Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SAJIAN KHAS HARI INI: WIRA TANPA SANJUNGAN

Berkat kegigihan diri, kini jadi peguam berjaya

Firma Oon & Bazul kini punya 65 peguam dan 110 kakitangan; turut sumbang Dermasiswa Bazul Ashhab-Dana Amanah Pendidikan (ETF) kepada 80 pelajar Islam posmenengah
Sep 25, 2021 | 05:30 AM



PEGUAM Encik Bazul Ashhab baru-baru ini menyumbang $40,000 dalam bentuk dermasiswa bagi membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.



Hadiah yang ditadbir Yayasan Mendaki itu digelar Dermasiswa Bazul Ashhab-Dana Amanah Pendidikan, tetapi yang empunya nama berkata beliau sebenarnya keberatan dikaitkan dengan sumbangan itu.



Ini kerana, walaupun disenaraikan sebagai antara 100 peguam terbaik Singapura, dan dengan pengalaman sekitar dua dekad dalam bidang kerjaya itu, Encik Bazul adalah seorang yang sangat pemalu dan tidak sukakan publisiti serta perhatian orang ramai.



"Keputusan menolong adalah mudah, apa yang sukar adalah menderma atas nama saya," katanya dalam ucapan yang beliau sampaikan di majlis pelancaran dermasiswa itu.



Namun Encik Bazul akhirnya mengalah setelah diyakinkan bahawa namanya, dan jalan hidupnya ke arah kejayaan yang dikecapi kini, akan menjadi dorongan kepada pelajar yang menerima dermasiswa itu.



Kisah peguam berusia 51 tahun itu telah digambarkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam dalam satu kiriman Facebook sebagai "satu lagi cerita Singapura".



Encik Shanmugam telah mengongsi ucapan Encik Bazul yang beliau sifatkan sebagai "memberi inspirasi" dan menunjukkan bagaimana peguam itu "bangkit menerusi sistem meritokrasi ke tempat beliau berada kini".



Ditemui di pejabat firma guaman Oon & Bazul baru-baru ini, Encik Bazul meluahkan harapan agar kisahnya dapat memberi dorongan kepada ramai yang berada dalam keadaan yang pernah beliau lalui.



"Saya rasa adalah penting untuk masyarakat kita, terutama pelajar, yakin yang jika seseorang seperti saya - yang memahami keadaan mereka kerana saya tidak ke sekolah elit - jika seseorang seperti saya dapat melakukan apa yang telah saya lakukan, mereka boleh capai yang lebih baik lagi," kata rakan kongsi pengurusan dan ketua jabatan penyelesaian pertikaian itu.



Encik Bazul, yang berketurunan India Muslim, anak sulung dalam keluarga tiga beradik yang dibesarkan dalam keluarga berpendapatan pertengahan rendah.



Bapanya seorang pekerja penghantaran manakala ibunya bertugas sebagai pekerja pembersihan sebelum melakukan kerja pentadbiran di sebuah pejabat.



Encik Bazul membesar dalam flat tiga bilik di kawasan Tanjong Pagar dan menuntut di Sekolah Rendah Keppel diikuti Sekolah Menengah Bukit Ho Swee.



"Saya dibesarkan dalam keluarga yang penyayang. Ibu bapa saya menitikberatkan perlunya menuntut ilmu, tetapi ia tidak betul-betul ditekankan.



"Saya gemar membaca tapi tidak suka belajar. Saya bukan pelajar yang paling banyak memberi perhatian di dalam kelas. Ada beberapa kali juga saya dihukum kerana tidak menyelesaikan kerja rumah," cerita Encik Bazul.



Di sekolah menengah, beliau lebih banyak meluangkan masa dengan kawan-kawan, yang ada di antara mereka telah terjerumus ke dalam kancah dadah, dan dilabel oleh beberapa guru sebagai tidak begitu cerdik dan tidak akan mencapai apa-apa yang berguna dalam hidup.



Namun bagi Encik Bazul, beliau berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat prauniversiti, dan lulus peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'A' dengan keputusan sederhana.



Encik Bazul seterusnya menjalani perkhidmatan negara dan segera memutuskan untuk menjadi pegawai polis tetap dengan bon lima tahun bagi meraih gaji yang lebih tinggi.



Namun sekitar setahun kemudian, beliau mula berasa bosan, dan menemui rakannya dari prauniversiti yang mencadangkannya agar beliau melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang secara sambilan dari universiti luar negara.



Kebetulan pula beliau ditugaskan ke Mahkamah Tinggi, dan di situlah bermula peralihan laluan hidupnya.



"Saya ditugaskan sebagai pegawai polis kepada seorang hakim Mahkamah Tinggi, yang merupakan seorang lelaki yang sangat mengagumkan. Beliau memainkan peranan besar dalam kejayaan saya," kata Encik Bazul.



"Beliau tanya apa yang sedang saya lakukan, dan saya kata saya sedang belajar undang-undang. Beliau kata itu sangat baik dan beliau suruh saya duduk dan ikuti prosiding.



"Beliau berbual dengan saya tentang undang-undang dan amalan dan memberi saya buku tentang psikologi dan neurosains walaupun pada waktu itu saya tidak begitu menghargai apa yang saya baca.



"Beliau menjadi role model pada masa saya sangat memerlukan seorang contoh teladan.



"Saya mahu menunjukkan yang saya boleh mendapat keputusan baik dalam memburu (kerjaya dalam bidang) undang-undang," kata Encik Bazul yang tidak dapat memberi nama hakim tersebut kerana tidak meminta kebenarannya terlebih dahulu.



Beliau membaca buku teks dan buku-buku yang dipinjamkan hakim itu semasa waktu rehat dan selepas kerja, dan mengikuti kelas sambilan pada sebelah malam dengan beberapa institusi.



Sedang ada rakan sekerjanya membaca surat khabar atau tidur semasa di dalam mahkamah, Encik Bazul mengikuti perkembangan perbicaraan dan berpeluang melihat perbahasan peguam hebat seperti Encik Davinder Singh dan Encik Shanmugam.



Beliau turut mengambil nota untuk dibandingkan sama ada ia sejajar dengan komen hakim.



Selesai bon dan dengan ijazah undang-undang dalam genggaman, Encik Bazul ke London untuk mengambil peperiksaan peguam.



Beliau lulus dengan kepujian kelas kedua, sesuatu yang menurutnya agak jarang berlaku dalam peperiksaan tersebut.



Beliau menjalani pelatihan (pupillage) selama enam bulan di sebuah firma guaman di sini dan sambung bekerja di sana selama tiga tahun.



Pada 2002, Encik Bazul dan rakan kongsinya membuka firma guaman sendiri, di mana beliau memberi tumpuan kepada amalan komersial dan sivil.



Daripada firma dengan hanya dua peguam, Oon & Bazul kini mempunyai 65 peguam dan 110 kakitangan di Singapura dan Malaysia.



Hari ini Encik Bazul berkata beliau "amat sibuk dengan kerja dan pengurusan firma" dan meluangkan masa lapangnya bersama anak lelakinya yang berusia 13 tahun.



Memandang ke hadapan, beliau dan rakan-rakan kongsinya merancang mengubah firma itu menjadi sebuah amalan premium, iaitu syarikat guaman yang lebih besar dengan bilangan peguam yang naik dua kali ganda dalam masa tiga hingga lima tahun akan datang.



"Kisah dan kejayaan saya hanya dapat berlaku disebabkan oleh peluang yang ada di Singapura untuk semua yang bersedia bekerja keras tanpa mengira warna atau kepercayaan seseorang, yang merupakan bukti ciri-ciri meritokratik Singapura," kata Encik Bazul.




ZAMAN PERSEKOLAHAN



"Saya dibesarkan dalam keluarga yang penyayang. Ibu bapa saya menitikberatkan perlunya menuntut ilmu, tetapi ia tidak betul-betul ditekankan.

Saya gemar membaca tapi tidak suka belajar. Saya bukan pelajar yang paling banyak memberi perhatian di dalam kelas.

Ada beberapa kali juga saya dihukum kerana tidak menyelesaikan kerja rumah."



PERALIHAN KERJAYA



"Saya ditugaskan sebagai pegawai polis kepada seorang hakim Mahkamah Tinggi, yang merupakan seorang lelaki yang sangat mengagumkan.

Beliau memainkan peranan besar dalam kejayaan saya...

Beliau tanya apa yang sedang saya lakukan, dan saya kata saya sedang belajar undang-undang.

Beliau kata itu sangat baik dan beliau suruh saya duduk dan ikuti prosiding.

Beliau berbual dengan saya tentang undang-undang dan amalan dan memberi saya buku tentang psikologi dan neurosains walaupun pada waktu itu saya tidak begitu menghargai apa yang saya baca.

Beliau menjadi role model pada masa saya sangat memerlukan seorang contoh teladan."

- Peguam, Encik Bazul Ashhab. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >