Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SKIM PELABURAN LEBUR

Beberapa pelabur S'pura dalam skim 'beli, bangun hartanah di M'sia' rugi ribuan dolar

Wanita yang didakwa wakil Amanah Hartanah PNB (AHP) di M'sia lesap selepas gagal bayar pulangan, kembalikan modal
Feb 11, 2018 | 05:30 AM



BELIAU terpanggil untuk menyertai satu skim pelaburan melibatkan pembelian dan pembangunan tanah di Malaysia yang menjanjikan pulangan 100 peratus beserta ganjaran berupa tiket penerbangan ke beberapa destinasi menarik.



Bagi mendapatkan keterangan lanjut, pelabur yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Farok, berkunjung ke pejabat R&R Concierge dan begitu teruja apabila dimaklumkan skim pelaburan tersebut menjanjikan pulangan 100 peratus setiap minggu.



Encik Farok memberitahu Berita Minggu bahawa beliau pernah menemui pengarah firma itu, Cik Rashidah Rashid, dan Cik Rashidah mengaku bertindak selaku wakil Amanah Harta Tanah PNB (AHP) di Malaysia.



AHP ialah sebuah amanah pelaburan hartanah atau Real Estate Investment Trust (Reit) di Malaysia.



Tanpa berlengah, Encik Farok mencuba nasib dengan modal permulaan $500 dan tepat seminggu kemudian beliau menerima $1,000 tunai - modal berserta pulangan - yang dibayar di pejabat R&R Concierge di A'Posh Bizhub di Yishun Street 1.



Berita mengenai pelaburan yang diperkenalkan mulai hujung 2015 itu cepat berkembang dan menarik ramai pelabur.



Encik Farok dan saudara maranya serta rakan-rakan, telah melabur sekitar $127,000 antara hujung 2015 dengan 15 Februari 2016.



Beliau menampilkan beberapa dokumen yang diberi Cik Rashidah termasuk resit penerimaan wang pelaburannya yang lengkap dengan logo AHP dan risalah serta pelbagai hartanah milik syarikat Pelaburan Hartanah Nasional Berhad (PHNB) di Malaysia.



Seorang lagi pelabur, yang hanya ingin dikenali sebagai Wak Ali, 61 tahun, menyatakan isterinya dan dua anaknya, kerugian hampir $40,000.



Salah seorang anaknya itu, melabur $11,000 dengan harapan dapat menggunakan pulangan yang diraih, untuk menokok kekurangan majlis perkahwinannya.



Mereka dijanjikan pembayaran pulangan setiap bulan - tidak lagi setiap minggu, kemudian dianjakkan kepada setiap dua minggu seperti sebelum ini.



Tetapi, selepas menyertai pelaburan itu pada awal 2016, mereka menggigit jari.



"Kami begitu kecewa dan bila desak pulangan, Rashidah beri macam-macam alasan dan minta tangguh. Dia kemudian menghilangkan diri dan tak dapat dihubungi," kata Wak Ali.



Wak Ali, pekerja bengkel kereta, menyatakan ketika R&R mula ribut, ramai pelabur menyerbu apartmen kondominium yang disewa Cik Rashidah di Ang Mo Kio dan pejabatnya di Yishun bagi menagih pulangan dan modal, tetapi tidak membuahkan hasil.



Menurutnya, pejabat R&R Concierge itu telah ditutup Jun tahun lalu.



Encik Farok dan Wak Ali serta beberapa pelabur telah membuat laporan polis.



Polis dalam e-mel balasnya pada 30 November lalu, sebagai menjawab pertanyaan BH mengenai aduan para pelabur itu berkata: "Polis mengesahkan laporan-laporan telah dibuat dan siasatan masih diteruskan".



Wak Ali mendakwa telah menghubungi pejabat AHP di Kuala Lumpur dan diberitahu mereka tidak pernah berurusan dengan sebarang warga Singapura, khususnya Cik Rashidah.



Dalam iklan notisnya di Berita Harian (BH) pada 5 Julai tahun lalu dan laman sesawangnya, PHNB selaku pengurus kepada AHP, menyatakan pihaknya tidak pernah melantik sebarang individu termasuk Cik Rashidah atau pihak lain sebagai wakil mereka.



Syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu menegaskan pihaknya hanya berkomunikasi menerusi kepala surat rasmi atau e-mel koperat dan urus niaga unit AHP hanya boleh dibuat menerusi broker saham berlesen di Bursa Malaysia Security Berhad, kata PHNB.



AHP hanya menawarkan skim pelaburan kepada warga Malaysia.



BH telah dua kali menghantar e-mel kepada AHP untuk mendapatkan komen mereka mengenai skim pelaburan kelolaan Cik Rashidah itu tetapi tidak mendapat sebarang respons.



Pemeriksaan BH di daftar Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) mendapati R&R Concierge yang didaftarkan pada Oktober 2015 sebagai firma penghantaran barang dan perancangan melancong, telah dibatalkan pendaftarannya.



Seorang lagi pelabur, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Roslan, teknisyen berusia 52 tahun, mengeluarkan wang simpanannya secara berasingan - $20,000 dan $15,000 - untuk dilaburkan dalam R&R Concierge pada awal tahun lalu tetapi tidak meraih sesen pun.



"Selepas Februari tahun lalu Rashidah terus tidak dapat dihubungi,'' keluhnya.



Menurutnya, Cik Rashidah pernah memberi bertepek cek secara berasingan kepada beberapa pelabur yang mendesak pulangan dan modal dipulangkan, tetapi ditendang oleh pihak bank.



BH telah berkali-kali cuba menghubungi menerusi telefon bimbit Cik Rashidah tetapi khidmat telefon bimbitnya telah dihentikan.



Ini termasuk menghubunginya menerusi WhatsApp, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) serta e-mel - kesemua tidak dibalas.



Para pelabur tidak mengetahui di mana beliau tinggal sekarang.



Baru-baru ini, BH telah mengunjungi unit yang pernah disewa R&R Concierge di A'Posh Bizhub di Yishun Street 1 tetapi didapati telah ditutup sejak Jun 2016 dan diambil alih penyewa lain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >