Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bagaimana 2 insan terpengaruh dengan diayah ekstremis di media sosial

Menangani pengaruh ideologi pengganasan merupakan satu usaha berterusan. Penggunaan media sosial yang berleluasa, ditambah dengan kecetekan dalam pengetahuan agama serta ketidakmampuan dalam memahami konteks kehidupan beragama dalam sekitaran sekular dan majmuk menjadikan keadaan lebih mencabar, kata asatizah dan pakar antipengganasan setempat. Ikuti laporan BERITA HARIAN di dua halaman ini.
Nov 04, 2020 | 05:30 AM



BELIAU menggambarkan dirinya sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang Islam.



Individu berkenaan, Zulfikar Mohamad Shariff, dalam laporan akhbar The Straits Times pada Isnin lalu, dilaporkan sebagai telah menyakinkan Encik Mohamad Saiddhin Abdullah bahawa beliau juga harus menunjukkan sokongan kepada kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS).



Seperti Zulfikar, Encik Saiddhin juga ada merakamkan dirinya bergambar dengan bendera ISIS dan memuatnaik ke akaun Facebooknya sendiri. Beliau telah ditangkap oleh pihak berkuasa tidak lama kemudian.



Empat tahun kemudian, pengurus operasi yang berusia dalam lingkungan 30-an tahun itu berkata, individu yang beliau hormati itu, hakikatnya adalah seorang 'jurujual penipu' yang memperdayakan beliau dan orang lain untuk mengikuti ideologi radikal.



"Zulfikar menggunakan kata-kata yang manis untuk 'goreng' (memperdaya mereka yang mendengar) dan berupaya mengocak emosi hingga menimbulkan rasa benci dan marah.



"Beliau berbuat begitu untuk menggambarkan nasib rakyat Syria dalam konflik secara tidak tepat," kata Encik Saiddhin dalam satu wawancara dengan ST itu.



Beliau dan seorang lagi warga Singapura yang sering bertemu dengan Zulfikar, dan membantu dalam siasatan, bersetuju untuk bercakap tentangnya, menyatakan ini adalah peluang untuk memberi amaran kepada orang lain tentang bahaya menjadi mangsa kepada seseorang berpandangan ekstremis yang berpengaruh.



Zulfikar, 49 tahun, yang menjadi rakyat Australia pada 2011, telah ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) sejak 2016 atas kegiatan berkaitan pengganasan.



Kisahnya timbul lagi baru-baru ini selepas dia dihukum penjara selama enam minggu kerana berbohong dalam permohonan untuk mendapatkan pasport Singapura.



Dia telah melepaskan kerakyatan Singapura dan kini berada di penjara Changi.



Kedua-dua lelaki yang ditemuramah ST berkata mereka tidak tahu bahawa Zulfikar telah menjadi rakyat Australia sehinggalah dia disabit kes terbaharu baru-baru ini.



Mereka menyangka dia hanya menetap di Australia sedang dia menyuarakan isu-isu yang menyentuh masyarakat Islam di Singapura.



Menerusi media sosial, Zulfikar menyebarkan ideologi yang melampau dan mempengaruhi sekurang-kurangnya dua rakyat Singapura berpandangan tegar, termasuk Encik Saiddhin.



Kementerian Ehwal Dalam Negeri maklum dia telah menggesa Muslim di negara ini untuk mengangkat senjata di luar negara.



Encik Saiddhin telah dikenakan Perintah Sekatan pada 2016, yang berakhir pada Julai tahun ini. Di bawah perintah itu, pergerakannya disekat dan beliau tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan awam tanpa kelulusan.



Menurutnya, beliau mengenali Zulfikar secara dalam talian pada 2012, dan telah diundang olehnya untuk menyertai kumpulan Facebook Al-Makhazin.



Encik Saiddhin berkata, beliau bukan seorang yang sangat dekat dengan agama dan tertarik dengan ilmu dan semangat Zulfikar.



Beliau berkata, Zulfikar menggambarkan dirinya sebagai seorang yang memperjuangkan Muslim di Singapura.



Encik Saiddhin mula membaca bahan-bahan yang Zulfikar kemukakan di laman peribadi Facebooknya, yang menggambarkan seolah-olah ISIS cuba menyelamatkan Muslim dengan membentuk sebuah khalifah Islam.



Pemenggalan kepala yang dilakukan ISIS dianggap sebagai satu pembohongan oleh Zufikar, yang berkata, media Barat berat sebelah dan tidak boleh dipercayai.



"Setelah menyakininya, saya mengepos tulisan dan ulasannya," kata Encik Saiddhin.



Menjawab soalan ST, jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berkata, menggambarkan ISIS dan agenda untuk mewujudkan khalifah Islam yang memberi manfaat kepada Muslim merupakan satu taktik biasa Zulfikar.



Dia mempertahan ISIS dan tindakan ganasnya di media sosial, dan mengongsi propaganda tentang kehidupan yang baik di Syria di bawah undang-undang ISIS.



Dia juga mengepos gambar-gambar beremosi yang menunjukkan nasib Muslim dalam konflik di Syria bagi mempengaruhi pengikut kepada usaha ISIS.



Ahli ilmuwan yang mengkaji radikalisasi maklum kumpulan media sosial mempengaruhi orang dengan meningkatkan rasa sedih, marah dan benci, menjadikan orang yang terpengaruh menjadi lebih terbuka untuk melakukan keganasan.



Encik Saiddhin berkata, beliau kini tahu bahawa sikap dan karisma seperti Zulfikar, yang tidak dilatih dalam bidang agama, "boleh menggunakan daya tarikannya untuk menjauhkan orang" daripada maksud sebenar Islam.



"Selepas diberi bimbingan oleh ustaz bertauliah, saya sedar agama bukanlah sesuatu yang boleh dijual atau dipasarkan secara bebas oleh orang sepertinya."



Seorang lelaki lain, seorang karyawan pertengahan usia yang setuju bercakap dengan identiti dirinya dirahsiakan, mengongsi dengan ST bagaimana beliau rasa dipermainkan dan akur akan penggunaan ISA ke atas Zulfikar bagi membantu menghalangnya daripada merosakkan orang lain.



"Zulfikar ada cara menyampaikan kata-katanya, dia diakui disebabkan oleh pembabitan awalnya dalam isu-isu Muslim. Mungkin itu memberinya kewibawaan di kalangan sesetengah orang," katanya. - The Straits Times.




#1: LUAHAN MENGENAI ZULFIKAR



Mengenai Profesionalisme ISD:



"Tiada siapa yang suka apabila diinterviu oleh ISD (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri). Saya mungkin kurang selesa dengan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), namun ISD sebuah badan yang profesional... saya boleh katakan saya melalui sesi interviu secara profesional dengan ISD. Mereka memanggil saya untuk menjalankan siasatan terhadap Zul (Zulfikar). Semuanya berasaskan fakta. Saya dapati apa yang dilakukan oleh mereka adalah demi memastikan keselamatan negara dalam jagaan yang baik."



Mengenai Penahanan Zulfikar:



"Pada awalnya saya sangka Zul adalah tahanan politik. Tapi setelah ditunjuk bukti, saya yakin bahawa penahanan Zul adalah wajar. Saya membaca dokumen setebal 50 hingga 100 muka surat. Saya akhirnya yakin bahawa penahanan tersebut bukan bersifat politik tetapi adalah penahanan demi keselamatan negara."



Penyesalan:



"Setelah menjalani interviu dengan ISD, saya rasakan saya lebih 'bijak' untuk menilai semua ini. Saya menyesal dikaitkan dengan Zul. Zul pandai bermain dengan kata-kata. Zul melihat semua ini hitam dan putih. Dia membawa ideologi yang salah."
- Seorang karyawan pertengahan usia yang setuju bercakap dengan Berita Harian dengan syarat identitinya dirahsiakan.



#2: MENGAPA SAYA TERPENGARUH?



"Zulfikar menggunakan kata-kata yang manis untuk 'goreng' (memperdaya mereka yang mendengar) dan berupaya mengocak emosi hingga menimbulkan rasa benci dan marah. Beliau berbuat begitu untuk menggambarkan nasib rakyat Syria dalam konflik secara tidak tepat... Selepas diberi bimbingan oleh ustaz bertauliah, saya sedar agama bukanlah sesuatu yang boleh dijual atau dipasarkan secara bebas oleh orang sepertinya."
- Encik Mohamad Saiddhin Abdullah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >