Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bina asas kukuh cinta bahasa ibunda

Swee Keat turut tekankan peranan penting guru dalam majlis penyampaian Anugerah Guru Arif Budiman
Nov 11, 2018 | 05:30 AM



DALAM menyemai cinta dan minat terhadap bahasa ibunda, permulaan awal amat penting dan Singapura telah melakukan pelbagai usaha, termasuk menggunakan teknologi, untuk mendedahkan pelajar kepada bahasa ibunda pada peringkat awal pertumbuhan kanak-kanak.



Namun, teknologi tidak boleh mengambil alih tugas seorang guru, tekan Menteri Kewangan Encik Heng Swee Keat dalam majlis penyampaian Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2018 semalam.



Bercakap kepada lebih 250 hadirin dalam majlis yang diadakan di Grand Ballroom Orchid Country Club itu, beliau berkata:



"Kita mesti mula awal untuk membina asas yang kukuh bagi anak-anak kita dalam bahasa ibunda.



"Penyelidikan dari seluruh pelosok dunia telah menunjukkan secara konsisten bahawa tahun-tahun awal merupakan waktu genting dalam pembelajaran bahasa.



"Pendedahan awal kepada dwibahasa kritikal dalam membangunkan kecekapan bahasa."



Beliau menambah bahawa kesemua 15 tadika Kementerian Pendidikan (MOE) mengajar ketiga-tiga bahasa ibunda.



Menjelang 2023 pula, kesemua 50 tadika MOE yang ditubuhkan akan menawarkan ketiga-tiga bahasa ibunda "agar anak-anak kita memasuki sekolah rendah dengan asas utuh dalam bahasa ibunda mereka".



Di samping itu, MOE juga telah memperkenal kurikulum bahasa ibunda baru pada 2015 di mana konteks kehidupan seharian digunakan untuk menjadikan pembelajaran bahasa tersebut lebih relevan kepada para pelajar.



Kurikulum baru itu memberi tumpuan kepada kemahiran komunikasi interaktif pelajar untuk mengasah kemahiran bahasa mereka.



Selain itu, teknologi semakin dimanfaatkan guru dalam kelas untuk menjadikan pengajaran mereka lebih interaktif.



Namun, Encik Heng menekankan bahawa peranan guru tidak boleh digantikan dengan teknologi semata.



"Guru, dan bukan teknologi, kekal sebagai kunci membantu para pelajar belajar dan membangunkan (kebolehan mereka)," ujar beliau.



Menggunakan peribahasa 'hidup kayu berbuah, hidup manusia berjasa', Encik Heng berkata ia merupakan contoh yang tepat dalam menggambarkan guru yang Arif Budiman, guru yang terpelajar yang menyumbang kepada masyarakat.



Agab mengiktiraf sumbangan guru-guru Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut.



Tahun ini, lima guru Bahasa Melayu telah diiktiraf dan diberikan anugerah tersebut.



Lima guru itu - Encik Roslie Buang Sidik, Encik Mohamad Zareen Mohamad Shariff, Cik Rita Zarina Mohd Nazeer, Encik Amirul Asri Hussin dan Cik Khairyanie Kamsani, dipilih daripada 666 nominasi bagi 131 guru yang diterima.



Disampaikan buat pertama kali pada 2007, seramai 50 guru Bahasa Melayu telah menerima Agab sejauh ini.



Majlis penyampaian Agab 2018 dianjurkan bersama oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).



Tahun ini merupakan kali ke-12 Agab diadakan.



Laporan lanjut : Guru Arif Budiman cuba pelbagai kaedah untuk tarik minat murid pada bahasa ibunda




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >