Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ayam beku tidak jejas 'selera' pelanggan

Jul 27, 2022 | 05:30 AM



ENCIK Mohammad Noorham Nordin selalunya menerima bekalan ayam segar seberat dua kilo seekor bagi gerainya yang menjual nasi ayam dan pelbagai hidangan lain di pusat penjaja aras dua Pasar Geylang Serai.



Sejak sekatan bekalan ayam segar dari Malaysia dikuat kuasakan sekitar dua bulan lalu, beliau hingga kini hanya mendapat bekalan ayam beku sahaja yang beratnya sekitar 1.7 kilogram seekor.



Meskipun dengan saiz yang lebih kecil, namun Encik Mohammad Noorham tidak perlu membayar harga lebih rendah.



Bahkan, ayam beku itu dibeli dengan harga lebih mahal - iaitu antara $2 hingga $3 seekor - berbanding sebelum sekatan tersebut berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu.



Namun, bagi pemilik gerai bernama TAKDeNAMA yang berpengalaman sekitar sedekad itu, hakikat menangani kos niaga yang lebih tinggi, termasuk bagi bahan mentah, sudah menjadi satu lumrah sejak akhir-akhir ini.



"Tidak ada jalan lain, harus terima hakikat, buat penyesuaian dan teruskan niaga," ujarnya.



Meskipun menanggung belanja lebih tinggi bagi bahan makanannya - bukan hanya bagi ayam sahaja - Encik Noorham, 46 tahun, tidak menaikkan harga makanannya kepada pelanggan.



"Rata-rata di Geylang Serai, kami bernasib baik mendapat tempat yang menarik ramai pelanggan dan permintaan bagi makanan di sini kekal biasa sahaja.



"Jadi antara pegerai di sini yang menjual masakan berasaskan ayam, kami pernah mengadakan perbincangan untuk mengekalkan harga," katanya.



Persetujuan itu dicapai meskipun ia menjejas pendapatan peniaga seperti beliau.



Encik Noorham berkata untung daripada penjualan merosot sekitar 20 hingga 30 peratus, dek kos yang semakin melambung.



"Tapi kami semua fikirkan tentang pelanggan kami, jadi kami tak ada cadangan untuk naikkan harga," jelasnya.



Encik Noorham berkata apabila sekatan ayam segar dari Malaysia berlangsung, ramai pengendali gerai makanan berasaskan bahan ayam segar terjejas dan tiada pilihan lain hanya untuk membiasakan diri dengan perubahan menyediakan makanan dengan ayam beku.



Lantaran itu, beliau terpaksa mengubah caranya menyediakan makanannya kerana terdapat langkah dan masa tambahan bagi menggunakan ayam beku berbanding menggunakan ayam segar.



"Biarpun begitu saya tidak pula menerima maklum balas berkenaan perubahan ayam segar kepada ayam beku. Kebanyakan maklum balas yang saya terima adalah perubahan dari segi rasa dan liatnya.



"Sebab anda boleh rasa perbezaan dari segi kelembutan dan rasa daging segar berbanding daging beku yang lebih kering," katanya.



Menyusuli sekatan eksport 3.6 juta ayam segar dari Malaysia sejak 1 Jun, Singapura kini mengimport ayam beku dan daging ayam diproses dari pelbagai negara seperti Thailand, Indonesia, Australia, Brazil dan Amerika Syarikat.



Pada 30 Jun, Indonesia ditambah sebagai antara sumber baru bagi daging ayam beku, sejuk dan diproses.



Encik Noorham berkata beliau masih menanti maklumat dan status terkini berkenaan harga dan bekalan ayam beku dari sumber baru itu oleh pembekalnya.



"Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang sama ada saya mengambil stok ayam dari sumber baru seperti cara menyediakan bahan dan sebagainya," jelasnya lagi.



"Buat masa sekarang saya akan menggunakan bekalan ayam beku sedia ada dari Malaysia."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >