Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bersara tanpa bimbang

Bekas jururawat amalkan sikap menabung
Oct 06, 2020 | 05:30 AM



SEBAGAI jururawat muda hampir lima dekad lalu, Cik Azizah Mohamed Yussoff telah mula menabung sebahagian gaji yang diterimanya setiap bulan.



Wang yang diketepikan itu tidak banyak, kata Cik Azizah, yang menerima gaji sekitar $200 pada ketika itu.



Beliau juga perlu membayar yuran penginapan di asrama jururawat - jururawat pelatih dimestikan tinggal di asrama semasa tempoh latihan - pada ketika itu.



Namun, menurut Cik Azizah, beliau tetap menabung kerana tahu amalan itu boleh memberinya manfaat di masa depan.



"Gaya hidup saya mudah sahaja... tidak mewah," kata Cik Azizah, yang berkata beliau dan lagi enam adik-beradiknya dididik supaya hidup mengikut kemampuan dan berjimat.



"Menabung bak tabiat semula jadi bagi saya dari muda lagi... saya pastikan saya menabung setiap bulan. Lama-kelamaan, wang simpanan saya juga bertambah,'' katanya.



Tabiat berjimat dan berbelanja mengikut kemampuan itu terus diamalkan Cik Azizah, kini 69 tahun, selepas beliau bersara sekitar dua tahun lalu.



Menurut beliau, pengalaman beliau sebagai jururawat selama 47 tahun telah menekankan dalam dirinya peri penting mempunyai wang untuk persaraan.



Menurut Cik Azizah, yang mempunyai dua anak lelaki, keutamaan hidupnya berubah-ubah di peringkat tertentu tetapi tabiat menabung itu tetap dikekalkan.



Jika beliau menabung untuk dirinya sendiri semasa baru menjadi jururawat, beliau mula menabung untuk keluarga dan anak-anaknya selepas mendirikan rumah tangga, kata Cik Azizah.



Beliau juga membeli pelan insurans kesihatan dan simpanan bagi anak-anaknya dan keluarganya.



Malah, menurut Cik Azizah, beliau masih mengekalkan pelan insurans bagi dirinya dan membayar premium sekitar $200 setiap bulan. Seiring kesihatan keluarga, pendidikan anak-anaknya juga diutamakannya.



"Saya selalu tekankan kepada anak-anak saya mengenai peri penting berjimat, pendidikan dan tidak lupa menjaga kesihatan, sehingga ia menjadi bak satu budaya untuk kami," kata Cik Azizah, yang menampung keseluruhan kos pengajian anak sulungnya di Brisbane, Australia, menggunakan wang simpanannya.



Anak sulungnya itu kini bertugas dalam sektor perbankan, sementara anak bongsunya bertugas sebagai pegawai awam dan masih juga belajar sambilan untuk mempertingkatkan diri.



Kini, kededua anaknya itu telah mendirikan rumah tangga dan tinggal di rumah masing-masing.



Rumah, bagi Cik Azizah adalah flat HDB point block di Telok Blangah - tempat kediamannya sejak lebih 40 tahun lalu.



Menurut Cik Azizah, beliau dan arwah suaminya adalah pemilik pertama flat itu dan memang tidak pernah berhasrat untuk berpindah dari sana.



Beliau juga telah melengkapkan bayaran bagi flat itu, yang dibelinya dengan harga sekitar $40,000.



"Saya memang dari golongan yang tidak suka berpindah-randah... satu manfaatnya adalah saya dapat melunaskan pinjaman bagi rumah jauh lebih awal lagi," kata Cik Azizah, yang kini tinggal serumah dengan ibunya, yang berusia 98 tahun dan seorang pembantu rumah.



Arwah suaminya meninggal dunia sekitar dua tahun lalu kerana masalah jantung.



Mengulas mengenai cara beliau menyara hidup dalam persaraan, Cik Azizah berkata beliau bersyukur kerana memutuskan untuk tidak mengeluarkan wang CPF apabila usianya menjangkau 55 tahun.



Sebaliknya, beliau telah menokok wang simpanan dalam Akaun Persaraan CPF sebagai simpanan bagi hari tua.



"Bagi saya, selagi saya bekerja, saya tidak perlu menggunakan wang itu... lebih baik saya biarkan wang itu dalam CPF supaya ia bertambah untuk digunakan pada hari tua," kata Cik Azizah.



Sejak usianya 62 tahun, Cik Azizah telah menerima bayaran bulanan menerusi skim CPF Life yang digunakan untuk belanja bulanan.



Bersama wang belanja bulanan yang diberikan oleh kededua anaknya, wang simpanan dan hasil pelaburan kecil-kecilan, Cik Azizah berkata beliau dapat menampung gaya hidupnya sendiri.



Sebelum penularan pandemik Covid-19 ini, beliau giat menghadiri program di Masjid Al-Amin dan sering bertemu rakan-rakan.



Namun, menurut Cik Azizah, beliau terpaksa mengubah sedikit tabiatnya yang gemar shopping atau membeli-belah selepas bersara.



Kini, beliau telah mengurangkan 'membeli-belah' untuk diri sendiri, tetapi sebaliknya, sering berbelanja bagi cucu tunggalnya.



"Pada usia lanjut ini, saya tidak memerlukan banyak barangan... jadi kebanyakan perbelanjaan saya pada masa ini adalah bagi cucu saya," kata Cik Azizah.




Gaya hidup saya mudah sahaja... tidak mewah... Menabung bak tabiat semula jadi saya dari muda lagi... saya pastikan saya menabung setiap bulan. Lama-kelamaan, wang simpanan saya juga bertambah... Saya selalu tekankan kepada anak-anak saya mengenai peri penting berjimat, pendidikan dan tidak lupa menjaga kesihatan, sehingga ia menjadi bak satu budaya untuk kami.
- Cik Azizah Mohamed Yussoff. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >