Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Belia kongsi detik mula terjerumus ke arah radikalisme...

May 01, 2023 | 05:30 AM



KETERAMPILAN dan sifat keislaman sahaja sudah cukup untuk meyakinkan Saad (bukan nama sebenar) untuk mempercayai apa yang diajar dan dikongsikan oleh penceramah atau pendakwah agama dalam talian.



Penceramah dan pendakwah yang mengikut sunah, dan menampilkan 'imej sebenar Islam', adalah antara aspek penting yang beliau sanjungi.



Ini meskipun, apa yang diajar mereka itu mampu memesongkan beliau ke arah radikalisme dan ekstremisme, tanpa dirinya sedari.



"Penampilan (guru agama) adalah faktor utama yang mudah membuat saya terpengaruh (dengan ajaran mereka). Pemimpin kumpulan ISIS seperti Abu Bakr al-Baghdadi… dia bukan sahaja mempunyai kelayakan dalam pengajaran Islam, malah juga pengetahuan akademik.



"Jadi, selain latar belakangnya dalam ilmu Islam seperti Syariah dan Al-Quran, kalau tak silap saya, dia juga mempunyai kelayakan dari segi sains dan sebagainya.



"Cara dia bercakap juga agak lantang dan mempunyai karisma tersendiri... perkara yang mempengaruhi saya juga adalah cara seorang pemimpin atau penceramah berpakaian. Contohnya dia berjanggut dan memakai jubah," katanya.



Saad merupakan salah seorang daripada empat belia yang telah bercakap kepada media tentang bagaimana mereka mula terpengaruh dengan ideologi yang disampaikan kumpulan pengganas selain berkongsi tentang perjalanan mereka ke arah pemulihan.



Perjalanan radikalisasi Saad bermula sekitar 2014 apabila beliau melihat dan mendengar mengenai perjuangan kumpulan ISIS.



Minatnya terhadap ISIS semakin mendalam selepas menghadiri ceramah menentang keganasan yang dianjurkan oleh institut penyelidikan tempatan, di mana beliau merasakan bahawa penceramah yang memberikan perkongsian tidak wajar mengutuk perjuangan ISIS.



Pada usia di mana beliau sentiasa bersikap ingin tahu, Saad mula meragukan apa yang dikatakan oleh penceramah tersebut dan merasakan bahawa tindakan kumpulan radikal itu selari dengan apa yang disebut dalam kitab suci, terutamanya mengenai topik jihad.



"Penceramah berkongsi tentang beberapa ayat dalam Al-Quran, serta memetik beberapa hadis, dan beliau menyebut bahawa kumpulan pelampau banyak menyalahtafsirkan banyak ayat dan hadis.



"Saya berasa curiga dengan apa yang diperkatakan kerana mana mampu kita sebagai seorang Islam boleh menolak apa yang telah tertulis dalam Al-Quran?



"Jadi dari situ, saya mula membuat kajian sendiri tentang jihad menerusi Google dan juga menonton video di YouTube," tambahnya



Saad, yang ketika itu masih seorang pelajar, juga cuba mempengaruhi rakan-rakannya dengan berkongsi video dan teks menerusi WhatsApp dan di akaun Facebook miliknya.



Namun, mereka menolak pendapatnya dan memintanya mendapatkan nasihat daripada guru agama.



Disebabkan terlalu alpa dengan dakyah dan fahaman ekstremis yang cuba disebarkan, Saad tidak pernah terfikir bahawa beliau akan ditangkap.



Dunianya tiba-tiba berubah apabila beliau dikenakan Perintah Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2016, pada usia 16 tahun.



Arahan itu memerlukan beliau mematuhi syarat seperti akses terhad kepada media sosial dan tidak dapat melancong ke luar negara tanpa kebenaran.



Menurutnya, episod dalam hidupnya itu sukar untuk diproses hingga menyebabkan beliau menangis hampir setiap hari selama sekitar dua minggu.



Beliau bagaimanapun akur bahawa program pemulihan yang dikendalikan guru agama dari Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan pakar psikologi dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), banyak mengubah fahamannya tentang agama.



Perintah sekatannya juga dibenarkan luput pada 2020.



Saad, kini berusia awal 20-an dan bekerja sebagai eksekutif logistik dan pentadbiran, akur bahawa ketika itu beliau jahil serta bersikap kurang matang dan seharusnya mendengar nasihat arwah bapanya.



Namun, mengenang kembali, beliau merasakan ia sebenarnya satu rahmat kerana beliau ditahan pada awal kehidupannya.



"Saya rasa bertuah kerana ia berlaku kepada saya ketika saya masih muda, jadi saya masih boleh fokus pada masa depan saya.



"Bayangkan jika saya menghadapi perkara ini ketika saya berusia sekitar 50-an, 60-an, malah lewat 40-an. Ia benar-benar akan menjejaskan hidup saya," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >