Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bantuan tetap dihulur kepada penerima zakat semasa tempoh pemutus litar

May 08, 2020 | 05:30 AM



BIARPUN dengan keterbatasan dek langkah pemutus rantaian jangkitan, Pegawai Pembangunan Sosial (SDO) dari Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sentiasa berhubung rapat dengan individu dan keluarga yang menerima bantuan zakat.



Antara lain, para pegawai itu memastikan bantuan zakat tersebut diterima pada masa yang ditetapkan selain terus berhubungan menerusi telefon dengan para penerima ini, yang sebahagiannya merupakan warga emas, untuk bertanya khabar berkaitan kebajikan serta kesihatan mereka.



Sepanjang dua bulan, masjid setempat telah ditutup sebagai sebahagian daripada langkah mengawal penularan wabak Covid-19 dalam langkah yang tidak pernah dialami masyarakat Islam di sini.



Justeru, ini telah menyebabkan keresahan dalam kalangan jemaah setempat yang telah menjadikan masjid bukan hanya tempat beribadah, malah nadi bagi interaksi sosial.



Keresahan ini lebih dirasakan bagi keluarga dan individu yang bergantung kepada bantuan zakat dan lain-lain sokongan sampingan.



Menurut Penolong Ketua Unit Pembangunan Sosial, Encik Zulfadhli Gazali, terdapat sekitar 14,000 individu Muslim yang menerima bantuan zakat dan di bawah jagaan pegawai Pembangunan Sosial di masjid-masjid setiap bulan.



Justeru, dalam keadaan sekarang, golongan tersebut lebih terkesan dengan impak ekonomi dan bagi mereka bantuan zakat setiap bulan adalah sumber sokongan kewangan penting bagi menampung keperluan harian.



Encik Zulfadhli menerangkan, bagi memastikan khidmat bantuan zakat tidak terjejas dengan penutupan masjid, operasi masjid dan badan berkanun itu sendiri perlu disemak.



Ini bukan hanya bagi memastikan sokongan bagi keluarga yang sedang dibantu tidak terputus, malah juga bagi memenuhi keperluan pemohon baru.



Antaranya, beliau berkata SDO yang kesemuanya bekerja dari rumah, telah diberikan telefon bimbit bagi kegunaan kerja untuk menghubungi penerima zakat, terutama mereka yang tempoh bantuan sudah hampir tamat.



Individu-individu itu dihubungi dan diberitahu bahawa bantuan zakat yang diterima akan dilanjutkan secara automatik bagi tempoh enam bulan lagi.



"Mereka juga diberitahu mengenai maklumat kelayakan bagi lain-lain bentuk sokongan daripada skim bantuan kewangan yang diumum pemerintah.



"Muis dan masjid-masjid telah berusaha meningkatkan kesedaran pemohon baru mengenai proses bantuan kewangan zakat bagi memastikan mereka faham bahawa bantuan zakat masih dihulurkan meskipun masjid-masjid ditutup," kata beliau lagi.



Cik Rashida Shariff, Pengurus Pembangunan Sosial, Pejabat Masjid Kelompok Utara, berkata:



"Apabila kami dengar mengenai langkah menutup masjid, kami tahu ramai penerima zakat akan berasa risau. Justeru, kami mengambil langkah menghubungi mereka untuk memberi penerima ini keyakinan sambil memastikan bahawa khidmat kami berjalan terus dan mereka akan terus menerima bantuan," ujarnya.



MENYESUAIKAN DIRI DENGAN NORMA BARU



Cara dan tuntutan kerja yang baru ini perlu didakap pegawai SDO Muis.



Cik Siti Syazwani Azmi, SDO di Masjid Alkaff Kampung Melayu berkata meskipun bekerja dari rumah, beliau dan rakan-rakan sekerja kerap berhubung dengan penerima bantuan dan meneliti jenis bantuan lain yang boleh mereka terima.



"Contohnya ialah Cik Esah Mahmood, yang kini menerima bantuan kewangan setiap bulan dari Muis. Dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan ini, beliau juga menerima bantuan projek SGUnited Buka Puasa dan mendapat juadah iftar setiap hari sepanjang Ramadan," ujarnya.



Bagi pegawai tersebut, rasa tanggungjawab serta keazaman berkhidmat untuk masyarakat dan penerima zakat semakin utuh dalam masa-masa mencabar ini.



SDO dari Masjid Sallim Mattar, Encik Muhammad Zaid Shahul Hamid berkata Covid-19 telah menjejas semua orang.



"Dengan tempoh pemutus rantaian jangkitan dilanjut, kini lebih penting untuk memberi sokongan kepada mereka yang paling teruk terjejas iaitu keluarga berpendapatan rendah.



"Sebahagian besar keluarga ini bergantung kepada pekerjaan yang bergaji hari dan ramai daripada mereka kini tidak mempunyai pendapatan.



"Justeru, Muis, masjid, Pejabat Khidmat Sosial dan pertubuhan masyarakat yang lain memainkan peranan untuk menyediakan bantuan penting ini kepada keluarga sedemikian," katanya, sambil menambah beliau juga gembira dapat menyumbang sebagai relawan dalam inisiatif SGUnited Buka Puasa, dengan menyelaras penghantaran juadah berbuka kepada rumah-rumah penerima.



Dalam pada itu, kawalan ketat langkah pemutus rantaian jangkitan yang antaranya menggalak orang ramai agar duduk sahaja di rumah telah meninggalkan kesan kepada sebahagian penerima bantuan Muis.



Sehubungan dengan itu, pegawai Muis sering memberi dorongan dan rangsangan kepada mereka menerusi pelbagai wadah yang tersedia.



"Para pegawai kami memberi kata-kata semangat dan dorongan serta memberi mereka keyakinan bahawa ada sokongan yang disediakan menerusi pelbagai saluran dan agensi sokongan.



"Lebih penting lagi, SDO kami terus berhubungan dengan warga emas yang tinggal seorang diri, memantau kebajikan dan kesihatan mereka.



"Ini semua dilakukan bagi memastikan kita dapat sama-sama membangunkan masyarakat dan hanya dengan bersatu kita dapat mengatasi cabaran ini," kata Encik Zulfadhli lagi.




"Apabila kami dengar mengenai langkah menutup masjid, kami tahu ramai penerima zakat akan berasa risau. Justeru, kami mengambil langkah menghubungi mereka untuk memberi penerima ini keyakinan sambil memastikan bahawa khidmat kami berjalan terus dan mereka akan terus menerima bantuan."
- Cik Rashida Shariff, Pengurus Pembangunan Sosial, Pejabat Masjid Kelompok Utara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >