Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANUGERAH JAUHARI 2022

Jauhari memasyarakatkan bahasa, sastera dan budaya

Nov 04, 2022 | 05:30 AM



TINTA Profesor Madya Hadijah Rahmat mengalir deras seiringan dengan cinta pada bahasa, sastera dan budaya Melayu seawal usia 15 tahun ketika menuntut di Sekolah Menengah Maju.



Pada ketika itu, beliau yang berada di menengah tiga dipilih bagi mewakili sekolahnya untuk menjadi wartawan pelajar yang melaporkan kegiatan sekolah untuk majalah Harapan terbitan Kementerian Pendidikan (MOE)



Cerpen pertamanya dengan tema pemerkasaan wanita, Idah Tidak Menangis Lagi, serta puisi Hari Esokmu, turut diterbitkan dalam majalah berkenaan.



Namun memandangkan anak kedua dalam keluarga tujuh beradik ini berasal daripada keluarga kurang berkemampuan, tiada mesin taip yang dimiliki hingga seorang jiran yang bertugas sebagai kerani tekun membantunya menaip rapi setiap karya yang dihasilkan.



Emosi Profesor Hadijah, 64 tahun, yang menggalas amanah sebagai Ketua Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE)/Universiti Teknologi Nanyang (NTU), sebak membuka lembaran kisah cintanya dengan dunia penulisan dan kesusasteraan Melayu.



Kisah tersebut disampaikan dengan pencapaiannya dalam usaha memasyarakatkan bahasa, sastera dan budaya diiktiraf semalam dengan penyampaian Anugerah Jauhari yang diberi Berita Harian buat individu cemerlang dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura.



Profesor Hadijah, 64 tahun, menerima anugerah tersebut daripada Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Hotel Four Seasons.



Encik Wong diiringi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media Limited, Cik Teo Lay Lim, dan Editor Berita Harian, Encik Saat A. Rahman.



Ketika ditemui Berita Harian di ibu pejabat SPH Media sebelum anugerah disampaikan, Profesor Hadijah menjelaskan:



"Saya datang daripada keluarga susah. Bapa saya hanyalah teknisyen di Telekom Singapura.



"Kerana nak menjaga tujuh anak, ibu saya terpaksa bertugas sebagai pembantu rumah yang membasuh pakaian keluarga berada dari rumah ke rumah. Lima enam rumah sehari dikunjunginya untuk mencari rezeki.



"Tapi saya bersyukur sebab mereka menitikberatkan pendidikan dan terapkan dalam diri saya erti kerajinan, disiplin dan tiada jalan pintas untuk mengejar impian.



"Hingga hari ini juga, saya akan ingat jasa jiran saya, seorang pak cik yang sanggup bantu saya taipkan karya-karya saya untuk dikirim kepada Editor Majalah Harapan.



"Hanya selepas dapat keputusan Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O' yang baik, ibu saya belikan saya mesin taip kecil dengan wang simpanannya kerana tahu menulis adalah minat saya."



Kerana jasa ibu bapanya yang tiada tolok bandingnya, mereka sentiasa memberi cetusan ilham untuknya berkarya.



Sajak Motosikal ditujukan buat arwah ayahnya, Haji Rahmat Riffin, yang meninggal dunia pada usia 88 tahun pada 2018.



Profesor Hadijah terkenangkan detik-detik manis bapanya menghantarnya ke sekolah dari peringkat menengah, Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) hinggalah ke Universiti Singapura (kini dikenali sebagai Universiti Nasional Singapura (NUS).



Setelah mempelajari seni lukisan daripada pelukis legenda Allahyarham S. Mohdir, beliau turut menghasilkan lukisan buat bapa dan ibunya, Hajah Maimon Haji Abdul Karim, yang kini berusia 85 tahun.



Perjuangan sasterawan mapan seperti Dr Ariff Ahmad dan Dr Masuri SN di dalam pergerakan Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) sentiasa membakar semangatnya.



Galakan tidak putus-putus mantan Menteri Negara Kanan, Haji Sidek Saniff, yang pernah mengajarnya sastera di Sekolah Menengah Maju pula membuatnya ingin sentiasa menulis bagi menebar ufuk mindanya dan melahirkan pengamatannya tentang alam semesta dan pelbagai isu kemanusiaan.



Sepanjang kerjaya lebih 35 tahun dalam bidang pendidikan, beliau antara lain pernah menjadi pengerusi Jawatankuasa Semakan Kurikulum Bahasa Melayu dan Pedagogi, MOE, yang membentangkan visi Arif Budiman (insan terpelajar yang menyumbang kepada masyarakat) dalam Kurikulum Bahasa Melayu.



Penglibatannya dalam proses kajian dan penulisan ilmiah yang menyatukan sastera, kesenian, sosiologi, sejarah dan ilmu alam, turut mengembalikannya pada satu perkara yang dekat di hatinya iaitu kehidupan kampung.



"Penulisan saya banyak dipengaruhi kehidupan kampung pada tahun 1970-an dan awal 1980-an. Saya menetap di kampung selama 27 tahun. Banyak isu seperti kemiskinan, masalah sosial dan ekonomi yang menjadi antara keprihatinan saya yang saya luahkan dalam karya saya," katanya yang pernah menghasilkan buku Kilat Senja, Burung Kenek-Kenek & Bunga Kasih Ibu serta The Last Kampung Mosque.



Tiga buku ini setiap satu dilancarkan tokoh negara, mantan Presiden S R Nathan, Presiden Halimah Yacob, yang ketika itu Speaker Parlimen dan mantan Presiden, Dr Tony Tan.



Lebih menarik lagi, apabila penulisannya itu boleh dialihkan kepada medium seni lain seperti pementasan teater Munsyi oleh Teater Kami (1998) dan lagu-lagu puisi untuk dinikmati ramai.



Antara topik yang dekat di hatinya juga adalah kepelbagaian budaya dan inisiatif mengetengahkan kisah wira Melayu seperti Badang dalam masyarakat yang lebih condong mengagungkan adiwira Barat.



Ditanya mengenai keistimewaan Anugerah Jauhari pemberian Berita Harian ini buatnya memandangkan beliau sebelum ini pernah menerima Anugerah Tun Sri Lanang dan Anugerah Persuratan, Profesor Hadijah berkata:



"Saya dengan penuh kerendahan hati menerima anugerah ini. Berita Harian memainkan peranan yang besar dalam hidup saya.



"Melaluinya, saya dapat mengenal masyarakat. Sekitar 40 hingga 50 tahun dahulu, media ilmu dalam kalangan masyarakat kita amat terbatas.



"Kita merujuk pada Berita Harian untuk kita mengenali masyarakat Melayu, Singapura dan juga dunia. Ia semacam jendela yang membuka mata saya pada kejadian yang berlaku di dunia.



"Menerusi Berita Harian juga, saya ingin berkongsi penulisan saya dan pemikiran saya kepada masyarakat. Orang mengenal saya, pemikiran dan idea saya melalui akhbar ini. Ia ibarat jambatan yang menjalinkan saya dengan masyarakat."



Profesor Hadijah yang menerima pendidikan Sarjana Pengajian Melayu daripada NUS dan Doktor Falsafah (PhD) daripada Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika, Universiti London, turut berterima kasih kepada suaminya, Encik Hajis Salim, 74 tahun, seorang pendidik, kerana memahami aspirasi dan misinya.



"Suami tidak pernah menghalang cita-cita saya. Beliau adalah pembakar semangat dan tidak pernah rasa tergugat dengan isteri yang mempunyai bermacam impian pendidikan dan misi kemasyarakatan," jelasnya.



Ditanya rancangannya selepas ini, Profesor Hadijah yang dilantik Presiden Halimah sebagai Jaksa Pendamai pada 2018, berkata:



"Saya akan fokus pada tugas di luar keperluan masyarakat Melayu juga. Sebagai Jaksa Pendamai, saya akan mengunjungi penjara dan berbual dengan banduan di sana untuk membantu mereka dan memberikan inspirasi kepada mereka berdasarkan pengalaman dan ilmu saya."



Usaha mempertingkat kesedaran ramai terhadap kepentingan proses dokumentasi bersejarah serta sesi perkongsian juga akan dikendalikan sebagai anggota Lembaga Penasihat Muzium Negara.




SANJUNGAN DAN PENGHARGAAN



"Profesor Hadijah antara pelajar saya yang cerdas dan minat sastera. Apabila beliau buat karangan, ia sentiasa hasil karya yang terbaik. Saya dapat lihat potensinya yang besar dalam bidang bahasa. Sentiasa ghairah nak belajar dan menulis.

Saya bangga dengan kejayaannya. Bukan saya sahaja tetapi dunia penulisan bangga dengan kehadiran beliau di medan penulisan ini."

- Mantan Menteri Negara Kanan, Encik Sidek Saniff, yang pernah mengajar Profesor Madya Hadijah Rahmat di Sekolah Menengah Maju



"Saya sangat terkesan dengan kegigihan Profesor Hadijah sebagai seorang sarjana yang tekun dan teliti membuka ruang penelitian yang baru.

Beliau sangat aktif berbakti buat masyarakat bahkan insan yang menarik saya untuk menyertai Majlis Bahasa dan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera).

Sekitar 20 tahun lalu, beliau mengajar saya cara mengendalikan tutorial dan menyemak tugasan dan kertas peperiksaan pelajar di NIE, detik kerjaya akademik saya bermula. Syabas buatnya kerana mencetus inspirasi buat individu lain mencapai kecemerlangan."

- Pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS, Dr Azhar Ibrahim Alwee, yang juga pengerusi Mastera



"Saya mengenali Profesor Hadijah sewaktu saya mengambil program diploma pada 1997. Orangnya sangat tegas. Kami takut sangat dengannya.

Namun, kami dapat rasakan kejujurannya untuk menyampaikan ilmu dan ada sisinya yang menganjurkan pemikiran intelektual."

- Pensyarah Kumpulan Akademik (AG) Bahasa dan Kebudayaan Asia (ALC) di Institut Pendidikan Nasional (NIE) Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Kartini Anwar, antara kohort pertama guru pelatih yang diajar Profesor Hadijah




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >