Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

derma sumsum tulang

Bilangan penderma yang ubah fikiran jadi keprihatinan

1 dalam 3 penderma sumsum tulang tarik diri termasuk 10% masyarakat Melayu pada 2023
Aug 13, 2023 | 05:30 AM



Sekitar satu daripada tiga penderma sumsum tulang berdaftar di bawah Program Penderma Sumsum Tulang (BMDP) yang didapati sepadan dengan pesakit, menarik balik keputusan mereka untuk menderma tatkala dihubungi untuk melakukan demikian.

Ini menimbulkan keprihatinan serta melanjutkan lagi masa menunggu dalam kalangan pesakit yang memerlukan pemindahan sumsum tulang bagi penyakit mengancam nyawa, seperti leukemia.

Khususnya bagi masyarakat Melayu, sekitar 10 peratus penderma yang dihubungi pada 2023 mengambil keputusan untuk tidak menderma, sebahagian besarnya disebabkan bantahan keluarga, kata Presiden BMDP, Dr Lim Zi Yi.

“Ini membimbangkan, memandangkan masa adalah penting bagi pesakit yang nyawanya dipertaruhkan,” kata Dr Lim,  seorang pakar hematologi konsultan kanan di Pusat Hematologi Klinikal.

“Sebahagian besarnya adalah disebabkan bantahan keluarga, kerana ramai anggota keluarga mempunyai salah faham tentang proses derma dan fikir ia prosedur berbahaya.

“Oleh itu, kami menggalak keluarga dan rakan-rakan untuk belajar lebih lanjut tentang proses pendermaan sumsum tulang agar mereka boleh menyokong penderma sepenuhnya,” tambah beliau mengenai sebab penderma tarik balik keputusan.

Sebagai sebahagian usaha menggalak pemahaman lebih baik tentang penyakit berkaitan darah dan pendermaan sumsum tulang dalam kalangan masyarakat Melayu, BMDP bekerjasama dengan badan-badan seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), untuk mempertingkat kesedaran dan menggalak sokongan keluarga bagi penderma sumsum tulang.

KENAPA DERMA SUMSUM TULANG DIPERLUKAN

Sumsum tulang adalah tisu lembut dalam tulang yang mengandungi sel tunjang, yang seterusnya menghasilkan sel darah serta sel yang membina sistem imun badan.

Prosedur pemindahan sumsum tulang dilakukan untuk merawat pesakit yang sumsum tulangnya tidak menghasilkan jumlah betul pelbagai sel darah.

Terdapat lebih 60 penyakit yang boleh membawa kematian, termasuk beberapa jenis leukemia, yang boleh dirawat melalui pemindahan sumsum tulang yang didermakan penderma.

Kadar keciciran atau mengubah keputusan itu mencetuskan kekhuatiran kerana peluang bagi seorang pesakit mencari penderma yang bersesuaian dengannya bagi pemindahan sumsum tulang tidak mudah.

Sepanjang tiga dekad lalu, BDMP telah membantu mempermudahkan 1,033 pemindahan sumsum tulang untuk pesakit dan menerima pendermaan sumsum tulang daripada 437 individu.

Ia mempunyai lebih 118,000 penderma yang berdaftar di bawah program itu sekarang, namun kumpulan etnik Melayu dan India kurang diwakili, menjadikan ia lebih sukar bagi pesakit mencari padanan.

Daripada 118,000 penderma yang berdaftar itu, 76 peratus adalah Cina, 9 peratus adalah India dan 8 peratus adalah Melayu.

Dr Lim berkata hanya satu daripada tiga pesakit telah berjaya menerima pemindahan daripada penderma tempatan sejak beberapa tahun lalu.

Terdapat enam warga Singapura yang didiagnos menghidapi penyakit berkaitan darah setiap hari dan 50 pesakit menanti peluang menjalani pemindahan sumsum tulang setiap bulan.

CARA PESAKIT DIPADANKAN DENGAN PENDERMA

Pesakit dipadankan dengan penderma berdasarkan jenis tisu antigen leukosit manusia (HLA) penderma, iaitu protein yang ditemui pada kebanyakan sel dalam tubuh dan memainkan peranan penting dalam respons imun tubuh terhadap bahan asing.

Ujian HLA itu dilakukan sebelum pemindahan sumsum tulang oleh penderma dilaksanakan untuk mengetahui sama ada tisu itu sepadan antara penderma dengan pesakit.

Dr Lim menjelaskan bahawa latar belakang etnik pesakit adalah penting dalam usaha memadankan jenis HLA kerana penanda HLA yang digunakan dalam mencari padanan diwarisi oleh individu.

“Beberapa kumpulan etnik mempunyai jenis tisu lebih rumit berbanding yang lain. Oleh itu, peluang terbaik seseorang mencari penderma mungkin dengan seseorang yang mempunyai latar belakang etnik yang sama,” kata beliau.

Adik-beradik biasanya individu pertama bagi pesakit mencari padanan, namun terdapat hanya 25 peratus peluang bagi mereka menjadi padanan untuk pesakit.

Sekiranya pesakit tiada adik-beradik, Dr Lim berkata peluang pesakit mencari padanan hampir sifar kerana anggota keluarga lain seperti ibu bapa mempunyai peluang lebih rendah menjadi padanan.

Justeru, program seperti BMDP adalah amat penting kerana ia meningkatkan peluang bagi pesakit mencari penderma yang sepadan di luar keluarga mereka, sekali gus memberi peluang kedua dalam hidup, kata Dr Lim.

Ini walaupun peluang mendapat penderma tempatan yang tiada talian darah dan sepadan dengan pesakit kurang 50 peratus bagi setiap kumpulan etnik – 40 peratus bagi Cina, 20 peratus bagi Melayu dan 2 peratus bagi India.

“Ramai pesakit kami berada di tahap teruk apabila dapat tahu bahawa mereka menghidapi penyakit berkaitan darah yang mengancam nyawa. Setiap minit adalah penting dalam mencari penderma yang sepadan dengan mereka secepat mungkin.

“Oleh itu, adalah penting untuk membina daftar penderma sumsum tulang kami agar terdapat penderma yang bersedia mendermakan sel tunjang mereka untuk membantu menyelamatkan nyawa,” kata beliau.

STIGMA PERLU DIATASI

Dr Lim berkata usaha menggalak individu mendaftar sebagai penderma sumsum tulang adalah mencabar kerana tahap kesedaran awam rendah mengenai topik pendermaan sumsum tulang, yang mencetuskan banyak salah faham dan stigma.

Antaranya, orang bertanggapan bahawa sumsum tulang biasanya diambil daripada tulang belakang atau ada yang fikir mereka perlu beri sebahagian tulang mereka.

“Hakikatnya, sumsum tulang adalah tisu lembut dalam tulang yang menghasilkan sel tunjang dalam darah dan semasa pemindahan sumsum tulang, hanya sel tunjang dalam darah didermakan.

“Setelah mengetahui lebih lanjut mengenai prosesnya, kami berharap lebih ramai orang akan tampil untuk secara sukarela mendermakan sel tunjang mereka untuk menyelamatkan nyawa,” kata Dr Lim.

Dr Lim berkata terdapat “seruan segera” kepada semua orang awam yang layak, terutama orang Melayu dan India, untuk memahami kepentingan menjadi penderma sumsum dan mendaftarkan diri.

BMDP akan terus mempertingkat usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan sumsum tulang dan berharap dapat mengembangkan saiz daftar pendermanya kepada 350,000 orang dengan perwakilan berkadar bagi semua kumpulan etnik.

Ini termasuk melalui acara utama tahunannya, Match for Life, yang akan diadakan Oktober ini.


“Melalui ceramah kesedaran, usaha merekrut dan pameran bergerak di sekolah, pusat beli-belah, korporat dan pasukan berseragam, serta usaha pendidikan awam dan merekrut dalam talian, ini membolehkan kami menjelaskan sebarang salah faham yang mungkin ada mengenai pendermaan sumsum tulang,” kata Dr Lim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >