Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bantuan HGEF legakan sukar nenek jaga cucu

Jan 03, 2021 | 05:30 AM



APABILA anak perempuan dan menantunya ditangkap bagi kesalahan berkaitan dadah dan dimasukkan penjara, Cik Jamilah (bukan nama sebenar) terpaksa berhenti kerja untuk menjaga dua cucunya yang masih bersekolah.



Tanpa pendapatan, nenek berusia 58 tahun itu memohon bantuan daripada pelbagai pihak, termasuk pejabat khidmat sosial (SSO) dan Masjid Ar-Raudhah, yang menghulurkan sokongan dari segi kewangan dan juga bayaran bil air dan elektrik serta penyenggaraan rumah.



Cik Jamilah menjaga seorang cucu berusia 10 tahun dan seorang lagi yang berusia 20 tahun, yang sedang menjalani program bekerja sambil belajar.



Buat kali pertamanya semalam, Cik Jamilah menerima bantuan daripada Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF), yang memberi beliau $120 bagi menampung perbelanjaan persekolahan cucunya yang berusia 10 tahun.



Beliau dirujuk untuk mendapatkan bantuan daripada HGEF menerusi program Keluarga Akrab (FEC) Yayasan Mendaki.



HGEF menyediakan bantuan kewangan kepada anak penagih atau bekas penagih dadah bagi pendidikan mereka.



Walaupun keadaan mencabar, Cik Jamilah berkata beliau tetap kuatkan hatinya demi cucu beliau.



"Saya tetap tabahkan hati saya untuk cucu saya membesar biar jadi yang lebih baik. Kalau boleh, apa yang sudah terjadi itu janganlah terjadi pada cucu cicit saya juga. Itu saja yang saya fikirkan.



"Alhamdulillah, mereka sekolah pun baik. Walaupun saya tak dapat membantu dalam pelajaran cucu saya, saya tetap berusaha untuk berikan kata-kata perangsang dan nasihat, belajar betul-betul," kata beliau, sambil menambah bahawa anak perempuannya baru saja bebas dari penjara baru-baru ini.



Cik Jamilah antara sekitar 60 keluarga yang menerima cek daripada HGEF dalam satu majlis yang diadakan di Kelab Masyarakat Bukit Batok East semalam.



Cek yang diberi itu bernilai antara $120 dengan $2,000, bergantung pada tahap pendidikan pelajar yang menerimanya.



Turut memberi sokongan dalam acara pemberian cek itu ialah M 3 @Jurong, Lembaga Penggalakkan Kesihatan (HPB) dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).



Setiausaha Parlimen (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang juga Anggota Parlimen GRC Jurong, juga hadir untuk memberi sokongan.



Keluarga penerima bantuan HGEF itu bukan menerima cek mereka sahaja dalam acara semalam, malah mempelajari tentang kesihatan dan menjalani pemeriksaan kesihatan asas.



Setiausaha kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun, berkata kerjasama dengan M3@Jurong, HPB dan NUHS itu salah satu usaha badan tersebut untuk menyediakan bantuan lebih menyeluruh kepada keluarga penagih dadah dan bekas penagih dadah.



"Matlamatnya ialah agar penjaga, ibu dan bapa mempunyai kesihatan baik atau sekurang-kurangnya mempunyai seseorang yang boleh menjaga mereka supaya mereka boleh menjaga anak-anak atau cucu dengan lebih baik.



"Yang kedua, kita tidak mahu anak-anak pergi ke sekolah dengan rasa tertekan dan bimbang sebab nenek, emak atau bapa mereka sakit.



"Jika ada orang prihatin tentang kesihatan ibu, bapa atau penjaga mereka, saya berharap anak-anak ini dapat memberikan tumpuan lebih baik dan melakukan yang lebih baik di sekolah," kata beliau.



Sejak ditubuhkan pada 2005, HGEF telah mengagihkan lebih $600,000 kepada sekitar 2,000 pelajar.



Cik Rahayu berkata acara itu adalah usaha penting dalam bekerjasama dengan masyarakat untuk membantu golongan memerlukan.



"Wadah seperti ini menyediakan sokongan lebih menyeluruh kepada keluarga kerana ia bersifat lebih peribadi dan setiap keluarga boleh melihat apa yang mereka perlukan dan bagaimana lagi kita dapat membantu mereka," kata Cik Rahayu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >