Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Buka kedai gunting rambut untuk diurus anak remaja

Mengharungi dunia yang tidak menentu dan tiada kepastian, juga bermakna tiada tempoh dan umur yang tepat untuk seseorang itu mempelajari kemahiran dan merebut peluang baru untuk terus mempertingkatkan diri. BERITA HARIAN telah menemu bual dua individu - yang berani meneroka kerjaya baru, menimba pengalaman baru, bahkan mengembangkannya untuk bekalan kerjaya di masa depan. Mereka memilih menjadi tukang gunting rambut dan menubuhkan kedai gunting rambut mereka sendiri dengan harapan dapat menyediakan wadah kepada mereka yang berminat untuk belajar dan mengasah kemahiran mereka. Bagi sokong minat anak sulung yang masih bersekolah
Jul 15, 2022 | 05:30 AM



BERTAWAKAL dan berharap mereka telah membuat keputusan yang tepat.



Begitulah yang dirasakan Cik Rahayu Othman, 34 tahun, dan Encik Nur Noi Firqhan, 40 tahun, apabila mereka membuat keputusan membuka kedai gunting rambut akhir tahun lalu untuk anak mereka yang ketika itu berusia 16 tahun.



Menurut pasangan itu, berbekalkan modal $40,000, mereka menubuhkan kedai THETRUEBARBERSHOP di Blok 537, Bedok North Street 3, bagi menyokong minat anak sulung mereka, Nur Irian Firqhan, 17 tahun dalam bidang gunting rambut.



"Pada mulanya, sebagai seorang ibu, sudah tentu saya rasa bimbang memikirkan jika saya dan suami telah membuat keputusan yang betul terutama sekali kerana Irian belum lagi tamat pengajiannya di sekolah dan saya tidak mahu dia mengabaikan pelajarannya dan tidak mempunyai kelayakan untuk masa depan yang cerah.



"Namun, setelah beberapa bulan, saya berasa lega apabila saya menyaksikan bahawa Irian juga berpeluang untuk mempelajari kemahiran perniagaan dengan mengelolakan kedainya bersama dua lagi temannya dan para pelanggan juga seringkali memberikan nasihat baginya untuk mengutamakan pengajiannya," ujar Cik Rahayu yang turut berkongsi sambil tertawa bahawa beliau yang terakhir mengetahui rancangan untuk menubuhkan kedai itu dan beliau berasa sangat bimbang apabila diberitahu oleh suami dan anaknya.



Bagi bapa Irian, Encik Nur Noi pula, beliau sudah memberikan sokongan sejak lebih dua tahun lalu sebelum THETRUEBARBERSHOP ditubuhkan dengan memastikan Irian mempunyai peralatan yang diperlukan untuk meningkatkan kemahirannya dengan menawarkan perkhidmatan gunting rambut di koridor flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mereka di Kaki Bukit.



"Kita semua pernah hidup sebagai seorang remaja dan ini juga adalah waktu di mana mereka ingin menghabiskan masa dengan rakan-rakan mereka bersembang di sana sini dan kadangkala mungkin terjebak dengan pergaulan yang salah.



"Jadi sebagai seorang bapa, saya rasa agak wajar juga bagi saya menyokong minatnya untuk meningkatkan kemahirannya dalam bidang yang diminati kerana tidak adanya had umur bagi seseorang untuk mula meningkatkan kemahiran mereka," katanya yang juga telah mengambil alih gerai ibunya, Sajian Mak Dara di Pusat Makanan Geylang Serai.



Bagi Irian, mengimbangkan masa untuk belajar dan bersiap sedia untuk Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'N' tahun lalu serta meningkatkan kemahirannya dalam bidang gunting rambut pastinya bukan sesuatu yang mudah.



Ini kerana beliau ingin berjaya dalam pelajarannya dan juga tidak ingin mengecewakan usaha ibu bapanya yang telah menyokong dan melaburkan wang untuk kedai gunting rambut itu.



"Minat saya untuk gunting rambut bermula sejak saya kecil lagi dan ketika saya berusia 15 tahun, saya mula berjinak-jinak untuk menggunting dan menggayakan rambut bersama rakan-rakan saya.



"Ibu dan bapa saya memberikan sokongan untuk saya mempelajari asas menggunting rambut di satu akademi dan kemudiannya, saya dan rakan-rakan saya mempelajari dengan lebih mendalam mengenai cara-cara memotong rambut berlainan melalui video YouTube," kata beliau yang akan menyambung pengajiannya di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) awal tahun depan.



Kini, beliau mengelolakan kedainya sepenuh masa dan rakan-rakannya, Muhammad Naufal Abdul Halim, 18 tahun dan Muhammad Jufri Mohd Shafiee, 18 tahun turut bekerja bersamanya secara sambilan, selepas waktu sekolah dan di hujung minggu.



Kini, Irian bersama ibu bapanya ingin mengembangkan THETRUEBARBERSHOP untuk menjadi tempat di mana golongan remaja yang berminat untuk mempelajari bagaimana untuk memotong rambut boleh datang dan meningkatkan kemahiran mereka.



"Kami sebagai ibu bapa kepada seorang remaja mengerti bagaimana pentingnya anak remaja kita memerlukan tempat di mana mereka boleh meningkatkan kemahiran mereka dan menjauhi daripada dipengaruhi dengan benda-benda yang tidak mendatangkan manfaat.



"Oleh itu, kami berharap, jika ada para remaja yang ingin mempelajari ataupun meningkatkan kemahiran mereka dalam memotong rambut, mereka boleh datang ke THETRUEBARBERSHOP dan belajar cara-caranya bersama Irian, Naufal dan Jufri," kata Cik Rahayu yang menganggarkan kedai itu mempunyai sekitar 90 pelanggan setiap minggu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >