Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Biasiswa Sang Nila Utama untuk pelajar SIT

Jan 14, 2022 | 05:30 AM



SATU biasiswa baru khas buat mahasiswa Institut Teknologi Singapura (SIT) yang bukan sahaja mencapai keputusan akademik cemerlang tetapi juga membuat sumbangan kepada masyarakat telah ditubuhkan di universiti itu.



Biasiswa Sang Nila Utama yang mempunyai dana lebih sejuta dolar, atas sumbangan lima penderma individu dan korporat serta Geran Pemadanan Pemerintah Dipertingkat, akan diberikan kepada sekurang-kurangnya dua mahasiswa setiap tahun.



Mahasiswa yang perlu menuntut ijazah sepenuh masa dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, dan Kesihatan dan Sains Sosial itu akan menerima $15,000 setiap seorang dalam setahun.



Dalam kenyataan yang dikeluarkan SIT baru-baru ini, salah seorang pejuang inisiatif mengumpul dana bagi biasiswa tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari.



Niat menubuhkan biasiswa itu, menurutnya, adalah untuk memupuk profesional baru yang akan menjadi penggerak pertama dalam masyarakat serta bidang pertumbuhan industri.



"Hadiah pendidikan ialah hadiah terbaik yang kita boleh berikan kepada seseorang. Saya percaya terdapat keperluan untuk kita memperjuangkan peluang sama rata, dan lebih-lebih lagi mewujudkan peluang bagi anak muda agar merealisasikan aspirasi mereka," ujarnya.



Encik Bahren telah bekerjasama rapat bersama Profesor Yaacob Ibrahim, Penasihat Pejabat Presiden SIT dan Pengarah bagi Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial SIT, serta Profesor Tan Thiam Soon, Profesor Institut SIT untuk memastikan usaha mengumpul dana bagi biasiswa tersebut berjaya.



Dr Yaacob, dalam responsnya kepada Berita Harian (BH) berkata:



"Pengasas Singapura dikenali untuk keberanian dan kepintarannya. Kami berharap penerima Biasiswa Sang Nila Utama mendapat inspirasi daripada ciri-ciri yang sama untuk menjadi penggerak pertama dalam industri serta masyarakat mereka - dan untuk mendatangkan kesan positif di mana sahaja mereka berada."



Dua penerima biasiswa itu ialah Encik Ahmad Syafiq Md Yusof, yang enggan memberi komen kepada media, serta Encik Adley Michael Pereira.



Encik Adley, 25 tahun, yang merupakan mahasiswa Kejuruteraan Mekanikal tahun terakhir berkata beliau berbesar hati dan bersyukur dipilih untuk biasiswa tersebut.



Biasiswa itu telah membolehkannya menggantikan komputer beliau yang sudah tujuh tahun lamanya kepada yang baru. Ini membantunya dalam pelajaran seperti menghasilkan lukisan tiga dimensi (3D).



Antara sumbangan Encik Adley kepada masyarakat adalah beliau mempersembahkan dan mengajar silap mata kepada golongan yang mengalami Aphasia - keadaan di mana daya perhubungan seseorang terganggu setelah bahagian otak yang mengawal bahasa rosak, contohnya setelah strok - untuk membantu mereka berkomunikasi.



"Saya harap dapat mengasah kemahiran kepimpinan saya dan berkembang menjadi jenis pemimpin yang boleh memahami isu yang dihadapi rakan saya dan membantu mereka mengharunginya," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >