Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ACARA KEMUNCAK PERADUAN MENCARI KRISTAL

Cerpen selami nilai kemanusiaan tambat hati pengadil

Dec 13, 2016 | 05:30 AM



TAJUK cerpen Sang Pembunuh mungkin kelihatan seolah-olah mengikut stereotaip yang mengaitkan unsur 'cemas' dengan kematian atau pembunuhan.



Namun, tumpuan dan tujuan sebenar karya Encik Yazid Hussein, 49 tahun, adalah menyelami nilai kemanusiaan yang ada dalam setiap individu, tidak kira jalan atau takdir yang telah ditentukan dalam hidup mereka.



Karya yang terpilih sebagai juara peraduan menulis cerpen Mencari Kristal itu mengisahkan si 'pembunuh' yang menolak hukuman gantung yang dijatuhkan ke atas dirinya, sebaliknya ingin dirinya ditembak dalam menghadapi hukuman mati demi memelihara organnya untuk didermakan kepada pesakit yang memerlukan.



Menurut Encik Yazid, antara isu yang ingin diketengahkan melalui ceritanya itu termasuk persoalan tentang pendermaan organ manusia setelah mati, persepsi masyarakat terhadap golongan banduan serta hubungan manusia dengan manusia yang lain dan juga dengan Tuhan.



"Tajuk (cerpen) ini juga secara tidak langsung mempunyai beberapa pengertian berdasarkan pemahaman pembaca sendiri.



"Hakikatnya, timbul juga persoalan, siapakah pembunuh sebenar yang hendak dikemukakan dalam karya ini?" ujarnya.



Encik Yazid, seorang guru Bahasa Melayu di Maktab Rendah Pioneer, memenangi Piala Mencari Kristal serta wang tunai $5,000 semasa acara penyampaian hadiah yang sekali gus menutup tirai program menulis cerpen anjuran bersama Berita Harian dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) itu.



Proses menghasilkan cerpen, bermula daripada lakaran idea sehingga selesai menulis, telah mengambil masa lebih kurang empat minggu, kata Encik Yazid.



"Antara cabaran yang saya hadapi (dalam menghasilkan karya ini) adalah memasyarakatkan cerpen Sang Pembunuh supaya ia dilihat bukan hanya sebagai sesuatu yang dipertanding, tetapi sebagai karya yang dapat memberi manfaat kepada pemikiran," ujarnya.



Karya Cik Clarissa Nathania Goenawan, 28 tahun, pula telah memenangi tempat kedua peraduan itu dan beliau membawa pulang piala serta wang tunai $2,000.



Karya cerpen Cik Clarissa, warga Singapura berketurunan Cina Indonesia, bertajuk Retak, juga merupakan yang pertama beliau hasilkan dalam bahasa Melayu. Ia mengisahkan kehidupan 'dua dunia' seorang ayah serta hubungan dengan anaknya.



"Melalui cerita ini, saya ingin tonjolkan bahawa semua yang terjadi disebabkan perselisihan faham dan mungkin boleh dielakkan jika mereka duduk berbincang dengan baik," katanya.



Beliau menambah bahawa idea tersebut tercetus setelah melihat kurangnya interaksi dan komunikasi antara anggota keluarga.



"Saya berharap agar karya saya ini dapat menyelitkan sedikit kesedaran dalam diri pembaca," kata beliau, ibu tiga anak.



Bagi Encik Mohammad Farihan Bahron pula, karya beliau, Bulan Jingga, yang memenangi tempat ketiga peraduan itu merupakan olahan cerita tentang perang dadah di negara jiran.



Ini digambarkan melalui sudut pandang sebuah lensa kamera milik seorang wartawan fotografi dan juga mengisahkan tentang cabaran-cabaran yang dihadapinya.



Menyentuh tentang tajuk karya itu, Encik Mohammad Farihan, 37 tahun, seorang pereka grafik, berkata:



"Watak Bulan merupakan metafora yang menggambarkan kegelapan, kemurungan dan kesedihan, manakala watak Jingga atau warna matahari melambangkan pencerahan, harapan dan keceriaan.



"Seperti yin dan yang, ia menggambarkan unsur dua pengaruh dalam diri seseorang.



"Saya berharap agar karya saya dapat menggugah pemikiran, menggoncang keperibadian dan mencetus perubahan, baik dalam diri saya sendiri mahupun secara lebih meluas," ujarnya.



Semasa majlis penyampaian hadiah itu juga, lima peserta telah diberi Hadiah Penghargaan Mencari Kristal.



Mereka ialah Cik Tuty Alawiyah Isnin, 35 tahun, dengan cerpen Alibi; Encik Mohamed Naguib Ngadnan (Awak Kad Mana?), 36 tahun; Cik Amanah Mustafi (Baik Ayah!), 57 tahun; Encik Djohan A. Rahman (Bantal Pak Akub), 45 tahun; dan Cik Zaleha Isnin (Langit Nan Satu), 45 tahun.



Kesemua mereka membawa pulang plak dan wang tunai $200.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >