Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ancaman pengganas rentas sempadan timbul keprihatinan: Pengamat

Jul 19, 2022 | 05:30 AM



MESEJ bahawa ancaman pengganasan terhadap Singapura kekal tinggi ditekankan dalam empat laporan yang telah diterbitkan sejauh ini, iaitu pada 2017, 2019, 2021 dan tahun ini.



Namun, laporan tahun ini yang diterbitkan minggu lalu menarik perhatian bagaimana perjalanan antarabangsa yang kini kembali hampir seperti sebelum pandemik Covid-19 menimbulkan keprihatinan tentang rancangan pengganasan yang mungkin diteruskan selepas ditangguh sebelum ini, menurut para pengamat.



Sementara jumlah dan skala serangan dan rancangan serangan pengganasan yang berkaitan atau meraih inspirasi daripada kumpulan ISIS di Asia Tenggara telah berkurangan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) yang menerbitkan laporan itu berkata keadaan ini mungkin sementara sedang sekatan sempadan di banyak negara kian dilonggarkan.



Sedang pandemik Covid-19 kini lebih terkawal di seluruh dunia, banyak negara termasuk Singapura juga ghairah menantikan ketibaan semula pelancong dan pelawat.



Minggu lalu, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) berkata kira-kira empat hingga enam juta pelawat dijangka melawat Singapura tahun ini, dengan lima pasaran pelawat tertinggi bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini datang dari Indonesia, India, Malaysia, Australia dan Filipina.



Namun sedang ketibaan lebih ramai pelawat antarabangsa dialu-alukan, adalah penting juga untuk mengambil kira bahawa kumpulan pengganas tidak berpeluk tubuh selama ini.



Malah, sesetengah mereka berusaha memastikan strategi perekrutan dan radikalisasi mereka kekal terkini selain memanfaatkan ruang siber.



Meskipun sesetengah kumpulan pengganas di rantau ini mengekalkan profil yang rendah, mereka masih aktif.



Awal tahun ini misalnya, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, menarik perhatian usaha kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) yang terus merekrut anggota dan mengumpul dana serta cuba membina semula keupayaan tenteranya di Indonesia.



Terdapat juga laporan tentang JI menyerap masuk ke parti politik, agensi pemerintah dan pertubuhan masyarakat.



Ini merupakan sebahagian daripada strategi JI untuk memperluas jangkauan dan pengaruhnya, ujar beliau.



Dalam laporannya, ISD menarik perhatian bahawa kumpulan militan pro ISIS di selatan Filipina juga terus berdepan dengan pasukan keselamatan tempatan dalam serangan bersenjata gaya pemberontak manakala elemen Jemaah Ansharut Daulah (JAD) yang sealiran dengan ISIS di Indonesia kekal aktif merancang serangan.



Bercakap dengan Berita Harian, Ketua Pusat Antarabangsa Bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Pengganasan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Kumar Ramakrishna, berkata sedang perjalanan antarabangsa dan sekatan pergerakan dilonggarkan, orang ramai harus berjaga-jaga kerana ruang operasi bagi kumpulan ancaman, khususnya mereka yang meraih inspirasi daripada ISIS, juga akan bertambah.



"Oleh itu, kita harus berjaga-jaga dengan lebih banyak pergerakan rentas sempadan melibatkan militan antara selatan Filipina, timur Malaysia dan timur Indonesia menerusi laluan terlarang yang sudah wujud.



"Bergantung pada situasi yang berubah-ubah di Afghanistan yang kini dikawal Taliban serta keupayaan IS-Khorasan untuk mengawal beberapa kawasan di sana, kita juga harus berjaga-jaga bagi kemungkinan pergerakan militan Asia Tenggara ke Afghanistan serta langkah mereka kembali ke rantau kita," ujar Dr Kumar.



Penganalisis kanan ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, berkata pengembalian perjalanan antarabangsa boleh menyebabkan lebih banyak kes radikalisasi sendiri dan kegiatan pengganasan kerana ia mengupayakan strategi 'pandemik ke endemik' oleh kumpulan pengganas.



Menurutnya, strategi itu melibatkan kumpulan pengganas ini merekrut dan mempengaruhi pengikut mereka dengan fahaman pelampau, khususnya menerusi media sosial, dan kemudian kini beralih ke kegiatan pengganasan sama ada secara bersendirian atau serangan yang lebih terselaras.



Meskipun Singapura sudah pun menjalankan pelbagai usaha untuk memerangi pengganasan dan fahaman pelampau antara lain menerusi undang-undang, penguatkuasaan, pendidikan, pendekatan masyarakat, diplomasi dua hala dengan negara jiran serta kerjasama serantau menerusi Asean, penganalisis keselamatan berkata negara ini harus meneruskan usaha itu sementara sentiasa kekal termaklum tentang trend dunia, pengaruh luar serta kecenderungan radikalisasi sendiri.



"Ancamannya wujud tetapi boleh diatasi.



"Daya tahan negara dan keberanian bersama warga Singapura adalah penting dalam usaha memerangi ekstremisme dan pengganasan dalam negara ini," ujar Dr Mustafa.




SEKILAS SGSECURE



USAHA PEMERINTAH



1) Keupayaan Siasatan dan Respons



- Pasukan Respons Udara (ART) gunakan dron untuk perkukuh operasi polis, antaranya adalah rondaan udara. Lebih ramai juruterbang dron akan dilatih tahun ini.



- Pasukan Tindak Balas 'In Situ' (IRT) dari Divisyen Darat dikerahkan di lokasi ikonik dan mempunyai jumlah pengunjung yang tinggi untuk tingkatkan respons Polis kepada serangan pengganas yang boleh berlaku.



- Polis jalankan latihan menentang pengganasan secara tetap, termasuk yang berskala besar.



- Polis perkukuh kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam masyarakat seperti menerusi Kumpulan Bertindak Perlindungan Keselamatan (PSEG).



- Polis akan luaskan rangkaian kamera kepada lebih 200,000 kamera menjelang 2030.



2) Keselamatan Sempadan



- Pemeriksaan penumpang awal (APS) yang perlukan syarikat penerbangan serahkan maklumat penumpang awal kepada pihak berkuasa.



- Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan perkenalkan Konsep Pelepasan Baru (NCC) mulai 2023 yang gunakan imbasan iris dan wajah.



- ICA akan gunakan analitik data dan kecerdasan buatan (AI) untuk kesan anomali dan cegah kargo yang tidak diingini daripada merentas sempadan.



USAHA MASYARAKAT



1) Bina Kesedaran



- Home Team laksanakan pelbagai program bagi individu dan institusi di seluruh masyarakat.



- Ia termasuk Pameran (Roadshow) SGSecure, kunjungan rumah SGSecure, pameran bergerak dan ceramah di sekolah, program SGSecure di tempat kerja, taklimat menentang pengganasan serta kegiatan antara agama.



2) Tingkat Kesediaan



- Lebih 7,500 penduduk dan relawan telah menjalani latihan kemahiran kesediaan kecemasan anjuran Persatuan Rakyat (PA).



- Panduan SGSecure bagi tempat kerja bantu perniagaan sedia berdepan ancaman pengganasan.



- Lebih 65,000 perniagaan telah melantik wakil SGSecure dan lebih 27,000 syarikat mempunyai sijil di bawah rangka kerja bizSAFE.



3) Perkukuh Tindak Balas Masyarakat



- Lebih 100,000 orang telah mendaftar sebagai Penggerak Balas, atau 'Responder' SGSecure yang akan membantu masyarakat sewaktu kecemasan dan krisis.



- Meja Bundar Respons Masyarakat (CCRT) dirintis pada 2019, memperkukuh kerjasama antara kumpulan pihak berkepentingan agar dapat meningkatkan kesediaan menghadapi kecemasan di tahap masyarakat setempat.



4) Menuju Ke Hadapan



- Gerakan SGSecure akan terus dekati dan beri masyarakat keupayaan memainkan peranan secara aktif dalam pastikan keselamatan diri dan orang lain daripada ancaman pengganasan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >