Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bila niat bantu keluarga buka laluan jadi usahawan kek popular

Pelakon kelahiran S'pura Nadiyah Shahab giat luas niaga kek Absolut Chocolat dari 'online' ke kios fizikal
Dec 05, 2021 | 05:30 AM



SETIAP langkah yang dimulakan dengan niat baik, biar cabaran menerpa bertubi-tubi, tetap akan ada huraian dan dipermudahkan.



Itulah yang dipelajari pelakon, model dan usahawan kelahiran Singapura, Nadiyah Shahab apabila merenung kembali perjalanan hidupnya mencari rezeki di perantauan demi memberi kehidupan yang lebih baik kepada keluarganya di tanah air.



Daripada seorang pelajar yang terpaksa bekerja sambilan seperti modelling untuk membayar yuran sekolah, ulang-alik antara Kuala Lumpur dan Singapura dengan menaiki bas, Nadiyah kini dikenali sebagai usahawan perniagaan kek Absolut Chocolat yang menjana pendapatan RM5 juta ($1.6 juta) dalam tempoh dua tahun.



Nadiyah, 30 tahun, yang sudah hampir dua tahun tidak kembali ke Singapura gara-gara sekatan akibat Covid-19, akhirnya bersatu semula dengan ibu tunggalnya dan adik lelakinya pada Rabu lalu di flat HDB empat bilik di kawasan Timur Singapura.



Pelakon yang popular dengan watak antagonis, Tengku Natasha, dalam siri drama Lafazkan Kalimah Cintamu itu berkata beliau cepat-cepat mendapatkan tiket penerbangan pulang ke Singapura bersama suaminya - pelakon dan usahawan, Ben Ali - sebaik sahaja kedua-dua negara Malaysia dan Singapura mengumumkan Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) menerusi penerbangan.



"Dua tahun Hari Raya saya tak bersama mak dan adik saya... rindu bukan kepalang," ujarnya dalam interviu ekslusif dengan Berita Minggu.



HIDUP SUSAH



Menceritakan perjalanannya sebagai pelakon dan akhirnya menjadi usahawan di ibu kota Malaysia itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Tanjong Katong dan Politeknik Singapura dalam bidang Komunikasi Massa itu berkata beliau mendapat pendedahan dalam showbiz menerusi modelling.



"Keluarga saya dulu susah. Mak saya menyara kami sendirian. Selain kerja tetap, mak jual kuih untuk pendapatan tambahan. Tetapi macam mana susah pun, kami usaha sendiri... tak minta simpati sesiapa," kata Nadiyah, sambil menahan sebak. Ibu bapanya berpisah ketika Nadiyah dan adiknya masih kecil.



"Semasa di universiti, saya mula ambil tugas modelling untuk bayar yuran sekolah. Menerusi Instagram, gambar-gambar saya mendapat perhatian pengarah dan penerbit saluran Go Asean yang kemudian menawarkan saya menjadi hos siri rancangan kembara, antaranya Lost At Sea pada 2016.



"Dari situ, penerbit drama di Kuala Lumpur mula memberi perhatian kepada saya.



"Selepas muncul drama pertama, Encik Suami Mat Salih Celup, pada 2017, tawaran datang silih berganti," ujarnya yang kini sudah membintangi 14 drama bersiri. Di Singapura, beliau pernah menjadi pelakon siri drama Kek Untuk Kapten.



PERNAH DITAHAN IMIGRESEN



Sebagai pelakon baru di perantauan, kata Nadiyah, beliau menghadapi banyak cabaran. Selain perlu berulang-alik antara KL dan Singapura dengan menaiki bas kerana tidak cukup duit, beliau juga menghadapi ancaman undang-undang kerana pernah bekerja menggunakan visa pelawat.



Akibatnya, pada April 2018 beliau ditahan di Pusat Imigresen Malaysia dan tidak dibenarkan masuk gara-gara permit.



Mujur isu permit akhirnya dapat diatasi apabila pihak produksi yang berurusan dengannya membantu dan beliau mendapat permit kerja yang sah.



Hasil pendapatan berlakon mungkin membantu memantapkan ekonomi keluarga, namun ia juga menjejas pengajian bagi ijazah undang-undang dari Universiti of London.



"Saya asyik tertinggal kelas dan peperiksaan. Akibatnya, kursus empat tahun terpaksa tertangguh dan saya akhirnya dapat ijazah selepas tujuh tahun," akuinya.



MODAL RM50 BELI KEK



Ditanya tentang perniagaan kek dalam talian, Absolut Chocolat, yang begitu popular di Malaysia dan di Singapura, Nadiyah berkata semuanya bermula apabila beliau dan Ben merancang untuk bernikah.



"Masa tu, kami dah berkawan selama tiga tahun dan sudah bersedia untuk berkahwin. Tetapi Ben pun sedang susah dari segi ekonomi. Ben kata... macam mana nak kahwin ni... dahlah kena buat majlis di Singapura, duit belanja pun kena tiga gali ganda kerana tukaran wang ringgit dengan dolar," cerita Nadiyah.



Namun, niat yang baik dipermudahkan.



"Kebetulan saya ketika itu makan kek coklat yang sangat sedap. Entah macam mana timbul idea untuk menjual kek seperti itu. Ben tentu lah ragu-ragu, tetapi Allah berikan saya ilham yang jelas bagaimana saya boleh melakukannya. Bahkan, saya terus reka sendiri logo Absolut Chocolat menggunakan font percuma di laman rekaan desain dan saya gunakan logo yang sama sehingga sekarang," kata Nadiyah.



Beliau kemudian membeli kek dengan modal RM50, dan merakamkan video dan gambar secara close up agar coklat yang disiram cairan coklat di kek itu kelihatan menyelerakan. Tanpa disangka, siaran video di Instagram itu menarik setengah juta tontonan.



KIOS FIZIKAL



Menerusi siaran Instagram itu juga, Nadiyah menerima empat tempahan. Kemudian, secara perlahan-lahan tempahannya bertambah kepada 80 sehari dan kepada ratusan sehari. Bukan sahaja tempahan kek bertambah, bilangan pengikut Instagram juga naik 3000 orang sehari.



"Kebetulan ketika itu, drama Lafazkan Kalimah Cintamu begitu popular. Justeru setiap kali saya muat naik gambar kek, saya akan terima ratusan tempahan," tambah beliau.



"Bila tempahan semakin banyak, saya ambil keputusan untuk membuka kilang kek sendiri demi memenuhi permintaan dan memastikan mutu kek terjaga, tahan lama sesuai dengan penjualan secara 'online'," kata Nadiyah yang kini mempunyai kilang seluas 1400 meter persegi dan 60 pekerja termasuk pekerja pengeluaran. Pasangan itu meluaskan perniagaan dengan menubuhkan Absolut Brands Sdn Bhd, termasuk mengendalikan agensi bakat dan menganjurkan acara dengan Ben memainkan peranan sebagai Pengarah Urusan.



Pasangan itu bernikah pada 10 November 2018 di Singapura.



Bermula dengan penjualan secara online sepanjang pandemik, beliau menerima kira-kira 800 tempahan sehari. Hasil pendapatan perjualan tahun pertama mencapai RM1.2 juta ($51.8 ribu) dan dalam tempoh dua tahun, beliau meraih RM 5 juta ($1.6 juta). Di Singapura, beliau mempunyai beberapa ejen kek, dengan ibunya, Cik Norliza Hassan, turut membantu menyelaraskan perniagaannya di sini.



Sejak tiga bulan lalu, Nadiyah dan Ben telah membuka kios Absolut Chocolat secara fizikal di Mid Valley Megamall dan seminggu lalu di IOI City. Mereka merancang membuka 15 kios kek di Malaysia dalam tempoh dua tahun da memulakan francais tidak lama lagi. Belum ada perancangan untuk membuka kios fizikal di Singapura.



Merenung ke belakang, Nadiyah berkata dalam menikmati kejayaan sekarang, beliau sentiasa mengingatkan diri sendiri akan niat dan matlamat sebenar segala penat lelahnya.



"Apa pun yang kita buat, sistem sokongan adalah sangat penting. Bagi saya, keluarga adalah segalanya. Semasa sibuk bekerja, kadangkala kita terlupa dan lalai dengan perkara lain. Kita kena cepat-cepat sentiasa ingatkan diri sendiri... kenapa kita bersusah payah buat ini semua.



"Hidup di perantauan juga kita kena tahu diri. Sebangsa, tetapi budaya kita berbeza. Etika kerja berbeza. Jadi kena faham, fokus dan buat kerja dengan cara betul," tambah beliau.




"...Entah macam mana timbul idea untuk menjual kek seperti itu. Ben tentu lah ragu-ragu, tetapi Allah berikan saya ilham yang jelas bagaimana saya boleh melakukannya. Bahkan, saya terus reka sendiri logo Absolut Chocolat menggunakan font percuma di laman rekaan desain dan saya gunakan logo yang sama sehingga sekarang.

...Bila tempahan semakin banyak, saya ambil keputusan untuk membuka kilang kek sendiri demi memenuhi permintaan dan memastikan mutu kek terjaga, tahan lama sesuai dengan penjualan secara 'online'.

- Nadiyah Shahab.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >