Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIRI LAPORAN ANTIDADAH-Kerjasama antara Berita Harian/Minggu dengan Biro Narkotik Pusat (CNB)

Bebaskan Singapura daripada dadah bukan kerja mudah

Dec 09, 2018 | 05:30 AM



"MENJADIKAN Singapura bebas daripada dadah tetap penting bagi kita. Tetapi ia bukanlah tugas mudah.



Keadaan sekitar, serantau dan antarabangsa tidak kelihatan baik. Keadaan global dan serantau sebenarnya semakin buruk.



Asia Tenggara adalah pasaran methamphetamine terbesar di dunia, dan pasaran candu dan heroin kedua terbesar.



Dianggarkan pengedaran methamphetamine dan heroin di rantau ini menjana lebih daripada $43 bilion setahun.



Bahan psikoaktif baru kekal menjadi ancaman. Ahli kimia yang dicurigai mencipta koktel dadah berbahaya dan menjualnya kepada penagih, yang sesetengahnya berpendapat bahan-bahan ini tidak berbahaya. Nah, mereka benar-benar tersilap.



Pergerakan global ke arah sikap lebih liberal terhadap dadah hanya akan memburukkan keadaan. Terdapat banyak permintaan agar dadah disahkan di sisi undang-undang.



Di tengah-tengah tekanan ini, sesetengah negara yang secara tradisinya berpendirian tegas terhadap dadah telah mula kendur. Tetapi Singapura akan tetap tegas dalam sikap toleransi sifar terhadap dadah.



STRATEGI ANTIDADAH SINGAPURA



Kita mempunyai strategi yang berkesan dan mantap demi memastikan Singapura bebas daripada dadah.



Kebanyakan ini disebabkan kerja keras Biro Narkotik Pusat (CNB) dan pegawainya.



Selama bertahun-tahun, CNB berjaya melaksanakan program pendidikan pencegahan dadah (PDE).



Sebagai contoh, advokasi antidadah menerusi media sosial telah ditubuhkan sebagai strategi baru CNB.



Banyak kempen media sosial dilancarkan bagi memerangi maklumat salah tentang dadah.



Gerakan Bersatu Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Rangkaian Advokasi Antipenyalahgunaan Dadah dilancarkan untuk menggembleng pertubuhan dan sumber masyarakat dalam kempen kesedaran awam dan menguatkan suara antidadah.



CNB juga meningkatkan usahanya dalam menyasarkan belia. Contohnya, CNB melibatkan belia yang menjadi sukarelawan sebagai penyokong antidadah.



Tahun lepas, beberapa penyokong belia berkongsi pendekatan kawalan dadah Singapura dengan perwakilan asing dalam Forum Menentang Dadah Asia-Pasifik.



Mereka juga secara proaktif memulakan satu acara di seluruh negara dengan menyebarkan mesej antidadah dan memperingati Hari Dadah Sedunia.



Bagi menyekat bekalan, undang-undang yang ketat dan penguatkuasaan berkesan telah berjaya menyekat pengedar.



CNB melumpuhkan 23 sindiket dadah pada 2017. Lebih daripada 1,600 gerakan dijalankan di pusat pemeriksaan bagi memintas dadah yang memasuki Singapura.



Strategi kita berjaya. Rejim kita yang teguh telah melindungi orang kita daripada dadah.



Majoriti rakyat Singapura menyokong dasar toleransi sifar terhadap dadah. Sebanyak 89 peratus daripada belia yang dikaji bersetuju bahawa undang-undang dadah kita berkesan.



Perangkaan penyalahgunaan dadah turun secara drastik dari 1990-an. Keselamatan kita tidak terancam oleh kehadiran pengambilan dadah, dan pengedar yang mengedar dadah secara terbuka.



Namun, tidak semua orang bersetuju dengan kita. Ada seruan agar kita menghapuskan hukuman mati. Aktivis meminta dadah disahkan.



Respons kita terhadap mereka jelas. Pendekatan kita terbukti berkesan buat Singapura dan kita akan terus tegas menentang dadah.



Kami sedar kemudaratan dan kerosakan yang dibawa oleh dadah kepada rakyat. Setiap negara mempunyai hak memilih pendekatan paling berkesan dan relevan di bawah konteks masing-masing yang unik.



Dan kami akan terus melakukan apa yang terbaik dan berkesan bagi Singapura.



Usaha pegawai CNB mempunyai kesan besar terhadap generasi akan datang.



Izinkan saya memetik satu contoh. Tidak lama dahulu, seorang wanita ditangkap kerana mengedar dadah.



Pegawai CNB juga mendapati wanita itu merupakan pengasuh anak kecil berusia setahun. Anak kecil itu ditemui dalam jagaan seorang pengedar dadah. Anak kecil itu akhirnya diserahkan kepada Perkhidmatan Perlindungan Anak.



Cuba bayangkan apa yang akan berlaku kepada anak kecil itu, bayangkan jika dia terus dijaga oleh orang yang menyalah guna dan mengedar dadah, persekitaran yang dialaminya.



Pegawai CNB kami telah menjalankan tindakan susulan dalam kes ini. Ibu anak kecil itu ditangkap. Sebelum ini, dia melarikan diri, bersembunyi bagi mengelakkan pengesanan CNB.



Dia kini mengandung empat bulan, dan walaupun begitu, dia diuji positif lagi kerana penyalahgunaan dadah. Bagi memastikan anak-anak kita di Singapura dapat membesar dalam persekitaran yang bersih dan bebas daripada dadah, kita mesti terus mengambil pendirian tegas terhadap dadah.



PELAN TRANSFORMASI CNB



CNB mempunyai rancangan besar bagi memperbaharui dan mengukuhkan keupayaannya.



Pertama, CNB akan menggandakan usaha meningkatkan keupayaan gerakan, memperbaiki proses kerja dan mengoptimumkan sumber.



Pusat Laporan Generasi Seterusnya (NGRC) merupakan satu contoh penggunaan teknologi yang baik. Proses pemerolehan air kencing hari ini rumit dan dibuat secara manual.



Pegawai perlu melakukan tugas kotor mengendalikan sampel air kencing, mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan. Ia juga mengambil masa pegawai daripada melakukan kerja penting lain.



CNB mahu mengautomasikan proses pemerolehan air kencing dengan menggunakan robot. Ini menjadikan proses ini lebih cekap dan cepat daripada pengendalian secara manual.



Ia juga merupakan proses yang selamat, tahan gangguan dan pencemaran sampel air kencing, juga mengurangkan risiko kesihatan yang dihadapi pegawai CNB kerana mereka mendapat pendedahan lebih sedikit terhadap sampel air kencing. Saya gembira kerana ujian bermula pada Julai tahun ini. Ia yang pertama seumpamanya di dunia.



Sistem Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Bersepadu II (IDEAS II) merupakan satu lagi projek penting bagi CNB. Ia akan menjadi sistem siasatan dan pengurusan kes bersepadu bagi CNB.



Kedua, kakitangan. Pegawai CNB kekal sebagai pemacu utama Pelan Transformasi CNB.



Peningkatan kemahiran terus menjadi tumpuan utama CNB. Modul pembelajaran mudah alih membolehkan pegawai menyegarkan pengetahuan mereka, bila-bila masa, di mana sahaja. Pegawai CNB lebih bersedia berurusan dengan orang ramai dengan lebih berkesan.



Ketiga, perkongsian. CNB tidak boleh memenangi perjuangan terhadap dadah secara sendirian. Menjalin perkongsian yang kuat dengan sektor awam dan swasta, serta masyarakat memang penting. Salah satu rakan kongsi yang berdiri bersama kami ialah Shalom Movers.



Shalom Movers aktif dalam Gerakan Bersatu Menentang Dadah sejak tahun lepas. Mereka menggalakkan kakitangan mereka menghadiri ceramah PDE.



Lebih penting lagi, dalam Kempen Zon Bebas Dadah yang telah dilancarkan, Shalom Movers menggerakkan 100 kenderaan penghantaran untuk menyebarkan mesej antidadah. Terima kasih kerana 'memandu' gerakan antidadah kami.



CNB akan mengambil pendekatan lebih mendalam. Projek dan inisiatif akan dicipta bersama rakan CNB.



Sebagai contoh, pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat telah menghasilkan video mengenai penyalahgunaan dadah. Video ini melukis gambaran sebenar bagaimana penyalahgunaan dadah telah menghancurkan keluarga.



Malah, salah seorang pelajar terdorong mengambil bahagian dalam projek ini kerana keluarganya terjejas oleh penyalahgunaan dadah. Dia mahu menggunakan video untuk menyebarkan mesej antidadah kepada lebih ramai orang.



Perjuangan menentang dadah bukanlah mudah. Ketika kita menghadapi cabaran semasa, akan muncul cabaran baru.



Jadi, penting bagi CNB dan rakan-rakannya kekal fokus dan komited dalam mencapai wawasan Singapura yang bebas dadah. Marilah kita terus melabur dalam teknologi, meningkatkan kemahiran pegawai kita, dan memperkuat perkongsian dengan masyarakat."




UNDANG-UNDANG DADAH



"Majoriti rakyat Singapura menyokong dasar toleransi sifar terhadap dadah. Sebanyak 89 peratus daripada belia yang dikaji bersetuju bahawa undang-undang dadah kita berkesan.

Perangkaan penyalahgunaan dadah turun secara drastik dari 1990-an. Keselamatan kita tidak terancam oleh kehadiran pengambilan dadah, dan pengedar yang mengedar dadah secara terbuka.

Namun, tidak semua orang bersetuju dengan kita. Ada seruan agar kita menghapuskan hukuman mati. Aktivis meminta dadah disahkan.

Respons kita terhadap mereka jelas. Pendekatan kita terbukti berkesan buat Singapura dan kita akan terus tegas menentang dadah."




PERANAN CNB



"Perjuangan menentang dadah bukanlah mudah. Ketika kita menghadapi cabaran semasa, akan muncul cabaran baru.

Jadi, penting bagi CNB dan rakan-rakannya kekal fokus dan komited dalam mencapai wawasan Singapura yang bebas dadah. Marilah kita terus melabur dalam teknologi, meningkatkan kemahiran pegawai kita, dan memperkuat perkongsian dengan masyarakat."

- Encik Amrin Amin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >