Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

TIMUR TENGAH

Bantah cara wanita dilayan di Iran: Pemain catur terkemuka negara 'tidak dibenar pulang'

Feb 19, 2023 | 05:30 AM



DI luar dugaannya, Cik Sara Khadem, antara pemain catur muda terbaik di dunia, sama sekali tidak menyangka keputusannya untuk menyertai satu pertandingan antarabangsa tanpa memakai hijab akan menyebabkan beliau tidak dapat pulang ke negaranya, Iran.



Cik Sara, 25 tahun, berbuat demikian untuk menyokong pergerakan membantah layanan yang diberikan di Iran kepada perempuan yang tidak berhijab.



Namun, beliau kini tidak boleh pulang ke Iran - ada waran tangkapan baginya dan beliau kini terpaksa tinggal di selatan Sepanyol bersama suami dan anak lelaki berusia setahun.



Berkongsi kisahnya dengan Perbadanan Penyiaran British (BBC) baru-baru ini, Cik Sara walaupun berada beribu batu dari Iran, berkata beliau tetap berasa gementar dan meminta supaya tempat tinggalnya dirahsiakan.



Wanita di Iran perlu memakai hijab di tempat awam, termasuk apabila mereka di luar negeri.



Namun segelintir memilih untuk tidak berbuat demikian kerana ingin memberi sokongan kepada bantahan yang kini sedang berlaku di Iran, menyusuli kematian Cik Mahsa Amini, 22 tahun September lalu.



Mengimbas keadaan di pertandingan catur di Kazakhstan pada Disember lalu, Cik Sara berkata ada peserta dari Iran yang menyarung hijab apabila berada di depan kamera, tetapi membukanya apabila bertanding.



Namun Cik Sara enggan berbuat demikian kerana ingin menunjukkan sokongan kepada anak gadis dan perempuan yang berhimpun untuk membantah di Iran.



Beliau akur sengaja tidak menyertai bantahan kerana prihatin tentang anaknya, Sam.



Justeru, beliau memutuskan untuk menggunakan pengaruhnya sebagai pemain catur negara untuk membantah dengan cara sendiri.



"Saya tahu, saya boleh membantah dengan cara yang lain," kata Cik Sara.



Cik Sara, yang telah bertanding dalam pertandingan catur sejak berusia lapan tahun, sebenarnya pernah terlibat dengan kontroversi serupa pada 2020.



Pada tahun itu, satu pesawat Ukraine yang berlepas dari lapangan terbang Iran telah ditembak jatuh oleh tentera Iran, membunuh 176 orang.



Pihak berkuasa negara itu hanya mengaku akan kesilapan itu tiga hari selepas kejadian.



Menulis di media sosial pada ketika itu, Cik Sara berkata beliau berhasrat untuk meninggalkan pasukan catur nasional.



Walaupun beliau tidak menghubungkan hantaran media sosial itu dengan insiden pesawat Ukraine, Cik Sara dipaksa tanda tangan dokumen pengakuan yang menyatakan hujah beliau tidak bermaksud politik.



Namun, menyusuli insiden itu, pasportnya dirampas pihak berkuasa apabila beliau cuba menggunakannya di lapangan terbang.



Buat masa ini, insiden yang berlaku ke atasnya lebih serius dan hidupnya telah berubah secara drastik.



Namun Cik Sara berkata beliau tidak menyesali perbuatannya.



"Tentu sekali saya rindu kepada keluarga, tapi saya tidak menyesali perbuatan saya. Saya masih mewakili Iran, saya masih warga Iran dan warga Iran masih menganggap saya sebagai warga," kata beliau.



Menurut Cik Sara, beliau bukan seorang aktivis politik, tapi beliau sekadar melakukan apa yang dimampuinya kerana menaruh inspirasi daripada keberanian orang yang melakukan bantahan di jalan raya.



Sekurang-kurangnya, beliau berteman suami dan anak di Sepanyol.



Suaminya, Encik Ardeshir Ahmadi, seorang pengarah filem dan penyampai rancangan di Internet.



Encik Ardeshir juga pernah dijadikan sasaran pihak berkuasa di Iran, apabila beliau menghasilkan filem dokumentari berhubung hip hop.



Beliau dipenjara selama tiga bulan dan dibelasah dalam tahanan.



Cik Sara dan Encik Ardeshir layak menetap di Sepanyol kerana 'peraturan visa emas' - yang membolehkan sesiapa yang membeli hartanah bernilai separuh juta Euro, ($716,000) menetap di sana.



Malah, Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez telah bertemunya pada bulan lalu.



Menurut Cik Sara, beliau terharu kerana disambut dengan baik di negara orang.



"Tapi di negara sendiri, walaupun saya pernah mencapai banyak kejayaan semasa mewakili negara, waran tangkapan dikeluarkan atas nama saya," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >