Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Wanita pencetus perubahan

Capai impian genggam sarjana walau perlu ambil perjalanan 'Z hingga A'

Personaliti dan usahawan Rilla Melati capai hasrat yang 'tertangguh' lebih 20 tahun demi anak
Oct 05, 2021 | 05:30 AM



Peranan serta sumbangan wanita diiktiraf di peringkat negara dengan tahun 2021 merupakan Tahun Meraikan Wanita SG. Pelbagai cabaran, onak dan duri serta pengorbanan telah dilakukan para wanita dalam usaha mereka membina kerjaya dan pada masa yang sama menguruskan rumah tangga, mendidik anak-anak serta menyumbang kepada masyarakat. Dalam bahagian ketiga siri wanita, BERITA HARIAN meninjau dua lagi wanita yang berusaha gigih untuk mengejar impian bagi menjadi contoh baik kepada anak, dan seorang lagi yang gigih meningkatkan kesejahteraan pekerja lain. 




IMPIAN untuk menggenggam segulung ijazah sarjana memang sesuatu yang sudah lama terpendam dalam lubuk hati personaliti dan usahawan, Cik Rilla Melati Bahri.



Namun kesibukan membesarkan anaknya, Nadim, sebagai ibu tunggal dan pada masa yang sama membangunkan syarikatnya, Mini Monsters, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan dua dekad lamanya.



Bagaimanapun keinginan itu bangkit semula selepas anak lelakinya itu tamat pengajian Program Diploma International Baccalaureate (IBDP) dan beliau tidak lagi perlu memberi tumpuan terhadap kemajuan akademik anaknya.



Baru-baru ini, Cik Rilla berjaya menamatkan pengajian dengan meraih Sarjana dalam Pendidikan daripada Universiti Teknologi Nanyang-Institut Pendidikan Nasional (NTU-NIE).



Pengorbanan yang dilakukan selama ini ternyata berbaloi kerana bukan sahaja cita-cita yang disimpan sejak sekian lama menjadi kenyataan tetapi sebab utama menangguhkan pelajaran kerana ingin memberi perhatian kepada pendidikan anaknya turut membuahkan hasil, apabila anaknya meraih markah cemerlang dalam IBDP, dan kini sedang menunggu kemasukan ke universiti.



"Ada kalanya dalam kehidupan, ia bukan sahaja memberikan yang terbaik tetapi yang terbalik, kerana impian masih mampu tercapai meski perjalanannya daripada Z hingga A dan bukan sebaliknya.



"Ini kerana dalam menangguhkan impian, kita mempunyai ruang, sumber dan kekuatan untuk impian anak kita tercapai," katanya.



Menurutnya meski beberapa kali usulannya untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana ditolak bapanya, guru pesara, Encik Bahri Rajib, Cik Rilla tetap berusaha untuk meyakinkannya agar mendapat restu dalam mengikuti pengajian.



"Bapa saya sering menasihati - 'jangan sampai mak graduate, anak tak lepas sekolah'.



"Beliau yang mengajar saya agar bersifat realistik dalam pencapaian saya. Pada akhirnya, sebagai ibu, saya rasa lebih gembira apabila melihat pencapaian anak melebihi saya, dan Nadim sedang dalam perjalanan meraih lebih banyak kejayaan dalam kehidupannya," katanya lagi.



Bagi wanita berwawasan ini, wanita hari ini terutama dengan pandemik yang melanda, harus berdikari dan mampu menyesuaikan diri.



Pandemik ini juga antara lain menunjukkan betapa pentingnya wanita mempertingkat kemahiran dan keupayaan mereka.



Ditanya apakah rahsianya dalam membesarkan anak sebagai ibu bapa tunggal, Cik Rilla, 48 tahun, berkata: "Tiada rahsia tertentu. Hanya kerja keras. Saya juga sering mengutamakan Nadim dan memastikan keupayaannya terus diperkasa."



Dan kerjayanya sebagai usahawan memberinya fleksibiliti yang diperlukan untuk melakukan demikian.



Bangga bahawa lebih ramai wanita kini menjadi usahawan, Cik Rilla bagaimanapun berpendapat bahawa struktur sokongan kukuh diperlukan sekiranya perniagaan itu gulung tikar.



"Ini bermakna anda memerlukan sistem sokongan yang baik dari segi kewangan dan perkara lain yang memberi anda kestabilan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan anda," katanya.



Dalam mengimbangi peranan wanita yang penuh bercabang hari ini, Cik Rilla berpendapat masyarakat hari ini perlu menanyakan diri mereka sendiri, sama ada kaum lelaki bersedia dalam menerima perubahan ini.



"Sedang wanita terus menunjukkan kemajuan, ada kaum lelaki mungkin akan mengambil kesempatan ini dan meninggalkan kebanyakan tanggungjawab kepada wanita, hanya kerana wanita boleh melakukannya.



"Justeru masalahnya kini bukan wanita. Kita tidak perlu menggalak agar wanita diperkasa. Sebaliknya, kita perlukan kaum lelaki dalam masyarakat untuk berdiri teguh, bekerja keras dan berada di peringkat yang sama seperti kaum wanita," katanya lagi.



Memberikan nasihat, Rilla berkata wanita perlu berwaspada terhadap gangguan sekeliling.



Dalam dunia hari ini, di mana semua orang boleh mendakwa diri mereka pakar dalam apa jua bidang, wanita tidak boleh terperangkap dalamnya.



"Keadaan tidak menentu membawa masalah yang tidak menentu juga. Wanita perlu mempersiap diri dengan pendidikan yang baik, lebih-lebih lagi dalam dunia hari ini," katanya lagi.




"Ada kalanya dalam kehidupan, ia bukan sahaja memberikan yang terbaik tetapi yang terbalik, kerana impian masih mampu tercapai meski perjalanannya daripada Z hingga A dan bukan sebaliknya. Ini kerana dalam menangguhkan impian, kita mempunyai ruang, sumber dan kekuatan untuk impian anak kita tercapai... Beliau (bapanya) yang mengajar saya agar bersifat realistik dalam pencapaian saya. Pada akhirnya, sebagai ibu, saya rasa lebih gembira apabila melihat pencapaian anak melebihi saya, dan Nadim sedang dalam perjalanan meraih lebih banyak kejayaan dalam kehidupannya."
- Cik Rilla Melati Bahri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >