SEEKOR burung yang 'digelang', diberi nama Whimbrel dalam bahasa Inggeris (nama saintifik Numenius phaeopus) atau burung kendi dalam bahasa Melayu, telah ditemui lagi di Paya Simpanan Sungei Buloh (SBWR) baru-baru ini.
Menurut Lembaga Taman Negara (NParks), burung berusia sekitar 20 tahun itu ditemui pada 29 Januari lalu.
Burung tersebut kali pertama digelang (ring) di sini pada tahun 1995.
Nparks berkata, ini rekod penemuan paling lama seekor jenis burung kendi itu dilihat beberapa kali di Singapura.
'Menggelang' burung merupakan proses menjaring burung-burung liar dan menyarungkannya sebuah gelang kecil dengan nombor bersiri unik dikakinya bagi memudahkan pengenalan.
Semasa proses tersebut, burung tersebut diukur, seperti ukuran panjang dan berat badannya direkod, untuk tujuan penyelidikan, kata Nparks dalam kenyataan tadi.