 31 Ridout Road, isteri Dr Balakrishnan telah komited untuk menjalankan kerja-kerja berjumlah lebih $200,000.

6. Adakah kerja-kerja yang dijalankan di luar amalan biasa?


CPIB membuat kesimpulan bahawa kerja-kerja yang dilakukan oleh SLA untuk hartanah di 26 dan 31 Ridout Road tidak melangkaui apa yang biasanya dilakukan oleh agensi itu sebagai tuan tanah.

Untuk 26 Ridout Road, SLA telah bersetuju untuk membersihkan tapak tanah bersebelahan kerana keadaan tidak menyenangkan ketara yang timbul daripada tumbuh-tumbuhan di sana yang boleh menjejaskan keselamatan penyewa.

Walaupun SLA bersetuju untuk membersihkan tanah dan merapikan hartanah itu untuk disewa, Encik Shanmugam menawarkan untuk menyenggara tapak itu dengan membiayainya sendiri dan komited untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan yang ketara kepada hartanah negara itu.

CPIB mendapati menteri undang-undang itu juga menanggung kos kerja-kerja penambahbaikan tambahan yang melangkaui apa yang biasa SLA lakukan untuk mempersiapkan hartanah untuk disewa.

Bagi 31 Ridout Road, CPIB mendapati bahawa kerja-kerja persediaan yang SLA setuju untuk lakukan adalah tidak keterlaluan, dan terdiri daripada kerja-kerja seperti pembaikan bumbung, paip dan pemeriksaan elektrik bagi memastikan hartanah itu berada dalam keadaan berfungsi untuk disewa.

7. Adakah kerja-kerja penambahbaikan mendapat kelulusan yang diperlukan?


Kedua-dua 26 dan 31 Ridout Road telah diwartakan pada 1991 untuk pemuliharaan dan tertakluk kepada garis panduan pemuliharaan.

Walau bagaimanapun, kebenaran tidak diperlukan untuk kerja-kerja kecil di luar banglo dan yang tidak menjejaskan banglo yang dipulihara itu.

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) sebelum itu telah menasihatkan SLA bahawa tiada kelulusan diperlukan untuk pemasangan kolam renang di 26 Ridout Road, yang telah disewa oleh Encik Shanmugam.

Kedua-dua hartanah juga merupakan sebahagian daripada Kawasan Pemuliharaan Pokok, yang bermakna kelulusan NParks diperlukan untuk menebang pokok dengan lilitan lebih daripada 1 meter. SLA telah memperoleh kelulusan berkaitan daripada NParks untuk penebangan pokok dan telah menyimpan rekod kelulusan NParks, kata Encik Teo dalam laporannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >