Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

WAKAF MASYARAKAT SINGAPURA

Beza pelaburan konvensional dengan pelaburan syariah

Sekitar 200 tetamu hadir dalam Seminar Wakaf yang dianjurkan bersama Wakaf Masyarakat Singapura dengan kerjasama Berita Harian, hujung minggu lalu. Pelbagai kandungan dan perkongsian penting telah dikongsikan dalam seminar sekitar 2 jam membincangkan tentang perancangan legasi. BERITA MINGGU menggariskan beberapa isu yang diketengahkan dalam seminar tersebut.
Feb 12, 2023 | 05:30 AM



MUNGKIN ada yang tertanya apakah manfaatnya jika seseorang membuat pelaburan secara konvensional berbanding dengan berlandaskan syariah?



Ada juga yang mungkin bertanggapan bahawa pelaburan konvensional membawa pulangan yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan lagi portfolio si pelabur.



Namun pengarah pengurusan harta, Financial Alliance, Encik Sani Hamid, menegaskan perkara utama yang membezakan antara kedua-dua unsur pelaburan itu adalah riba.



"Dan ini adalah sebab dan asas yang paling penting sekali buat kita orang Muslim," tegasnya.



Menurutnya, pelaburan berlandaskan syariah memang direka agar pelabur menjauhi riba.



Riba bermaksud faedah yang diterima yang berlaku dalam aktiviti seperti pinjaman dan pelaburan tetapi juga wujud dalam perdagangan.



Beliau menukil surah Al-Baqarah, ayat 278 hingga 279 yang menyentuh tentang perlunya Muslim mengelakkan diri daripada riba.



Encik Sani membuat perkongsian tersebut semasa berucap di seminar 'Rancangkan Akhirat, Manfaatkan Masyarakat' yang diadakan di Insitut Pembelajaran Sepanjang Hayat di Paya Lebar, minggu lalu.



Dalam seminar tersebut yang dihadiri sekitar 200 peserta, pelbagai isu berkaitan pengurusan aset dan harta telah dibincangkan.



Ia bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat tentang perancangan kewangan secara Islam dan perancangan untuk meninggalkan hartanah sebagai legasi.



Selain Encik Sani, dua lagi pakar telah diundang berucap di seminar itu.



Ia termasuk Ustazah Shameem Sultanah dan peguam dari Rangkaian Peguam M3 dan Pengarah Urusan Deansgate Barakah Law Corporation, Encik Ezra Bunyamin.



Dalam pembentangan Encik Ezra, beliau menggariskan beberapa alat perancangan legasi yang boleh dibuat masyarakat Melayu/Islam di sini.



Antaranya termasuk faraid, wasiat, hibah, nominasi CPF/insuran dan hak milik rumah sama ada hak milik bersama (joint tenancy) atau hak berumum (tenancy in common).



Beliau menekankan bahawa dengan alat-alat perancangan legasi yang ada ini, seseorang bukan sahaja boleh meninggalkan kekayaan buat orang yang tersayang selepas mereka tiada nanti tetapi juga penerima lain.



"Selain daripada meninggalkan kekayaan untuk orang yang anda sayangi, perancangan legasi untuk umat Islam sebaiknya termasuk pemberian yang dirancang untuk benefisiari di luar keluarga anda atau sebagai sadaqah jariyah untuk akhirat anda," katanya.



Semasa sesi perbincangan ahli panel berjudul 'Kekayaan dan Kejayaan dalam Islam', Encik Sani berkata meski ada pepatah Inggeris yang menyatakan "money is the root of all evil" atau "wang merupakan akar segala kejahatan" tetapi bagi seorang Muslim, wang adalah neutral.



"Ia bergantung kepada cara anda menggunakan wang itu sama ada untuk tujuan jahat ataupun tidak.



"Namun jika duit itu digunakan untuk sedekah, ia akan memanfaatkan.



"Usah gunakan harta untuk mengawal anda tetapi anda perlu mengawal harta itu. Gunakan harta itu untuk mempertingkatkan pahala anda," katanya.



Ustazah Shameem berkata penting untuk masyarakat terutama kaum wanita agar terbuka apabila berbincang tentang faraid.



"Ada yang mungkin menganggap faraid ini tidak adil, tetapi buka minda kita. Ini merupakan tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah swt dan ini melebihi daripada apa yang kita ketahui.



"Justeru demi mengelak pergaduhan, perkelahian antara adik-beradik, anak-beranak, kita rancang dengan teliti selagi kita masih hidup," katanya.




SESI SOAL JAWAB BERSAMA AHLI PANEL



Soalan (S): Apa bezanya antara Dana Pembinaan Masjid dengan Mendaki (MBMF) dengan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS)?



Cik Dewi Hartaty Suratty, Pengarah Dasar Aset & Endowmen Muis:



MBMF dipotong secara automatik secara bulanan daripada orang dewasa yang sedang bekerja tetapi anda boleh mengundurkan diri jika mahu.



Bagi WMS pula, individu boleh membuat pilihan sama ada untuk menyumbang kepada WMS ataupun tidak. Jika mereka menyumbang, insya-Allah pahala atau sadaqah jariah mereka akan bertambah.



Satu lagi perbezaan ialah, MBMF lebih khusus kepada penyenggaraan dan pembangunan masjid dan program-program Mendaki, justeru objektifnya amat spesifik.



Namun bagi WMS, objektifnya lebih menyeluruh dan keutamaan ialah bagi usaha masa depan.



Ini termasuk bagi pembangunan asatizah serta pembinaan kolej Islam Singapura.



Ia juga bertujuan membantu institusi keagamaan selain menyumbang ke arah inisiatif pembangunan masyarakat.



Secara tuntas, WMS tujuannya lebih menyeluruh berbanding MBMF.



S: Mana satu yang perlu diliunaskan terlebih dahulu - hutang antara manusia atau hutang kepada Allah swt?



Ustazah Shameem Sultanah:



Kedua-duanya perlu dilunaskan. Jika hutang kepada Allah swt seperti zakat, fidyah yang belum dibayar, semua perlu dilunaskan.



Selain itu, duit pengebumian dan badal haji juga perlu dilangsaikan.



Kemudian baru beralih kepada hutang kepada manusia yang perlu diselesaikan. Malah ayat paling panjang dalam Al-Quran adalah mengenai hutang. Mungkin kita tidak tulis siapa yang hutang dengan kita, tetapi wajar untuk kita lakukan agar boleh diselesaikan hutang tersebut.



Selesai itu, barulah dilakukan faraid, wasiat dan sebagainya.



S: Boleh tak kita beri kepada anak-anak tanpa mengikut undang-undang faraid?



Encik Sani Hamid, Pengarah pengurusan harta, Financial Alliance:



Adalah penting untuk mengikut hukum faraid kerana bahagian sudah ditetapkan. Jika ada sesuatu yang perlu diuruskan daripada segi pembahagian harta, digalakkan untuk dilakukan sedemikian sebelum meninggal dunia.



Misalnya sekiranya ibu bapa ingin memberikan harta lebih kepada anak perempuan, apa yang boleh dilakukan semasa hidup sekarang ialah kedua-duanya membuka akaun bank bersama.



Sekiranya si ibu meninggal dunia, anak perempuan itu akan dapat wang daripada akaun bank tersebut kerana akaun itu juga atas namanya. Jika akaun bank hanya atas nama ibunya, wang di dalam akaun itu akan dibahagikan mengikut faraid.



S: Suami saya telah menulis wasiat di mana beliau mahu mengagihkan aset sama rata antara kesemua empat anak kami - dua lelaki, dua wanita. Adakah ia akan dimansuhkan kerana tidak mengikut faraid?



Ustazah Shameem:



Mereka yang dikategorikan sebagai ahli waris kepada orang yang meninggal dunia itu, nama mereka tidak boleh disertakan dalam wasiat.



Wasiat adalah bagi mereka yang nama mereka bukan tertakluk dalam kategori waris kepada orang yang meninggal itu.



Ini kerana bagi waris, mereka akan perolehi peninggalan harta melalui faraid.



Encik Sani:



Ini merupakan sesuatu yang agak kerap berlaku di mana ramai yang menggunakan wasiat untuk menyamaratakan pembahagian harta itu.



Saya sarankan lagi jika ingin membahagikan harta, perlu dilakukan sebelum anda meninggal dunia.



Apa yang boleh anda lakukan? Anda boleh buat nominasi bagi CPF atau membuka akaun bank bersama.



Tetapi bagi mengelakkan salah faham apabila anda tiada nanti, pentingnya juga untuk anda mengumumkan kepada semua anak yang lain tentang langkah yang anda lakukan.



Meski ini satu proses yang sukar tetapi ia amat diperlukan.



S: Kalau seorang suami itu sudah berkahwin lagi dan beliau mempunyai anak tiri, apakah anak-anak tiri itu layak untuk menerima wang daripada CPF beliau?



Encik Ezra Bunyamin, Peguam dari Rangkaian Peguam M3 dan Pengarah Urusan Deansgate Barakah Law Corporation:



Anak tiri atau anak angkat tidak akan menerima wang daripada CPF jika tiada nominasi dibuat oleh orang yang meninggal dunia itu semasa beliau masih hidup.



Jika tiada nominasi, keseluruhan wang dalam CPF itu akan dicairkan (liquidate) dan kemudian akan dibahagikan secara faraid.



Sekiranya anda mahu anak tiri atau anak angkat menerima wang CPF itu, anda perlu buat nominasi selagi anda masih hidup.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >