Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Buat persiapan awal pastikan anak sedia langkah ke alam sekolah

Jan 04, 2022 | 05:30 AM



Sedang murid-murid bersiap sedia bagi tahun persekolahan baru di tengah-tengah pandemik Covid-19 yang akan bermula hari ini, BERITA HARIAN bercakap dengan dua pasang ibu bapa tentang persiapan mereka bersama anak mereka. Meskipun sesi orientasi bagi murid darjah satu tidak akan diadakan di sesetengah sekolah seperti biasa untuk mengelak daripada murid berkumpul ramai, ada ibu bapa yang telah mewujudkan rutin baru untuk membantu anak mereka menyesuaikan diri. Sementara itu, ibu bapa yang mempunyai anak yang bakal menghadapi peperiksaan utama seperti Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini turut mempersiap diri mereka untuk membantu anak mereka mengulangkaji pelajaran.



SEBELUM ini, hampir setiap hari Muhammad Aufa Mohammad Fadzly akan menemankan kedua kakaknya, Nyla Afifa dan Hana Alisha, ke sekolah mereka.



Namun hari ini, ditemani ibunya, Cik Safiah Zainol Abidin, anak bongsu tiga beradik itu bakal melangkah masuk ke Sekolah Rendah Sengkang Green buat pertama kali bersama kakak keduanya, Hana.



"Kalau dulu, Aufa selalu akan temankan saya hantar kakaknya ke sekolah, dan kali ini giliran dia pula untuk ke sekolah.



"Dia juga sering mendengar perkongsian dari kedua kakaknya tentang hari mereka di sekolah, dan apa yang mereka lakukan.



"Dari situ, dia sudah ghairah untuk memulakan Darjah Satu di persekitaran yang baru," kata Cik Safiah, seorang suri rumah.



Sepanjang musim cuti sekolah yang lalu, Cik Safiah, 41 tahun dan suami, Encik Mohammad Fadzly Md Rani, 44 tahun, telahpun membuat persediaan awal untuk memastikan anak mereka itu bersiap sedia untuk memasuki sekolah yang baru.



Berbekalkan pengalaman menghantar kedua puteri mereka, yang kini berusia 13 tahun dan 11 tahun, memasuki sekolah rendah dahulu, pasangan suami isteri itu kini mementingkan persiapan dari aspek mental dan sosial anak mereka.



Menurut Encik Fadzly, beliau dan isteri menggalak satu-satunya anak lelaki mereka itu untuk sentiasa berkomunikasi dan tidak berat mulut untuk bertanyakan soalan kepada guru-gurunya.



"Kami sentiasa memberitahunya bahawa dia akan ke sekolah rendah dan ianya tidak sama seperti di tadika, jadi penting untuknya tidak berasa segan selalu.



"Di samping itu, kami juga akan tanyakan kepadanya jika dia mempunyai sebarang kebimbangan atau keraguan sebelum memulakan sekolah rendah nanti.



"Antara kebimbangan yang diluahkan adalah jika ia mudah untuk membuat kawan baru dan apa yang perlu dilakukan sekiranya berdepan dengan pembuli.



"Jadi saya dan isteri akan menasihatkannya untuk sentiasa memberitahu guru jika ada perkara yang tidak diingini berlaku… yang penting kami cuba membuat dia rasa tenang," tambah Encik Fadzly, yang bekerja sebagai pegawai juruteknik kanan.



Beliau menambah, sebagai ibu bapa, mereka tidak mahu memberi tekanan kepada anak mereka itu dan hanya ingin dia menikmati proses memasuki sekolah baru dan berkenalan dengan rakan-rakan baru.



Selain persekolahan Aufa, Encik Fadzly dan Cik Safiah juga perlu memberi perhatian kepada anak sulung mereka, Nyla, yang juga memulakan menengah satu di Sekolah Menengah Greendale.



Segala persiapan persekolahan ketiga-tiga anak mereka juga terpaksa dilakukan di tengah-tengah mereka sibuk berpindah ke rumah baru bulan lalu.



"Musim cuti sekolah yang lalu memang agak sibuk bagi kami sekeluarga… mana nak kemas rumah, bawa anak kami keluar berjalan-jalan dan dalam masa yang sama siapkan keperluan sekolah.



"Namun, Alhamdulillah kami telah membuat jadual di mana kami telah merancang apa yang perlu dilakukan pada hari-hari tertentu agar tidak kelam-kabut," kata Cik Safiah.



Ketua pegawai eksekutif (CEO) serta pengasas Latihan dan Perundingan Safar, Cik Noretta Jacob, menekankan pentingnya ibu bapa menyokong anak-anak mereka pada hari pertama persekolahan.



Cik Noretta, yang juga mengendalikan program pengayaan literasi untuk pelajar sekolah rendah, berkata ibu bapa harus melibatkan anak-anak mereka dalam persediaan sekolah.



"Mengajar mereka tentang tanggungjawab perlu bermula dari awal.



"Sokongan ibu bapa adalah penting kerana mereka menyediakan tahap pertama keselesaan dan kestabilan emosi untuk anak mereka ketika mereka melangkah ke hari pertama mereka di sekolah.



"Mereka boleh mencipta suasana yang sesuai untuk kanak-kanak, untuk menjadi seorang pelajar yang lebih yakin dan berdaya tahan," ujarnya.




"Antara kebimbangan yang diluahkan adalah jika ia mudah untuk membuat kawan baru dan apa yang perlu dilakukan sekiranya berdepan dengan pembuli. Jadi saya dan isteri akan menasihatkannya untuk sentiasa memberitahu guru jika ada perkara yang tidak diingini berlaku.
- Encik Mohammad Fadzly Md Rani.




PANDANGAN PAKAR



"Sokongan ibu bapa adalah penting kerana mereka menyediakan tahap pertama keselesaan dan kestabilan emosi untuk anak mereka ketika mereka melangkah ke hari pertama mereka di sekolah.



Mereka boleh mencipta suasana yang sesuai untuk kanak-kanak, untuk menjadi seorang pelajar yang lebih yakin dan berdaya tahan.



Apabila anak-anak melihat betapa ghairah dan positif ibu bapa mereka, mereka tahu bahawa mereka berada dalam persekitaran yang selamat dan terjamin.



Tenaga yang kita pancarkan kepada anak-anak adalah penting. Jika kita menunjukkan bahawa kita gementar dan takut untuk anak-anak kita, mereka juga akan merasakannya.



Berikan seberapa banyak sokongan dengan berkongsi cerita dan membawa mereka melalui proses betapa menariknya sekolah untuk mereka.



Jangan mengetepikan perkara yang membuat mereka berasa takut tetapi sebaliknya akui perkara itu dan berikan galakan emosi."
- Cik Noretta Jacob, Ketua pegawai eksekutif (CEO) serta pengasas Latihan dan Perundingan Safar




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >