Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Anak S. Kadarisman tokoh guru cemerlang

Dec 31, 2017 | 05:30 AM



KEINDAHAN kosa kata Melayu yang sering dijadikan basahan berbicara arwah ayahnya, seniman S. Kadarisman, masih terpahat dalam ingatan guru pesara, Encik Mohammad Thahirrudin S. Kadarisman.



Namun, beliau akui pada awal beliau memilih kerjaya sebagai guru Bahasa Melayu dan Ilmu Alam, bapanya, yang terkenal dengan watak antagonis Tengku Mukri dalam filem P. Ramlee, Antara Dua Darjat, kurang menyukainya.



Ini adalah kerana si bapa mengharapkan dengan kelulusan ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Kemasyarakatan, Universiti Nasional Singapura (NUS) yang dimiliki, Encik Thahirrudin sewajarnya mencuba kerjaya lain yang lebih mencabar.



Namun, anak kelima dalam 10 beradik itu tidak pernah berputus asa meyakinkan bapanya.



Beliau malah memastikan amanah sebagai guru mampu memperluas bantuan yang ingin disalur kepada lebih ramai orang, baik pelajar atau guru seperjuangan.



Hasilnya, selepas menyumbang penuh dedikasi selaku Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) antara 2009 hingga 2015, Encik Thahirrudin, diiktiraf dengan Anugerah Tokoh Guru semalam.



Anugerah tertinggi itu disampaikan tetamu terhormat, Anggota Parlimen GRC Jurong dan penasihat KGMS, Cik Rahayu Mahzam, di Hotel Furama Riverfront sempena ulang tahun ke-70 KGMS.



Ia sebagai menghargai tokoh kesatuan yang berjuang demi anggota KGMS itu.



Ketika ditemui Berita Minggu, Encik Thahirrudin, 59 tahun, berkata:



"Arwah bapa saya memiliki penguasaan bahasa Melayu yang baik. Banyak perkataan dan kiasan indah yang saya pelajari daripadanya.



"Apabila saya bertukar kerja daripada eksekutif kesihatan kepada guru, beliau hairan mengapa dengan ijazah NUS saya masih nak jadi guru.



"Maklumlah, pada waktu itu, lebih ramai lulusan universiti memilih kerjaya lain. Tapi, lama-kelamaan, beliau merestui kerjaya saya, melihatkan kesungguhan saya membangun kerjaya ini.



"Pesannya, jangan 'membelit' dan jaga amanah sebagai pendidik. Jangan juga gelap mata kerana wang."



Encik Thahirrudin, yang juga sukarelawan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), kini bercadang membukukan kisah riwayat bapanya yang meninggal dunia pada 1989.



Mengulas perjuangannya di KGMS, beliau menambah: "Sebagai pemimpin kesatuan, saya dan rakan lain bukan sahaja memikirkan cara menarik lebih ramai guru muda menyertai kami.



"Lebih daripada itu, kami dijadikan tempat merujuk pelbagai masalah guru, termasuk yang tidak diberi penilaian sewajarnya di sekolah.



"Selain itu, kami mengusahakan Anugerah Pendidikan di peringkat Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O' dan 'N' buat anak anggota. Ia pemangkin semangat agar anak mereka lebih cemerlang lagi," kata bapa tiga anak antara 27 dengan 31 tahun itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >