Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

92% pegawai Home Team sudah terima, daftar bagi vaksin Covid-19

Apr 28, 2021 | 05:30 AM



SEBANYAK 92 peratus pegawai Home Team barisan hadapan sudah menerima atau mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19, kata Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.



Beliau mendedahkan demikian dalam ucapannya semasa perbarisan tamat latihan bagi pengambilan ke-182 perkhidmatan nasional polis sepenuh masa.



"Antara kumpulan pertama yang menerima vaksin ialah pegawai barisan hadapan Home Team.



"Saya gembira 92 peratus pegawai barisan hadapan yang layak telah menyatakan minat untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19, dan kami dapat membantu mereka menjalankan tugas dengan fikiran yang tenang," ujar Dr Faishal.



Beliau menambah bahawa dalam pandemik seperti yang dilalui sekarang, pegawai polis memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan sedang negara terus berjuang menentang koronavirus Covid-19 dan membina semula ekonomi.



Dalam ucapan pra-rakamnya kepada 613 pegawai itu, Dr Faishal turut berkongsi nasihat bagi mereka yang bakal menempuh fasa baru kehidupan mereka sebagai pegawai polis.



613 pegawai itu menyertai 22 majlis pentauliahan berasingan di Home Team Academy (HTA) yang diadakan dari 13 April hingga 23 April lalu.



Dr Faishal berkata adalah penting bagi mereka berhubung dengan masyarakat, mengukuhkan kerjasama dengan mereka dan mendekati warga Singapura.



Berkomunikasi dengan baik juga penting dan pegawai polis mesti tahu mendengar dan berempati dengan orang awam.



Kemahiran komunikasi ini mestilah wujud di dalam dan luar talian, kata beliau.



Dr Faishal juga menekankan pentingnya pegawai polis mendakap perubahan dan berani mencuba perkara baru, sambil menggalakkan mereka "mencabar norma dan memikirkan bagaimana dapat melakukan sesuatu dengan lebih baik".



Pasukan Polis Singapura (SPF) misalnya, semakin banyak memanfaatkan teknologi untuk memperkasa tugas kepolisan.



"Kami telah menggunakan dron dan robot termasuk Robot Berautonomi Semua Rupa Bumi Pelbagai Tujuan (MATAR) untuk membantu operasi polis.



"Semasa tempoh Covid-19, kebolehan rondaan berautonomi MATAR membantu meningkatkan kecekapan operasi darat polis serta membantu mengurangkan pendedahan pegawai barisan hadapan, memastikan mereka selamat," ujar Dr Faishal.



Dalam ucapannya itu, beliau turut memuji dua pegawai perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF), Konstabel Khas (SC) Adam Danish Elffande dan SC Muhammad Malikqi Mustazam, kedua-duanya 20 tahun.



SC Adam dan SC Malikqi yang sedang menunggu kereta sewa privet yang ditempah untuk membawa mereka ke HTA pada Disember lalu terdengar pertelingkahan antara sepasang anak dan bapa yang berlaku di tingkat dua blok HDB berdekatan.



"Pada awalnya kami terdengar bunyi orang menghentak pintu pagar, lepas itu kami dengar bunyi kaca pecah.



"Bila kami terdengar bunyi itu, kami terus naik ke unit tersebut dan ternampak bekas darah di lobi lif serta dua lelaki di sana," cerita SC Adam.



Menggunakan ilmu yang telah mereka pelajari semasa latihan NS selama dua bulan ketika itu, mereka cuba membantu bapa tersebut yang sedang menangis serta menenangkan keadaan sebelum pegawai polis tiba di tempat kejadian.



Meskipun lambat untuk 'book-in' ke HTA pada hari itu dek kejadian tersebut, pengalaman itu cukup istimewa bagi kedua-dua anak muda itu.



"Seandainya kejadian itu berlaku sekarang, mungkin kami lebih bersedia kerana kami telah mempelajari lebih banyak semasa latihan kini...sejak kejadian itu, kami memandang serius latihan kami di HTA kerana ia benar-benar membantu," tambah SC Adam.



Bagi SC Malikqi pula, pengalaman tersebut membuka matanya terhadap tugas dan tanggungjawab sebenar seorang pegawai polis. Katanya:



"Setelah semua itu, saya rasa memang patut kita berikan penghormatan yang tinggi kepada para pegawai polis kerana mereka melakukan ini setiap hari."




"Kami telah menggunakan dron dan robot termasuk Robot Berautonomi Semua Rupa Bumi Pelbagai Tujuan (MATAR) untuk membantu operasi polis. Semasa tempoh Covid-19, kebolehan rondaan berautonomi MATAR membantu meningkatkan kecekapan operasi darat polis serta membantu mengurangkan pendedahan pegawai barisan hadapan, memastikan mereka selamat."
- Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >