Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: TOKOH PEMIKIR

Pengkaji politik yang lebih suka lakukan kajian 'turun padang'

Pengajian sastera Melayu di JC buka mata Norshahril Saat kepada isu sosial serantau
Oct 31, 2021 | 05:30 AM



SEDANG rakan sebayanya di bangku sekolah dahulu mungkin gemar novel cereka, beliau pula asyik membaca buku biografi oleh tokoh politik seperti Lee Kuan Yew, Mahathir Mohamad dan Bill Clinton.



Pada masa yang sama, pengajian sastera Melayu di Maktab Rendah Nanyang tanpa disedari membuka matanya kepada isu sosial di rantau ini.



Kini, Dr Norshahril Saat, 38 tahun, merupakan Zamil Kanan di Iseas-Institut Yusof Ishak yang mengkaji politik di Singapura, Malaysia dan Indonesia.



Sebagai seorang penganalisis politik, beliau telah menerbitkan lebih 170 karya komentar di Berita Harian (BH) dalam tempoh 10 tahun lalu.



Dalam satu wawancara dengan Berita Harian/Berita Minggu, Dr Norshahril berkata beliau minat menjadi seorang penganalisis politik sejak dari kecil lagi.



"Ramai dalam masyarakat kita yang tidak tahu bidang yang saya ceburi ini. Pernah kita dengar anak-anak kecil yang kata, 'dah besar nak jadi pengkaji politik'? Tentu sekali yang akan menjadi tumpuan utama adalah peguam, doktor perubatan, asatizah, guru, dan jurutera.



"Ibu bapa saya memberikan saya dorongan untuk menceburi apa bidang sekalipun, asal ada minat. Mereka tidak pernah tetapkan pekerjaan yang saya harus ceburi. Malah mereka suka belikan buku-buku yang saya minati: dan kebanyakannya biografi politik!" kata Dr Norshahril.



Dari kecil, bekas pelajar Sekolah Menengah Beatty itu minat mengikuti analisis politik daripada tokoh seperti Dr Hussin Mutalib, Dr Bilveer Singh, dan Haji Maarof Salleh di televisyen dan akhbar.



Beliau kemudian meraih ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Nasional Singapura (NUS), ijazah sarjana pengajian Melayu di universiti sama, dan kemudian ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang pengajian antarabangsa, politik dan strategi di Universiti Nasional Australia.



"Di NUS, saya pula banyak belajar daripada Dr Noor Aisha Abdul Rahman dan Dr Shaharuddin Maaruf, terutama sekali wacana-wacana alternatif. Mereka ini semua adalah guru saya, dan saya meraih banyak inspirasi daripada mereka," ujarnya.



Minat dalam menulis juga dipupuk sejak bangku sekolah lagi, bahkan sejak di bangku sekolah rendah, apabila Berita Harian (BH) menerbitkan karangan-karangannya.



Semasa menulis PhD, beliau juga banyak menulis makalah berbentuk komentar di Berita Harian, dengan lebih 170 karya komentar telah diterbitkan sejak 2011, kata Dr Norshahril.



Kini, beliau telah menerbitkan 11 buah buku, seperti 'The State', 'Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia' (Amsterdam University Press) dan 'Yusof Ishak: Singapore's First President'.



Dr Norshahril berminat mengkaji politik dan strategi di rantau Asia Tenggara, dan kajian utamanya adalah tentang peranan ulama di Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam sebuah masyarakat moden.



"Yang menjadi penggerak utama saya adalah kajian lapangan, dan pengalaman manis saya adalah mewawancara mufti, ulama di Indonesia, Malaysia.



"Saya suka dengan jenis kajian yang 'turun padang' dan tidak hanya bergantung pada aspek kualitatif atau teori-teori besar, kerana hanya dengan 'turun padang' baru kita tahu sentimen orang bawahan, dan juga respons elit terhadap golongan tersebut," ujar Dr Norshahril.



Isu-isu sosiologi agama, dasar luar negara, dan pendidikan Islam dan kepimpinan agama juga menjadi perhatiannya.



"Saya rasakan bahawa kita sebagai orang Singapura perlu tahu situasi di negara-negara jiran kita, terutama sekali Malaysia dan Indonesia.



"Bukan sahaja ada keterkaitan sejarah, bahasa,dan budaya, kita juga mempunyai cabaran yang sama, baik dari segi politik, ekonomi dan sosial," kata Dr Norshahril yang turut mengajar mahasiswa Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), pelajar program pendidikan bijak Kementerian Pendidikan (MOE), serta pelajar universiti negara lain.



Jika tidak menjadi ahli akademi, beliau mungkin menjadi seorang guru atau ahli muzik, kata Dr Norshahril, yang belajar muzik di sekolah menengah dan pancaragam polis dan kini mahir bermain gambus, seruling, dan piano.



Bapa seorang anak berusia tiga tahun itu juga giat berkhidmat sebagai muazzin di masjid untuk solat Jumaat dan tarawih.



"Ini saya mulakan sejak saya di universiti. Prinsip saya, saya tidak akan berhenti selagi mana masjid mahukan saya berkhidmat," katanya.




BIODATA 



NORSHAHRIL SAAT

38 tahun,

Zamil Kanan, ISEAS-Institut Yusof Ishak

Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau di ISEAS



PENGLIBATAN DALAM MASYARAKAT:

• Pengerusi Yayasan Warisan Melayu, Anggota Lembaga Pengarah Lembaga Perpustakaan Negara (NLB)

• Anggota Jawatankuasa Perundingan Filem Politik, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA)

• Naib Pengerusi, Jawatankuasa Sejarah Lisan Masyarakat Melayu, Arkib Nasional Singapura (NAS)

• Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kegiatan Budaya dan Warisan, Wisma Geylang Serai



ANTARA ANUGERAH

Biasiswa PhD Muis (2012)

Biasiswa Syed Isa Semait (2015)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >