Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN ISU TUDUNG JURURAWAT

AP gesa masyarakat tenang tunggu keputusan pemerintah

Akur isu sensitif dalam negara majmuk, sambut baik pengumuman aturan sedang dinilai semula
Mar 25, 2021 | 05:30 AM



PERUNDINGAN dan perbincangan teliti bersama agamawan dan pemimpin masyarakat saban tahun telah berhasil dan mendorong pemerintah menilai semula pendiriannya berhubung pemakaian tudung oleh jururawat Muslimah di Singapura, ujar tiga Anggota Parlimen (AP) semalam.



Selanjutnya, masyarakat Melayu/Islam diharap bersabar dan bertenang sementara menunggu keputusan pemerintah, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) merangkap Menteri Kedua Pendidikan dan Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman; AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang meluahkan pandangan mereka mengenai isu itu di Facebook.



Dalam posnya, Dr Maliki berkata cara masyarakat menghuraikan isu sensitif - cara orang Singapura - ialah secara tenang menerusi dialog dan perundingan bersama masyarakat.



"Sewaktu berucap dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS), saya menjamin bahawa pemimpin Melayu/Islam memandang serius isu ini dan kami berempati dengan jururawat yang mahu memakai tudung.



"Teras pendekatan kami ialah keinginan melindungi keharmonian yang dibina dan tidak bermaksud bahawa pendirian itu tidak boleh diubah malah hal ini menunjukkan kefleksibelan.



"Dalam perbincangan tertutup bersama warga Singapura, yakni Muslim dan bukan Muslim, kami berkongsi keprihatinan masing-masing secara terbuka dan permasalahan lain," ujar Dr Maliki.



Encik Zhulkarnain bersyukur dengan pengumuman itu, apatah lagi beliau sendiri mempunyai dua anak perempuan. Justeru beliau mendambakan masa depan di mana peluang dan pekerjaan bagi Muslimah terbuka luas berdasarkan potensi dan keupayaan mereka, tidak kira keturunan, kepercayaan atau keterampilan.



"Saya juga akur dan akui bahawa dalam masyarakat majmuk, isu ini sensitif dan harus ditangani secara berhemah dan bijaksana.



"Sewaktu menunggu keputusan, marilah kita terus bersatu hati mencari huraian sesuai. Terima kasih kepada asatizah dan pemimpin masyarakat kerana bekerjasama dengan pemerintah selama ini," kata beliau.



Dr Wan Rizal turut mengalu-alukan pengumuman tersebut dan mengakui juga bahawa perkara itu sukar.



Hal ini disebabkan semua pihak mahu mengekalkan keharmonian sekali gus bersikap rasional dan menunjukkan fleksibiliti dalam isu pengurusan dasar pekerjaan.



"Saya pasti ramai menerima baik keputusan ini. Saya faham keprihatinan mereka dan berharap dengan pertimbangan ini, hati mereka akan tenang," ujarnya.



Beliau turut mengimbas semula pengalamannya menjadi pengerusi Masjid Al-Islah di Punggol sedekad lalu. Apabila saat keputusan sukar harus diambil, asatizah mencerahkan kekaburan.



"Mereka memberi nasihat yang tepat dan bernas berdasarkan konteks semasa. Wajar kalau saya kata bahawa asatizah salah satu tunggak perpaduan masyarakat.



"Isu ini bukanlah isu terakhir yang akan dihadapi masyarakat. Saya berharap kita dapat bekerjasama dengan pemerintah bagi mencapai huraian diingini buat semua pihak, bak pepatah bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat," ujarnya.




"(Dalam perbincangan tertutup) kami akur tidak harus mengetepikan keharmonian kaum dan agama sungguhpun mahu membolehkan unsur kepelbagaian dan sifat inklusif di tempat kerja. Kami akan terus berunding dan menilaikan cara terbaik mengenalkan perubahan ini. Saya berharap warga Singapura akan giat menyertai perbincangan apabila dipanggil kelak bersandarkan semangat keharmonian bangsa dan agama. Hasil proses tersebut, kita harus terus menghargai peningkatan yang sudah tercapai sebagai negara berbilang bangsa dan agama, hidup harmoni dan saling membantu sesama sendiri bagi mencapai kejayaan."
- Dr Mohamad Maliki Osman, Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) merangkap Menteri Kedua Pendidikan dan Ehwal Luar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >