Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Capai perpaduan, kesepakatan ketika cari huraian ke hadapan

Aug 28, 2021 | 05:30 AM



MASYARAKAT Islam Singapura telah mempamerkan daya ketahanan dan komitmen yang tinggi dalam usaha memajukan kehidupan sosio-agama sejak kemerdekaan negara 56 tahun yang lalu.



Dalam menghadapi cabaran yang sangat runcing dan tidak pernah dilalui sebelum ini, kita kekal bersatu dalam mencari jalan penyelesaian dan sentiasa mengutamakan kebaikan dan kemaslahatan bersama, sesuai dengan nilai-nilai agama.



Inilah contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw sepanjang hidupnya.



Baginda saw memilih untuk berunding dan bekerjasama dengan pelbagai pihak demi mencapai perpaduan dan kesepakatan, walaupun ada yang bersikap keras mahupun tegar, dan ada pula yang memusuhi Baginda.



Baginda kekal fokus mencari keharmonian dan kesejahteraan kehidupan buat semua.



Dalam mengimbangi keperluan, permintaan dan pandangan yang berbeza, Baginda dipandu oleh nilai-nilai kesederhanaan, keihsanan dan keterangkuman.



Baginda tegas di dalam urusan agama.



Tidak sekali pun Baginda saw menggadaikan prinsip-prinsip dan perintah Allah swt. Namun, Baginda sentiasa berhemah dan berhati-hati di dalam perlaksanaan hukum, dan prihatin terhadap kesan setiap tuntutan agama ke atas masyarakat.



Sejak beberapa dekad yang lalu, masyarakat kita telah berjaya mencapai pembangunan yang membanggakan dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, kedudukan ekonomi dan sebagainya.



Kita juga meraikan pencapaian golongan wanita yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan masyarakat dan negara.



Seiring dengan kemajuan ini adalah pelbagai aspirasi dan harapan baru dan yang lebih mencabar, termasuk dalam kehidupan sosio-agama.



Sejak kebelakangan ini, kita mendengar perbincangan berkaitan isu kesaksamaan, kedudukan wanita dalam masyarakat serta saranan pembaharuan dalam undang-undang keluarga Islam.



Khususnya, perbincangan ini meliputi isu pemakaian tudung di tempat kerja, undang-undang poligami dan juga amalan khitan perempuan.



Hakikatnya, isu-isu ini bukanlah sesuatu yang baru.



Beberapa tahun yang lalu, saya bersama delegasi Singapura yang lain, berdiri di hadapan Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, untuk mempertahankan undang-undang keluarga Islam Singapura yang dilihat sebagai bersifat diskriminasi terhadap wanita.



Ada yang mungkin berpandangan forum sedemikian adalah pengaruh tidak sihat dan campur tangan ideologi serta norma barat di dalam agama dan cara kehidupan kita.



Realitinya, banyak negara bermajoriti Islam yang juga merupakan anggota Konvensyen tersebut, dan mereka juga terus mengkaji dan meneliti perlaksanaan undang-undang mereka sejajar dengan keperluan masing-masing.



Di Singapura, kami mengambil pendekatan yang tersendiri.



Kami akur bahawa pembangunan wanita dan pengukuhan undang-undang ke arah itu adalah penting.



Dari kacamata agama pula, perubahan dan semakan terhadap beberapa aspek hukum, terutama sekali yang terjejas dengan peredaran masa dan perkembangan masyarakat, adalah sesuatu yang tidak asing.



Namun perubahan tidak seharusnya berlaku tanpa sebab yang kukuh.



Bahkan, ia perlu diteliti dengan sebaik-baiknya, dan kepimpinan agama bersama para pakar perlu dirunding.



Menyingkirkan satu-satu amalan hanya kerana kita menganggapnya sebagai tradisi yang 'kuno' dan tidak lagi sesuai hari ini bukanlah sebab yang munasabah.



Pendekatan ini tidak boleh diterima.



Bahkan, banyak aspek identiti keagamaan kita hari ini telah dibentuk dan dipengaruhi oleh tradisi-tradisi ini, sama ada secara langsung atau tidak.



Pada masa yang sama, kita juga akur bahawa tradisi keagamaan bukan sesuatu yang statik, jumud dan berseragam.



Ia selalu berkembang dan berubah dari masa ke masa atas pelbagai sebab, termasuk lah perubahan kepada keadaan sosial dan norma keagamaan pada sesuatu masa.



Di dalam sejarah, kepelbagaian di dalam tradisi dan perbezaan menafsirkan nas-nas agama pernah menyebabkan pergolakan yang hebat, sehingga adakalanya berakhir dengan pertembungan dan pergeseran.



Khususnya apabila ada pihak yang memaksakan pandangannya ke atas pihak yang lain, perpaduan akan retak, kepercayaan akan pudar, dan kemajuan berubah menjadi kemunduran.



Kita harus mengambil iktibar dari sejarah, dan mengambil pendekatan terbaik dalam usaha kita untuk maju kehadapan.



Memang sukar bagi sesetengah orang untuk menerima sudut pandangan yang berbeza.



Tetapi dalam realiti kehidupan hari ini di mana masyarakat kini lebih terbuka dan bersikap inklusif, perbezaan pandangan adalah satu norma.



Di dalam agama pula, perbezaan pendapat (ikhtilaf) adalah ciri yang penting dalam tradisi keilmuan Islam.



Bahkan ia sebenarnya merupakan satu rahmah yang besar kerana kepelbagaian inilah yang memberi kita ruang untuk mengatasi isu-isu yang rumit, di dalam situasi yang memerlukan penyesuaian.



Pendekatan yang serupa perlu diambil dalam menangani isu-isu berkaitan wanita Islam di Singapura.



Kita seharusnya menyediakan ruang yang selamat bagi membincangkan pengalaman, aspirasi serta cabaran mereka dalam dunia hari ini.



Perbincangan sedemikian membolehkan kita untuk mengenalpasti kerencaman pandangan serta perbezaan pendapat yang wujud dalam kalangan masyarakat kita.



Perselisihan pandangan tidak boleh menjadi sebab untuk menghalang seorang wanita daripada bersuara.



Saya yakin kita dapat terus membina kematangan di dalam berbincang isu-isu rumit, berpandukan nilai serta matlamat agama.



Di antara contoh yang menandakan kemajuan masyarakat bersama ialah kesediaan pemerintah untuk mengubah dasar pemakaian tudung di kalangan jururawat Islam, seperti yang digambarkan oleh Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong awal tahun ini.



Walaupun di peringkat global kita dapati tren yang amat membimbangkan berkaitan isu kaum dan agama, kita amat bersyukur kerana dapat menikmati keharmonian kaum, yang sekaligus membolehkan perubahan sedemikian.



Kita harus menghargai kepercayaan di dalam masyarakat Islam dan amalan keagamaan kita, serta terus berusaha untuk mengukuhkan kepercayaan di antara kaum dan agama di Singapura.



Walau bagaimanapun, akan terus wujud beberapa situasi di mana kita berhadapan dengan cabaran dan kesukaran, dan tidak dapat melaksanakan beberapa amalan agama secara menyeluruh.



Dalam situasi sedemikian, adakah wajar untuk membuat kesimpulan bahawa masyarakat kita ditindas dan kita perlu berkeras untuk memperjuangkan nasib masyarakat?



Wajarkah kita menyalahkan wanita beragama Islam mahupun pihak lain kerana mereka memilih pekerjaan yang tidak membolehkan mereka melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna?



Kita akur bahawa tenaga kerja memainkan peranan yang sangat penting dalam kemajuan serta kestabilan negara.



Dengan ini, kita seharusnya terus memberi sokongan terhadap wanita Muslim yang berkebolehan serta berkeinginan untuk menyumbang kepada sektor pekerjaan, dan bukanlah memperkecilkan atau memandang remeh akan peranan mereka, apatah lagi dengan melontarkan tuduhan mahupun tohmahan yang mereka memperlekehkan tanggungjawab agama.



Meskipun kita boleh boleh menyampaikan nasihat dengan cara yang berhemah dan membina, janganlah kita lupa akan matlamat dan tujuan yang lebih besar dan utama.



Konteks sosial kita yang penuh dengan kepelbagaian ini memerlukan kita untuk terus memelihara keharmonian serta memperkukuhkan kepercayaan antara satu sama lain.



Walaupun kita memiliki pendapat peribadi serta pandangan tersendiri, janganlah kita memaksakannya ke atas orang lain.



Berkaitan isu-isu yang melibatkan dasar-dasar awam, kita harus terus bekerjasama dengan pihak pemerintah serta agensi-agensi awam untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam tempatan sebaik mungkin.



Institusi fatwa juga akan turut memberikan panduan yang diperlukan.



Pada hujung tahun ini, Muis akan melanjutkan perbincangan yang telah dimulakan beberapa bulan lalu mengenai usaha memperkasakan masyarakat Islam ke arah kegemilangan.



Sememangnya inilah cara dan pendekatan kita - untuk berunding dan mencari huraian melalui perbincangan yang tenang lagi rasional.



Dalam menangani isu-isu rumit dan kompleks, tidak wajar untuk kita memenuhi keinginan satu pihak dengan mengabaikan keperluan pihak yang lain.



Besar harapan saya agar kita di Singapura dapat mengorak langkah kehadapan dalam keadaan saling menghormati, belas ihsan dan saling mendukung sesama kita, tanpa mengira bangsa dan agama.



Rasulullah saw. dan generasi yang terdahulu telah menjiwai kehidupan beragama yang penuh rahmah yang membawa kebaikan untuk semua.



Kini, giliran kita pula untuk melakukan yang sama.




“Memang sukar bagi sesetengah orang untuk menerima sudut pandangan yang berbeza. Tetapi dalam realiti kehidupan hari ini di mana masyarakat kini lebih terbuka dan bersikap inklusif, perbezaan pandangan adalah satu norma. Di dalam agama pula, perbezaan pendapat (ikhtilaf) adalah ciri yang penting dalam tradisi keilmuan Islam. Bahkan ia sebenarnya merupakan satu rahmah yang besar kerana kepelbagaian inilah yang memberi kita ruang untuk mengatasi isu-isu yang rumit, di dalam situasi yang memerlukan penyesuaian. Pendekatan yang serupa perlu diambil dalam menangani isu-isu berkaitan wanita Islam di Singapura. Kita seharusnya menyediakan ruang yang selamat bagi membincangkan pengalaman, aspirasi serta cabaran mereka dalam dunia hari ini. Perbincangan sedemikian membolehkan kita untuk mengenalpasti kerencaman pandangan serta perbezaan pendapat yang wujud dalam kalangan masyarakat kita. Perselisihan pandangan tidak boleh menjadi sebab untuk menghalang seorang wanita daripada bersuara. Saya yakin kita dapat terus membina kematangan di dalam berbincang isu-isu rumit, berpandukan nilai serta matlamat agama.”
– Penulis.




  • Penulis adalah Mufti Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >