Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bapa empat anak sukarela derma hampir 70 peratus hati kepada penerima tidak dikenali

Jul 08, 2023 | 05:15 PM



Encik Herman Sing, 45 tahun, mahu menderma organ - apa jua organ yang boleh didermakan.

Beliau juga ingin mendermakannya kepada orang yang tidak dikenali.

Bapa empat anak dan juga warga Singapura itu telah menjalani pembedahan untuk memenuhi matlamatnya, memberikan hampir 70 peratus hatinya kepada penghidap penyakit hati peringkat akhir yang tidak diketahuinya.

The Straits Times tidak dapat mendedahkan bila prosedur itu berlaku, untuk mematuhi garis panduan yang berkaitan dengan rahsia nama penerima.


Encik Sing berkata keputusan pentingnya “berkembang secara semula jadi” selama bertahun-tahun memikirkan isu melakukan kebaikan.

Selepas lebih 15 tahun menjalankan kerja sukarela dengan bersemangat, beliau mahu melakukan lebih banyak lagi. Beliau mahu “menyelamatkan nyawa”.

“Saya mahu menderma apa jua organ kepada orang yang tidak dikenali, asalkan saya boleh melakukannya sebagai penderma yang masih hidup. Ini adalah satu-satunya cara anda boleh menyelamatkan nyawa orang lain secara langsung,” katanya.

Encik Sing bekerja sebagai pengarah logistik di sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan makmal percubaan klinikal secara global, satu bidang kerja yang mempengaruhi pemikirannya.

Beliau berkahwin dengan Cik Lim Pei San, 45 tahun, seorang pengurus kanan dalam sektor perkhidmatan awam. Pasangan itu mempunyai empat anak berusia lima, sembilan, 13 dan 17 tahun.

Kes derma organ hidup kepada penerima tanpa nama jarang berlaku di Singapura. Terdapat empat proses menderma yang berjaya sejak 2018, kata jurucakap Unit Pemindahan Organ Kebangsaan, Kementerian Kesihatan (MOH).

Jurucakap itu menambah bahawa organ yang boleh didermakan semasa seseorang masih hidup termasuk buah pinggang dan sebahagian daripada hati.

Di Singapura, sementara kebanyakan penderma hidup adalah berkaitan dengan penerima, individu juga boleh memilih untuk menderma kepada pesakit dalam senarai menunggu yang ada.

Bagi derma dalam senarai sedemikian, penderma boleh menghubungi unit pemindahan organ tersebut, yang akan memudahkan proses itu.

Penderma yang meninggal dunia menyumbang 16 pemindahan hati dan 22 pemindahan buah pinggang pada 2022, menurut statistik daripada unit berkenaan.

Encik Sing mula menjadi sukarelawan dengan pelbagai pertubuhan tidak mengaut untung pada usia 20-an tahun, selepas menamatkan pengajian dengan ijazah perniagaan daripada Universiti Nasional Singapura (NUH).

Beliau berasakan dirinya dapat mengawal lebih baik kewangan dan masanya pada peringkat hidupnya kini.

Dengan menyertakan isteri, anak dan rakan sekerjanya sepanjang perjalanannya menawarkan khidmat kebajikan, beliau mendapati kerja amal sebagai “jalan dua hala” yang memberi manfaat kepada individu memerlukan yang didekatinya lantas menghasilkan banyak kenangan menggembirakan untuknya.

Beliau masih menghantar bungkusan makanan kepada isi rumah berpendapatan rendah, katanya mengimbau kembali bagaimana langkahnya itu telah menyentuh perasaan seorang penerima, yang baru-baru ini menjadi balu dan diserang angin ahmar.

Selama beberapa tahun, beliau mengambil cuti tahunan untuk menghabiskan dua minggu pada Disember untuk mengagihkan barangan runcit dan hadiah kepada golongan yang memerlukan semasa kempen Krismas Share-a-Gift Christmas yang dikendalikan Boys’ Brigade.

Pada awal beliau menjadi sukarelawan, Encik Sing, seorang penganut agama Buddha, adalah sebahagian daripada kumpulan yang membacakan doa buat orang yang tidak dikenali.

Semasa berkhidmat untuk keluarga yang berduka, beliau menyedari bahawa perbuatan baik tidak perlu dilakukan hanya untuk orang yang dikenali.

“Rutin saya adalah menyumbang semula kepada masyarakat. Tetapi saya rasa saya tidak dapat menangani punca penderitaan orang lain. Saya mula berfikir, apa lagi yang boleh saya lakukan?” dia cakap.

Bekerja dalam sektor ujian klinikal, di mana “kerja setiap hari adalah tentang menyelamatkan nyawa”, keinginan membantu meluap-luap.

Beberapa tahun lalu, beliau telah mendaftar untuk Program Penderma Sumsum Tulang, yang menguruskan daftar penderma sumsum tulang sukarela di Singapura.

Beliau juga cuba menderma darah dan dengan cepat beralih kepada menderma plasma darah dan platelet, prosedur yang lebih panjang dan lebih rumit daripada suntikan pada lengan yang diperlukan untuk menderma darah.

“Saya boleh melakukannya dengan lebih kerap, secara bulanan, dan bukannya tiga bulan sekali (dengan menderma darah). Sehingga kini, saya telah menderma sebanyak 64 kali,” katanya.

Apabila tragedi peribadi melanda, ia menguatkan tekad altruistiknya.

Pada 2007, beliau berhenti kerja untuk menjadi penjaga sepenuh masa, bersama ibunya, selepas bapanya disahkan menghidap barah kolon. Beliau menyambung kerja dalam industri logistik selepas bapanya meninggal dunia dua tahun kemudian pada usia 59 tahun.

Katanya: “Ia adalah faktor utama saya ingin menderma sebahagian daripada hati saya. Saya berasakan bahawa saya benar-benar boleh membuat perubahan dalam kehidupan dan keluarga orang lain. Mengharungi tempoh melihat orang tersayang dilanda penyakit yang menamatkan nyawanya membantu saya bersabar dengan kesakitan pembedahan saya.”

Encik Sing mengunjungi Unit Pemindahan Organ Kebangsaan beberapa tahun lalu dan memulakan siri ujian perubatan, psikologi dan lain-lain yang panjang dan ketat dalam usaha menjadi penderma organ yang masih hidup.

Beliau memutuskan untuk menderma sebahagian daripada hatinya, bukannya buah pinggang, kerana beliau menganggap pemindahan hati mungkin merupakan pilihan terakhir untuk pesakit hati, manakala pesakit yang menunggu pemindahan buah pinggang boleh menjalani dialisis.

Pakar bedah Encik Sing, Profesor Madya Shridhar Iyer dari Hospital Universiti Nasional (NUH), menggariskan risiko.

“Angka di seluruh dunia menunjukkan bahawa terdapat risiko kematian bagi penderma sebanyak 0.5 peratus atau kurang, manakala 15 hingga 20 peratus daripada penderma mungkin mengalami komplikasi, yang boleh termasuk pendarahan atau jangkitan,” kata pengarah bersama Pusat Universiti Nasional untuk Pemindahan Organ di NUH.

Komplikasi utama membentuk kurang daripada dua peratus untuk prosedur sedemikian yang dilakukan di pusat itu, tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >