Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Cabaran pekerja bebas, ekonomi gig dibincang di dialog BH

Zaqy tekankan peri penting pemasaran, di samping manfaatkan sokongan dan geran pemerintah serta pihak tertentu
Nov 14, 2023 | 06:45 PM



Dalam dunia di mana pasaran ekonomi berkembang luas dengan pesat, agak mudah bagi seseorang menjadi tidak keruan – hilang arah dan tidak pasti apakah langkah seterusnya yang perlu mereka ambil.

Sesetengah orang mungkin mendapati diri mereka terperangkap dalam keadaan mereka tidak dapat berganjak, sukar melangkah dan hanya mengharapkan lebih banyak peluang datang kepada mereka.

Dalam satu dialog selama dua jam anjuran Berita Harian (BH) bersama pekerja bebas dan pekerja ekonomi gig baru-baru ini, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkongsi tentang pentingnya mereka memasarkan perkhidmatan dengan sebaik-baiknya dalam persekitaran yang sentiasa berubah.


Ini sambil mereka memanfaatkan sokongan dan geran yang disediakan oleh pemerintah dan pihak-pihak tertentu.

“(Dalam persekitaran sekarang) terdapat ruang dan peluang. Kita dapat melihat perubahan pemikiran dalam kalangan masyarakat kita dari segi cara cara berbelanja. 

“Jadi, kita perlu fikirkan bagaimana kita dapat memasarkan perkhidmatan kita dengan lebih baik. Masalahnya kadangkala kita mungkin tidak memikirkan tentang pemasaran dahulu.

“Contoh, seperti perniagaan dari rumah (HBB), saya pasti mereka juga mempunyai masalah dari segi mendapatkan sokongan.

“Saya rasa di sinilah Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) boleh membantu. Bukan hanya untuk memberi nasihat, tetapi untuk menyediakan rangkaian. Jadi mereka boleh belajar banyak daripada peniaga lain,” kata Encik Zaqy. 

Dialog ini diharap dapat mengetengahkan isu-isu serta cabaran yang dihadapi pekerja dan karyawan dalam sektor ini. Ia juga menjadi wadah untuk mereka menyuarakan kebimbangan, dilema dan aspirasi mereka.

Antara isu yang dibangkitkan sewaktu dialog di Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) pada 10 November itu termasuk kesukaran mendapatkan lebih ramai pelanggan selepas pandemik Covid-19 dan juga kekurangan sokongan.

Menyuarakan pandangan beliau, tukang urut, Encik Abdul Rahman Ibrahim, berkata sejak pembukaan sempadan, perniagaannya tidak serancak seperti sewaktu pandemik.

“Ramai pelanggan saya yang pergi ke Malaysia untuk dapatkan khidmat urut dan rawatan selepas sempadan dibuka semula.

“Walaupun permintaan masih ada, ia tidak sebanyak dulu. Tidak dapat dinafikan ramai perniagaan dari rumah seperti saya amat terjejas,” kata Encik Abdul Rahman, yang menyertai dialog tersebut.

Turut meluahkan keprihatinan mereka mengenai perkembangan semasa ialah karyawan seni tempatan, yang terdiri daripada pengarah filem, penerbit, pencipta kandungan dan juruvideo.

Mereka berkongsi bahawa sukar mendapatkan pelanggan melainkan mereka mempunyai rangkaian kenalan yang luas.

Pada masa sama, adalah penting juga mereka mengenali khidmat yang mereka beri, agar dapat dipasarkan kepada khalayak yang lebih khusus.

Rata-rata ramai dalam kalangan peserta turut melahirkan harapan agar lebih banyak sokongan, seperti geran dan pembiayaan, dapat diberikan.

Pencipta kandungan dan pengasas bersama syarikat penyediaan pengiklanan Content Clinic, Encik Rusydi Rozalli, berkata terdapat banyak kekecewaan dalam kalangan pekerja bebas dan pekerja gig kerana masa bagi mereka menerima geran terlalu lama.

“Ada dalam kalangan kami yang akhirnya putus asa dan melakukan pekerjaan lain,” ujarnya.

Cik Bibi Noor Bano Syed Attar Shah, yang menjual rempah dan herba dari rumah, berharap geran yang diberikan diharap dapat membantu beliau mengembangkan lagi perniagaannya.

“Banyak perkara yang saya lakukan sendiri sejak mengambil alih perniagaan ini daripada ibu saya. Jadi saya harap dengan adanya sokongan yang lebih, saya ingin mengembangkan perniagaan saya dari segi pasaran,” kongsi beliau.

Seramai sembilan pekerja bebas dan pekerja ekonomi gig mengambil bahagian dalam dialog itu.

Antara yang hadir ialah pengarah filem Sanif Olek; pengasas J’s Kitchen MakMor, Encik Mohammad Zahid Mohd Ali; pengarah dan pelakon Saiful Amri Ahmad, penerbit Rifa’ah Ridzuwanulhakim Abdol Shukor, pencipta kandungan Ratnah Nurul Hafizah Abdullah dan juruvideo Nurul Asnita Aswadi. 

Moderator dialog itu ialah Editor Berita BH, Encik Nazri Hadi Saparin.


Dialog Berita Harian mula dianjurkan pada 2018 dan kini menjadi wadah menghimpunkan pelbagai suara daripada pelbagai lapisan masyarakat, seperti karyawan, pekerja gig, ejen hartanah, pendidik, atlet, asatizah dan ramai lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >